Kita Mahir Tetapi Tak Bijak
MAAFCAKAP 25.9.19
Dari semasa ke semasa saya akan menggunakan laman Wikipedia untuk mendapat maklumat mengenai seseorang. Ia melibatkan personaliti seperti para pemimpin politik, ahli-ahli akademik, selebriti, ahli sukan, tokoh agama dan sejarawan. Lama kelamaan saya terperasan suatu perbezaan yang ketara di antara personaliti dari zaman dahulu dan personaliti pada zaman sekarang.
Saya dapati, tokoh-tokoh dari zaman dahulu, contohnya ahli falsafah Greek, Aristotle mempunyai banyak lagi kemahiran yang membuatnya terkenal. Selain dari menjadi seorang ahli falsafah, Aristotle juga mempunyai kemahiran dalam bidang fizik, biologi, zoologi, metafizik, puisi, muzik, psikologi, ekonomi, politik dan banyak lagi.
Begitu juga pereka Leonardo da Vinci bukan sahaja pandai mencipta. Beliau juga seorang pelukis, saintis, pemuzik, pakar matematik, sastera, anatomi dan astrologi. Bapa perubatan moden iaitu Ibnu Sina bukan sahaja tahu ilmu perubatan. Beliau juga adalah seorang ahli astronomi, geografi, psikologi, teologi, matematik, fizik dan puisi.
Bapa sejarah dan kebudayaan moden, Ibn Khaldun pula adalah seorang pakar sejarah, politik, ekonomi, perdagangan, sosiologi, astronomi, numerologi, kimia dan sumber manusia. Kehebatan ilmu mereka di zaman dahulu begitu pelbagai. Bila masa mereka belajar hingga berkemahiran di dalam bidang-bidang itu hingga boleh menyumbang kepada kemanusiaan amat kita sanjung.
Apabila saya menelusuri ke laman-laman personaliti pada zaman sekarang, ia sarat dengan sejarah dan kepakaran seseorang itu tidak melebihi daripada lima bidang. Presiden Amerika, Donald Trump merupakan seorang yang berkelulusan ekonomi, yang kemudiannya menjadi seorang ahli perniagaan, personaliti televisyen sebelum menceburi bidang politik.
Seniman Hollywood Tom Hanks pula adalah seorang pelakon, penulis, pengarah dan juga penerbit. Selebriti Oprah Winfrey pula adalah seorang eksekutif media, pelakon, penyampai dan juga penerbit. Cristiano Ronaldo pula adalah seorang pemain bolasepak dan tiada kemahiran ilmu selain daripada itu.
Tiada yang salah dan betulnya samada seseorang itu menjadi seorang generalist mahupun specialist. Cuma, jika kita renungi, kita akan bertanya mengapa orang dahulu mempunyai pelbagai kemahiran tetapi orang sekarang mempunyai kemahiran yang terbatas. Tidak boleh tidak, kita akan dapati pengkhususan kita semua dalam sesebuah bidang itu adalah kerana sistem.
Revolusi industri menuntut pengeluaran massa melalui pengilangan. Ia memerlukan banyak tenaga dan salah satu caranya ialah dengan memberi pengkhususan. Hampir semua negara di dunia yang menerima tempias revolusi industri berlumba-lumba untuk maju dengan menghimpun seramai mungkin rakyatnya untuk menjadi mesin kepada ekonomi negara. Pengkhususan diperlukan dan ilmu kejuruteraan dan teknikal diberi tumpuan. Sebaliknya ilmu-ilmu yang lebih umum seperti kemanusiaan, seni dan sastera diketepikan kerana ia tidak produktif untuk menjana kekayaan negara.
Negara kita sendiri telah melaluinya. Anak-anak diterap dengan ilmu sains dan teknologi. Mereka dipisahkan ke aliran sains dan sastera. Yang sains mendapat peluang yang lebih dalam sebuah negara membangun. Mereka yang meminati sastera dipandang sebelah mata kerana tidak memberi sumbangan material yang semerta untuk ekonomi negara.
Sekolah, kolej dan universiti akhirnya menjadi kilang mengeluarkan manusia. Mereka segera diserap ke dalam industri. Tidak mengapalah seandainya mereka ini hanya mengetahui samada bidang sains atau sastera, asalkan matlamat berkhidmat untuk negara itu dapat diutamakan.
Malangnya, inilah yang melahirkan sekumpulan manusia otak kanan yang mempunyai kebolehan kreatif dan sekumpulan lagi manusia berotak kiri yang mempunyai kemahiran dalam hal-hal logik, sistem dan sekuen. Sedangkan semua manusia itu lahir dengan otak kiri dan kanan. Pengkhususan itu sendiri melahirkan manusia yang punyai kemahiran sebelah otak sahaja. Bukankah itu namanya otak tak centre?
Walau apa pun, akhirnya ketidakseimbangan dunia dalam mengejar teknologi dan industri telah melahirkan manusia yang robotik. Mereka hilang rasa kemanusiaan. Pergerakan mereka berbentuk autopilot yang bergerak sehala dan segaya seperti binatang ternak. Mereka mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan. Apa yang majoriti ikut, itulah yang betul.
Kini, kita semua berada di dalam kolam yang sama. Jika kita ingin berubah dan menambah ilmu keduniaan untuk akhirat, kita kenalah mulakan sendiri. Sebahagian besar daripada kita sudah ada kemahiran-kemahiran tumpul yang perlu diasah hingga tajam. Mungkin kita seorang jurutera eletronik dari segi profesion. Namun di dalam diri kita terdapat kemahiran-kemahiran dahulu yang sudah tenggelam.
Hanya dengan meningkatkan penumpuan kita kepada kemahiran yang telah lama kita tinggalkan, baharulah kita menjadi manusia yang bijak dan unik. Kita adalah individu yang punyai jiwa dan rasa. Bukannya salah sebuah buih yang banyak, yang akan meletup dah hilang dalam sekelip mata!
Buku Cetak Masih Atasi E-Buku
LUCY HANDLEY.CNBC.19.9.19
APAKAH pembaca kini lebih selesa membaca e-buku ataupun buku bercetak? Penemuan ini barangkali mengejutkan. Buku bercetak didapati lebih laris daripada e-buku. Demikian lapor CNBC.

Laporan Tahunan Persatuan Penerbit Buku Amerika tahun 2019 mencatat, penerbitan buku daripada pelbagai format mencapai USD26 bilion pada tahun 2018. Nilai buku bercetak yang terjual ialah USD22.6 bilion. Namun, nilai jualan e-buku hanyalah USD2.04 bilion. Angka-angka ini mencakupi buku-buku pendidikan dan perdagangan.
Meskipun media digital dikatakan telah menganggu industri lain seperti penerbitan akhbar dan muzik, para pembaca masih menggemari buku bercetak. Demikian ulas Meryl Halls, Pengarah Urusan Persatuan Penjual Buku UK.

“Saya rasa buih e-buku telah meletup. Jualannya kian menurun. Saya fikir objek fizikal lebih menguja. Para penerbit kini telah menghasilkan buku-buku yang menarik. Rekabentuk kulit buku makin kelihatan cantik,” katanya kepada CNBC.
Pembaca pula suka mempamer apa yang mereka telah baca. “Peminat buku suka merakam apa yang mereka dah baca kerana mereka ingin beri isyarat kepada dunia. Ia ada kena mengena dengan cara mendekorasi rumah. Mereka mahu rumah mereka menggambarkan diri mereka.” Buku adalah sebahagian dari diri mereka.
Meskipun Gen Y dikatakan telah membunuh industri, tetapi golongan muda pula yang telah mempopularkan semula versi cetakan. 63 % buku cetak dibeli oleh mereka di bawah usia 44 tahun. Sebaliknya 52 % pembaca e-buku adalah mereka yang melebihi usia 45 tahun. Demikian menurut laporan syarikat penyelidikan pasaran, Nielsen.

Gambaran yang hampir sama diperolehi di AS. 75 % mereka di usia 18-29 tahun berkata mereka telah membaca buku cetak pada tahun 2017.
Mengenai masa depan buku, semua format akan terus digunakan, menurut Jacks Thomas, Pengarah The London Book Fair. “Manusia sentiasa mahukan pengetahuan dan mereka juga perlukan cerita. Daripada sudut pandang begitu, saya berasakan industri buku masih kukuh.”
“Adalah menarik untuk melihat bagaimana bentuk bilik darjah pada masa hadapan. Ini menentukan bagaimana generasi masa depan berinteraksi dengan perkataan.

Apakah ia perkataan-perkataan yang diucap? Tetapi cerita dan pengetahuan akan kekal. Inilah yang mesti ditangani. Justeru, buku dalam apa jua format masih mempunyai masa depan yang kukuh.”
Jom baca artikel asal CNBC:
https://www.cnbc.com/2019/09/19/physical-books-still-outsell-e-books-and-heres-why.html
Jom tengok Video The benefits of Reading:
https://www.youtube.com/watch?v=xqMozc4K4pg
Orang Melayu Juga Sehebat Leornado Da Vinci?
ZALINA ABDUL AZIZ.KOSMO.23.9.19
BAGAIMANAKAH seseorang individu mampu mempengaruhi bidang seni, sains, kejuruteraan, perubatan, botani, seni bina dan inovasi selama 500 tahun?

Semasa hayatnya, Leonardo Da Vinci (1452-1519), terkenal sebagai seorang artis, saintis dan pereka cipta. Jutaan manusia melawat Muzium Louvre di Paris, Perancis untuk sekilas melihat lukisannya, Mona Lisa. Lakarannya berjudul Manusia Vitruvian menjadi penghias muka depan pelbagai buku tentang topik yang berbeza seperti falsafah, kebebasan hak dan kecergasan.
Hari ini, sesiapa yang melihat lukisan-lukisan dan nota-nota akan mendapati ia mudah dikenali dan logikal. Lakaran-lakarannya mengenai penerbangan, kapal selam, kenderaan dan helikopter kini telah dizahirkan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Hasil kerjanya menjadi cerminan sains harian.

Bagaimanapun, beliau hidup 500 tahun dahulu. Pada mata orang ramai, hasil-hasil karyanya pasti kelihatan membingungkan termasuk kepada peminat tegarnya seperti Raja Perancis dan Lorenzo de Medici. Da Vinci, dalam usaha mencari jawapan, menghasilkan ciptaan mengikut pemahamannya terhadap alam sekitar.
Leonardo menghasilkan lukisan-lukisan agung tetapi yang lebih penting lagi, 7,000 muka surat nota, manuskrip, gambar rajah dan pemerhatiannya telah memberi penerangan tentang kegeniusannya. Nota-nota ini mendedahkan minda ingin tahu dan kreatif tanpa henti mencari penyelesaian.
Hari ini, Itali meraikan kekaguman dunia terhadap Da Vinci. Dia adalah ikon kebudayaan yang paling utama, minda saintifik dan manusia sejagat. Sekiranya bukan untuk Leonardo Da Vinci, tidak akan ada Mona Lisa, tiada Manusia Vitruvian dan tidak ada lukisan yang luar biasa.

Sekarang, mari bawa fikiran kita ke akhir abad ke-14, 9,656 kilometer dari Florence ke Semenanjung Tanah Melayu.
Dalam tempoh sama, Melaka berada di kemuncak keagungannya. Beribu-ribu kapal belayar ke pelabuhannya setiap hari. Para pedagang Arab, Cina, Eropah dan India memenuhi di jalan-jalan di Melaka dan lebih daripada 80 bahasa dituturkan di bandar ini.
Undang-undang ketika itu ditulis dengan tangan menggunakan aksara Jawi, seperti Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Laut yang memastikan keamanan dan keharmonian yang menjadikan Pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan yang menarik.

Kitab Bedil atau Buku Senjata Api, pula diiktiraf oleh Kelab Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai manuskrip utama, mencatatkan pengetahuan dalam persenjataan dan senjata api.
Ini adalah antara banyak sebab mengapa kita perlu menghargai sejarah, warisan dan hikayat kita sendiri. Ia diabadikan dalam manuskrip-manuskrip Melayu, yang ditulis dalam bahasa Jawi, tetapi naskhah awal dan tablet batu ditulis dalam skrip Rencong dan Pallava.
Manuskrip-manuskrip yang berjumlah lebih daripada 10,000 itu, menyimpan pengetahuan kuno tentang tamadun Melayu. Manuskrip meliputi tajuk-tajuk yang terdiri daripada tadbir urus, protokol, seni bina, pembinaan kapal, senjata, kesusasteraan, hiburan, muzik, kebijaksanaan dan pemikiran kreatif.

Hari ini, salinan manuskrip-manuskrip ini boleh didapati di lebih 150 muzium dam perpustakaan di sekurang-kurangnya 58 negara.
Ia boleh didapati di universiti dan pusat kajian seperti Cambridge, Harvard, Perpustakaan St. Petersburg, Universiti Leiden, Perpustakaan British, Muzium British dan Perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat. Salinan tertua kitab undang-undang Melaka berada di Perpustakaan Bandar Vatican. Perpustakaan Negara Malaysia sendiri mempunyai lebih 4,500 manuskrip antara 20 ke 300 muka surat setiap satu.
Ia disimpan, dilindungi dan tidak digunakan untuk meneruskan tradisi keilmuan dan kreativiti. Bayangkan ciptaan apakah yang boleh dihasilkan jika kita terus mengkaji, menambah baik dan ke hadapan mengikut pemikiran kritikal yang dirangsang oleh manuskrip-manuskrip berkenaan.

Ketika ini, kematian tulisan Jawi secara perlahan membunuh minat dan momentum kajian manuskrip Melayu.
Manuskrip-manuskrip ini memegang kunci untuk memahami dan visualisasikan dunia kuno kita. Oleh itu, karya-karya sastera ini mempunyai nilai yang sangat besar untuk pembangunan kebudayaan negara kita dan kebanggaan, terutama sumbangannya kepada pembangunan negara.
Kita perlu percaya dengan rasa ingin tahu dan kreativiti kita sendiri untuk melancarkan penyelidikan baharu dan mendedahkan rahsia yang terdapat dalam manuskrip dunia Melayu kita sendiri, agar karya-karya ini diberikan nilai dan pengiktirafan yang selayaknya.
Kredit artikel asal:
http://www.kosmo.com.my/k2/varia/leonardo-dan-alam-melayu-1.975189
Video sejarah kehebatan Melayu yang patut
ditonton:
https://www.youtube.com/watch?v=fey5Orfe1_4
Aku Benci Filem Rambo!
ANDREW WHALEN.NEWSWEEK.20 SEPT 19
Pencipta watak Rambo, David Morell tidak gemar dengan karya Sylvester Stallone yang terkini, Rambo: Last Blood.
David adalah penulis yang menghasilkan novel pertamanya Rambo: First Blood pada tahun 1972. Sedekad kemudian, novelnya diangkat menjadi filem. Dalam First Blood, Rambo,seorang veteran perang Vietnam diancam oleh seorang pegawai polis di Kentucky. Rambo menderita gangguan ingatan sebagai seorang tawanan perang. Ketika pihak polis mahu memotong rambutnya, Rambo melarikan diri dan dia menjadi buruan pihak berkuasa hingga berlaku pertumpahan darah apabila dia bertindak balas.

Sebelum ini, David sempat bertanya dengan Sylvester melalui perbualan telefon tatkala filem itu dalam pembikinan. David berharap, filem itu mempunyai jiwa dan kemanusiaan di mana Rambo menjejak kehilangan seorang remaja dan mempertahankan sebuah keluarga yang dia tak pernah ada.
Namun perbualan telefon itu terhenti. Dan, Sylvester menyiapkan skrip itu bersama Matthew Cirulnick dengan versi baharu.

“Saya bencikan filem itu,” kata David di Twitternya. “Filem itu hancur. Malu kerana nama saya terkait dengan filem itu. Saya berasa diperendah dan hilang kemanusiaan bila saya keluar dari pawagam,” kata Morell.
Rasa meluat David Morell juga dikongsi oleh pengulas Peter Hartlaub dari The San Francisco Chronicle. Menurutnya, “filem itu sudah hilang punca mengapa kita tertarik dengan watak Rambo. Pengulas Luke Parker dari We Got This Covered pula mengatakan “filem ini menghancurkan apa juga isi dan kepandaian dalam sebuah kisah yang reput.”
Menurut David, filem ini mempunyai pelbagai kesilapan teknikal. “Filem itu sama seperti filem ganas tahun 70an. Rekaan setnya tampak murah. Pengarahannya pun nampak janggal.”
“Mereka menganggap para penonton boleh selesa dengan latar belakang Rambo. Tapi mereka yang di bawah 40 tahun akan tertanya-tanya apa fungsi terowong dalam filem itu.”

David memang menganggap filem Rambo adalah mengenai peperangan, khususnya keganasan yang dibawa oleh perang Vietnam ke Amerika. Betapa pun, kritik David bukannya kerana para pengulas filem itu mengatakan ia berbaur politik apabila ia menggambarkan kejahatan orang Mexico yang mana ia adalah apa yang Presiden Trump kerap mainkan.
David mengakhiri dengan berkata, “Hanya dua minit pertama filem itu begitu menarik.”
Rambo mengisahkan mengenai seorang veteran perang Vietnam yang bergelut dengan trauma peperangan. Dia kehilangan ramai teman sepasukan. Apabila kehadirannya tidak diterima di sebuah kampung hingga menimbulkan pergeseran dengan pihak polis tempatan, Rambo melarikan diri. Malangnya dia dikejar dan ini memaksa beliau mengambil tindakan sendiri memerangi pasukan keselamatan sebagai seorang askar di medan peperangan.

Setakat ini terdapat lima buah filem dalam francais ini iaitu First Blood, Rambo: First Blood Part II, Rambo III, Rambo dan Rambo: Last Blood.
Selain dari mencipta watak Rambo, novelis David Morell menulis beberapa buah novel termasuk The Chosen, siri Captain America untuk televisyen.
Jom baca pautan asal mengenai filem Rambo terbaru ini: https://www.newsweek.com/rambo-last-blood-review-david-morrell-sylvester-stallone-1460553
Video francais Rambo:
Perpustakaan Manusia di Kuala Lumpur
KENNETH TEE/MALAY MAIL/16 SEP
MEMANG menarik bila kita pergi ke perpustakaan untuk meminjam manusia! Kita boleh dengar apa yang disampaikannya dan kita boleh pula menyoalnya!

Malay Mail.com melaporkan, kini kita boleh mengakses buku manusia di Perpustakaan Manusia Taman Tugu, atau Taman Tugu Human Library (TTHL) iaitu sebuah program yang diadakan pada Ahad pertama setiap bulan.
Perpustakaan Manusia atau “Menneskebiblioteket” dalam bahasa Denmark pada mulanya diadakan pada tahun 2000 di Copenhagen. Tujuannya ialah untuk menggalakkan dialog dengan sekumpulan manusia bagi menangani sikap prejudis dan stereotaip terhadap sesuatu topik.
Perpustakaan manusia ini unik kerana setiap buku manusia yang terdiri daripada sukarelawan mempunyai cerita pengalaman dari perpektif yang berlainan.
Menurut koordinator bersama Mienal Hussein, tujuan TTHL adalah untuk merungkai stereotaip. TTHL tidak banyak berbeza daripada apa yang dijalankan di Denmark di mana pembaca boleh ‘meminjam’ manusia yang berperanan sebagai buku dan mengadakan perbualan yang jarang-jarang dapat mereka perolehi.

“Masyarakat menerima baik dan sukakan konsep ini. Mereka yang datang mendapati sesuatu yang baharu setiap kali mereka ke mari,” katanya.
Sebanyak 16 buah ‘buku’ disediakan. TTHL terbuka kepada sesiapa sahaja dan ia adalah percuma.
Sesi membaca adalah dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari dalam bahasa Malaysia atau Inggeris. Setiap sesi berjalan selama 30 minit.
Sudut Kanak-kanak juga disediakan untuk mereka berpeluang belajar mengenai permainan tradisional dan aktiviti interaktif mengenai alam.
TTHL yang pertama diadakan pada 7 April dengan tajuk ‘Sejarah Militeri Malaysia’ yang disertai oleh veteran tentera yang datang untuk berkongsi cerita.
Mienal yang mengurus TTHL dengan tiga orang rakannya berkata, apa yang sukar ialah memperkenalkan konsep buku manusia ini kerana masyarakat Malaysia belum biasa dengannya.

“Terdapat juga sukarelawan yang sukar berkongsi cerita kerana bimbang, pandangan masyarakat terhadap pengalaman mereka itu,” katanya.
Seorang lagi perintis yang mewujudkan TTHL ini, Kolonel (B) Allen Lai, telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama 36 tahun berkata, Taman Tugu adalah tempat yang sesuai kerana sesi TTHL yang pertama adalah mengenai sejarah ketenteraan Malaysia.
“Tak banyak buku mengisahkan mengenai tentera. Kini tibalah masa untuk bercerita,” katanya.
Setakat ini, TTHL diselenggarakan oleh sukarelawan melalui sumbangan orang ramai. Lai berharap syarikat korporat boleh tampil untuk menaja aktiviti ini.

Tajuk-tajuk TTHL juga telah meliputi topik-topik seperti barah, pemuliharaan alams ekitar, peristiwa 13 Mei dan kisah mangsa peperangan.
Sesi TTHL yang berikutnya ialah pada 6 Oktober hadapan.
Jom tonton Video TTHL:
https://www.youtube.com/watch?v=3Dbb4oioW9I


