MAAFCAKAP 25.9.19
Dari semasa ke semasa saya akan menggunakan laman Wikipedia untuk mendapat maklumat mengenai seseorang. Ia melibatkan personaliti seperti para pemimpin politik, ahli-ahli akademik, selebriti, ahli sukan, tokoh agama dan sejarawan. Lama kelamaan saya terperasan suatu perbezaan yang ketara di antara personaliti dari zaman dahulu dan personaliti pada zaman sekarang.
Saya dapati, tokoh-tokoh dari zaman dahulu, contohnya ahli falsafah Greek, Aristotle mempunyai banyak lagi kemahiran yang membuatnya terkenal. Selain dari menjadi seorang ahli falsafah, Aristotle juga mempunyai kemahiran dalam bidang fizik, biologi, zoologi, metafizik, puisi, muzik, psikologi, ekonomi, politik dan banyak lagi.
Begitu juga pereka Leonardo da Vinci bukan sahaja pandai mencipta. Beliau juga seorang pelukis, saintis, pemuzik, pakar matematik, sastera, anatomi dan astrologi. Bapa perubatan moden iaitu Ibnu Sina bukan sahaja tahu ilmu perubatan. Beliau juga adalah seorang ahli astronomi, geografi, psikologi, teologi, matematik, fizik dan puisi.
Bapa sejarah dan kebudayaan moden, Ibn Khaldun pula adalah seorang pakar sejarah, politik, ekonomi, perdagangan, sosiologi, astronomi, numerologi, kimia dan sumber manusia. Kehebatan ilmu mereka di zaman dahulu begitu pelbagai. Bila masa mereka belajar hingga berkemahiran di dalam bidang-bidang itu hingga boleh menyumbang kepada kemanusiaan amat kita sanjung.
Apabila saya menelusuri ke laman-laman personaliti pada zaman sekarang, ia sarat dengan sejarah dan kepakaran seseorang itu tidak melebihi daripada lima bidang. Presiden Amerika, Donald Trump merupakan seorang yang berkelulusan ekonomi, yang kemudiannya menjadi seorang ahli perniagaan, personaliti televisyen sebelum menceburi bidang politik.
Seniman Hollywood Tom Hanks pula adalah seorang pelakon, penulis, pengarah dan juga penerbit. Selebriti Oprah Winfrey pula adalah seorang eksekutif media, pelakon, penyampai dan juga penerbit. Cristiano Ronaldo pula adalah seorang pemain bolasepak dan tiada kemahiran ilmu selain daripada itu.
Tiada yang salah dan betulnya samada seseorang itu menjadi seorang generalist mahupun specialist. Cuma, jika kita renungi, kita akan bertanya mengapa orang dahulu mempunyai pelbagai kemahiran tetapi orang sekarang mempunyai kemahiran yang terbatas. Tidak boleh tidak, kita akan dapati pengkhususan kita semua dalam sesebuah bidang itu adalah kerana sistem.
Revolusi industri menuntut pengeluaran massa melalui pengilangan. Ia memerlukan banyak tenaga dan salah satu caranya ialah dengan memberi pengkhususan. Hampir semua negara di dunia yang menerima tempias revolusi industri berlumba-lumba untuk maju dengan menghimpun seramai mungkin rakyatnya untuk menjadi mesin kepada ekonomi negara. Pengkhususan diperlukan dan ilmu kejuruteraan dan teknikal diberi tumpuan. Sebaliknya ilmu-ilmu yang lebih umum seperti kemanusiaan, seni dan sastera diketepikan kerana ia tidak produktif untuk menjana kekayaan negara.
Negara kita sendiri telah melaluinya. Anak-anak diterap dengan ilmu sains dan teknologi. Mereka dipisahkan ke aliran sains dan sastera. Yang sains mendapat peluang yang lebih dalam sebuah negara membangun. Mereka yang meminati sastera dipandang sebelah mata kerana tidak memberi sumbangan material yang semerta untuk ekonomi negara.
Sekolah, kolej dan universiti akhirnya menjadi kilang mengeluarkan manusia. Mereka segera diserap ke dalam industri. Tidak mengapalah seandainya mereka ini hanya mengetahui samada bidang sains atau sastera, asalkan matlamat berkhidmat untuk negara itu dapat diutamakan.
Malangnya, inilah yang melahirkan sekumpulan manusia otak kanan yang mempunyai kebolehan kreatif dan sekumpulan lagi manusia berotak kiri yang mempunyai kemahiran dalam hal-hal logik, sistem dan sekuen. Sedangkan semua manusia itu lahir dengan otak kiri dan kanan. Pengkhususan itu sendiri melahirkan manusia yang punyai kemahiran sebelah otak sahaja. Bukankah itu namanya otak tak centre?
Walau apa pun, akhirnya ketidakseimbangan dunia dalam mengejar teknologi dan industri telah melahirkan manusia yang robotik. Mereka hilang rasa kemanusiaan. Pergerakan mereka berbentuk autopilot yang bergerak sehala dan segaya seperti binatang ternak. Mereka mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan. Apa yang majoriti ikut, itulah yang betul.
Kini, kita semua berada di dalam kolam yang sama. Jika kita ingin berubah dan menambah ilmu keduniaan untuk akhirat, kita kenalah mulakan sendiri. Sebahagian besar daripada kita sudah ada kemahiran-kemahiran tumpul yang perlu diasah hingga tajam. Mungkin kita seorang jurutera eletronik dari segi profesion. Namun di dalam diri kita terdapat kemahiran-kemahiran dahulu yang sudah tenggelam.
Hanya dengan meningkatkan penumpuan kita kepada kemahiran yang telah lama kita tinggalkan, baharulah kita menjadi manusia yang bijak dan unik. Kita adalah individu yang punyai jiwa dan rasa. Bukannya salah sebuah buih yang banyak, yang akan meletup dah hilang dalam sekelip mata!