KENNETH TEE/MALAY MAIL/16 SEP

MEMANG menarik bila kita pergi ke perpustakaan untuk meminjam manusia! Kita boleh dengar apa yang disampaikannya dan kita boleh pula menyoalnya!

MM 1: Pandangan umum Taman Tugu Human Library ~ foto Ahmad Zamzahuri Malaymail

Malay Mail.com melaporkan,  kini kita boleh mengakses buku manusia di Perpustakaan Manusia Taman Tugu, atau Taman Tugu Human Library (TTHL) iaitu sebuah program yang diadakan pada Ahad pertama setiap bulan.

Perpustakaan Manusia atau “Menneskebiblioteket” dalam bahasa Denmark pada mulanya diadakan pada tahun 2000 di Copenhagen. Tujuannya ialah untuk menggalakkan dialog dengan sekumpulan manusia bagi menangani sikap prejudis dan stereotaip terhadap sesuatu topik.

Perpustakaan manusia ini unik kerana setiap buku manusia yang terdiri daripada sukarelawan mempunyai cerita pengalaman dari perpektif yang berlainan.

Menurut koordinator bersama Mienal Hussein, tujuan TTHL adalah untuk merungkai stereotaip. TTHL tidak banyak berbeza daripada apa yang dijalankan di Denmark di mana pembaca boleh ‘meminjam’ manusia yang berperanan sebagai buku dan mengadakan perbualan yang jarang-jarang dapat mereka perolehi.

Koordinator, Mienal Hussain bercakap dengan wartawan ~ foto Ahmad Zamzahuri Malaymail

“Masyarakat menerima baik dan sukakan konsep ini. Mereka yang datang mendapati sesuatu yang baharu setiap kali mereka ke mari,” katanya.

Sebanyak 16 buah ‘buku’ disediakan. TTHL terbuka kepada sesiapa sahaja dan ia adalah percuma.

Sesi membaca adalah dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari dalam bahasa Malaysia atau Inggeris. Setiap sesi berjalan selama 30 minit.

Sudut Kanak-kanak juga disediakan untuk mereka berpeluang belajar mengenai permainan tradisional dan aktiviti interaktif mengenai alam.

TTHL yang pertama diadakan pada 7 April dengan tajuk ‘Sejarah Militeri Malaysia’ yang disertai oleh veteran tentera yang datang untuk berkongsi cerita.

Mienal yang mengurus TTHL dengan tiga orang rakannya berkata, apa yang sukar ialah memperkenalkan konsep buku manusia ini kerana masyarakat Malaysia belum biasa dengannya.

Sesi Buku Manusia menjalankan sesi kepada pembaca ~ foto Ahmad Zamzahuri Malaymail

“Terdapat juga sukarelawan yang sukar berkongsi cerita kerana bimbang, pandangan masyarakat terhadap pengalaman mereka itu,” katanya.

Seorang lagi perintis yang mewujudkan TTHL ini, Kolonel (B) Allen Lai, telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama 36 tahun berkata, Taman Tugu adalah tempat yang sesuai kerana sesi TTHL yang pertama adalah mengenai sejarah ketenteraan Malaysia.

“Tak banyak buku mengisahkan mengenai tentera. Kini tibalah masa untuk bercerita,” katanya.

Setakat ini, TTHL diselenggarakan oleh sukarelawan melalui sumbangan orang ramai. Lai berharap syarikat korporat boleh tampil untuk menaja aktiviti ini.

Sesi Buku Manusia atau Menneskebiblioteket yang diadakan di Denmark ~ foto Kulturhuset Islands Brygge

Tajuk-tajuk TTHL juga telah meliputi topik-topik seperti barah, pemuliharaan alams ekitar, peristiwa 13 Mei dan kisah mangsa peperangan.

Sesi TTHL yang berikutnya ialah pada 6 Oktober hadapan.

Pautan asal:
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/09/16/want-to-borrow-a-human-book-check-out-taman-tugus-human-library-in-kuala-lu/1790891

Jom tonton Video TTHL:
https://www.youtube.com/watch?v=3Dbb4oioW9I