Anak Malaysia, Anak Kita Juga
MAAFCAKAP 17,1,2024
Kelmarin, kita terkilan. Pasukan Bolasepak Malaysia yang bergelar Harimau Malaya, tewas dengan pasukan Jordan 0-4 dalam siri perlawanan Piala Asia 2023. Perlawanan itu diadakan di Stadium Al Janoub, Qatar. Malaysia, Jordan, Korea Selatan dan Bahrain dihimpun dalam kumpulan E.
Dengan kekalahan itu, Malaysia berada di kedudukan tercorot di bawah Jordan yang menjuarai carta, selepas Korea Selatan dan Bahrain. Malaysia tiada jalan selamat melainkan menang dalam dua perlawanan berikutnya menentang Korea Selatan dan Bahrain.
Kekalahan ini begitu memilukan. Para pemain Malaysia diberitakan mengelak kerana tidak mahu ditemubual media. Ultras Malaya, iaitu penyokong setia pasukan Harimau Malaya yang berarak dan bergendang di bazar Souq Waqif, Qatar turut terencat semangat mereka, sekurang-kurangnya selepas perlawanan.
Sebenarnya, pada minggu lalu lagi kita ditimpa kecewa. Para pemain badminton Pasukan Malaysia kecundang di pusingan awal dalam pertandingan Malaysia Open 2024 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ini adalah acara world tour pertama dalam kalendar Badminton World Federation (BWF). Malangnya, tiada pemain kita berjaya ke separuh akhir.
Hanya pasangan-pasangan bergu lelaki berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas. Bergu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas kepada bergu Korea Selatan, sementara bergu Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin pula tewas pada pasangan Jepun.
Pemain bergu wanita M. Thinaah dan Pearly Tan turut tewas pada pusingan awal. Mereka kalah pada pasukan China. Untuk regu campuran, tiga regu Malaysia tewas, masing-masing pada pasukan Jepun, Thailand dan China.
Untuk perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei tewas pada pemain Indonesia Mariska Tunjung dalam pusingan 16. Kedua-dua pemain perseorangan lelaki pula iaitu Ng Tze Yong terpaksa meninggalkan gelanggang akibat kecederaan dalam perlawanan dengan pemain Jepun, K. Watanabe. Perseorangan lelaki harapan Lee Tze Jia turut tewas dengan pemain China, Lu Guangzu. Betapa kita tewas di gelanggang sendiri untuk membuktikan yang kita bukannya jaguh kampung!
Pada hari ini, sukan yang mempertontonkan kemahiran seperti golf atau memanah, yang di dalam gelanggang seperti tenis dan sepak takraw atau yang mengizinkan sentuhan tubuh seperti ragbi, tinju dan muay thai dipermainkan oleh mereka yang profesional.
Format anjuran banyak jenis sukan pada hari ini menjangkau ke peringkat dunia yang melibatkan sesebuah badan kerajaan yang memerintah. Dengan hebahan media, ia menarik sokongan warga negara sehinggakan menang atau kalah akan menjadi tajuk perbualan dan isu semasa.
Kesan psikologinya begitu hebat bagi sesetengah para peminat sehinggakan ada di kalangan mereka boleh memberi sokongan menggila. Pihak kerajaan yang menyifatkan sesebuah acara sukan itu memberi faktor feel good turut tidak ragu-ragu memberi cuti khas peristiwa pada satu-satu kemenangan.
Namun sebaliknya seandainya tewas, ia bisa mengundang rasa kecewa dan kecundang di hati para peminat. Pada hari ini para peminat sukan memanifestasikan sokongan mahupun melontarkan cemuhan di padang media sosial.
Terbaharu, para netizen bukan sahaja mencemuh kekalahan para pemain pasukan badminton Malaysia. Malah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria diminta melepaskan jawatan. Untuk Pasukan Harimau Malaya yang tewas kepada Jordan kelmarin, sudah timbul suara-suara sumbang yang mengkritik permainan mereka.
Para pemain yang terpilih mewakili Malaysia telah melalui pelbagai saringan. Ramai pemain yang diasuh sejak kecil lagi. Mereka juga telah menjalani latihan tubi dan lasak, siang dan malam untuk menjadikan mereka robt untuk menang dan menang.
Namun, menang dan kalah sudah menjadi adat pertandingan. Meskipun mereka dibayar sebagai pemain, tetapi mereka menukarkan bayaran itu dengan harga pengorbanan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Mereka mewakili Malaysia dan akan manyarung Jalur Gemilang, di bahu dan disemai di hati mereka.
Mereka adalah anak Malaysia. Kita harus menyayangi mereka sebagai anak. Menang atau kalah, baik atau buruk, mereka tetap adalah anak; anak Malaysia yang telah berkorban untuk negara dengan cara mereka.
Bila Bertemu Sahabat Lama
MAAFCAKAP 10.1.2024
Minggu lalu dua orang sahabat lama berkunjung ke tempat kerja saya di Malakat Mall. Yang pertama, Wari kawan sekampus, teman dalam persatuan pelajar dan rakan sekerja. Dia datang tanpa memberitahu terlebih dahulu; tiada panggilan, tiada mesej. Tiba-tiba sahaja dia tersengih-sengih bila melihat saya di hadapan kedai buku Iqraread.
Sebaik sahaja bersalaman, dia memeluk seraya menepuk-nepuk bahu saya. Dia gembira sangat bila dapat bertemu. Gelak dan ketawa besar sentiasa mengiringi bila kami berbual di kafe. Banyak kisah-kisah lama yang kami kumbah. Tidak terasa masa begitu cepat berlalu kerana kisah-kisah yang dikongsi itu bagai semalam terjadi. Padahal, kami sudah terpisah lebih 20 tahun.
Ziela pula adalah teman sekerja saya di akhbar Sinar Harian. Kemudian kami dan beberapa rakan yang lain sama-sama bertugas di Malakat Mall. Tidak lama kemudian, dia mengundur diri untuk bertugas dalam pasukan media orang politik.
Bila Ziela tiba-tiba mengirim mesej mengatakan yang dia hendak datang, saya jawab yang saya akan tunggu dia meskipun dia memberitahu secara ‘last minute.’ Walaupun waktu sudah hendak menjelang Maghrib, saya tidak ambil kira kerana dia sahabat lama. Saya perlu ketepikan masa untuk menyambung persahabatan yang terungkai seketika bila kami tidak lagi bertugas di bawah satu bumbung.
Insan-insan yang ditakdirkan menjadi saudara kandung, saudara-mara, sahabat handai, rakan dan taulan adalah mereka yang mempengaruhi perangai kita pada hari ini. Ibu bapa kita telah membentuk kita dengan segala kata-kata semangat, ancaman, larangan, nasihat serta juga panduan. Pengaruh mereka begitu besar kepada kita sehinggakan cara berjalan dan cara ketawa pun kita ajuk daripada mereka.
Saudara-mara, sepupu sepapat jauh dan dekat mewarnai cara kita bersosial dalam budaya keluarga yang besar. Biasanya datuk, nenek atau Pak Long yang mengatur budaya generasi. Di kala kenduri kendara perkahwinan biasanya, masing-masing akan turun padang untuk membantu.
Para sahabat, tidak kira samada teman sekelas, sekampus, jiran setaman, jemaah qariah mahupun rakan sekerja turut membentuk siapakah diri kita pada hari ini. Jika di kalangan keluarga terdekat kita adalah insan yang introvert, tidak mustahil kita boleh menjadi insan extrovert apabila punyai ramai kawan dari jenis ‘hu-ha.’
Renunglah diri dan sedari perubahan diri sejak kecil hingga ke dewasa dan lewat ke hari ini. Pasti kita sudah jauh berubah. Bagaimana pun perubahan itu tidak mungkin disedari oleh mereka yang sentiasa di sekeliling kita kerana mereka saban hari ada bersama.
Peluang kita untuk mengetahui ‘diri kita yang dahulu’ akan tiba apabila kita berpeluang untuk menemui kawan lama. Sekiranya mereka mencari kita, Alhamdulilah kerana ia adalah petanda yang kita masih okey pada pandangan mereka. Bayangkan sekiranya kawan lama cuba mengelak dari bertemu dengan kita hingga membuatkan mereka tidak selesa jika terserempak dengan kita.
Dalam berbual, apa yang tidak kurang penting ialah body language atau bahasa tubuh. Jika teman yang datang menyapa dengan begitu terbuka tiba-tiba kelihatan kekok, pasti ia petanda yang kita sudah berubah di matanya. Ada jelingan sekilas pandang yang terjadi tatkala perbualan terhenti seketika.
Kita perlu segera mengimbas diri apakah perubahan kita kini menjadikan teman lama tidak selesa? Jika kita sudah menjadi orang yang lebih tinggi status sosial daripadanya, kita perlu segera turunkan status itu untuk sama-sama searas dengan teman di hadapan kita. Sebaliknya jika perawakan kita dilihat negatif oleh teman, kita perlu diam-diam mengimbas perangai diri.
Walau apa pun, bertemu sahabat lama punyai erti yang tersendiri. Sedikit sebanyak mereka telah mencalit warna yang menjadikan siapakah kita pada hari ini. Mereka menjadi watak-watak dalam episod kehidupan kita. Apabila kita berpisah dengan mereka, babak mereka dengan kita sudah berlalu.
Tetapi, apabila bertemu kembali, itulah peluang bagi kita untuk menyemak semula samada peran skrip kehidupan yang kita bawa ketika bersama baik pada pandangan mereka. Jika sebaliknya, itulah satu-satunya peluang untuk kita bermuhasabah.
Tetapi yang lebih penting sebelum berpisah dengan mereka ialah untuk melafazkan persetujuan ‘kosong-kosong’ dengan mereka. Iyalah, mana mungkin kita mahu merangkak mencari mereka di Padang Mahsyar esok jika kita ada unfinished business dengan mereka?
Erti Biar Cepat Asal Selamat
MAAFCAKAP 3,1,2024
Hari ini kita di hari ketiga 2024. Sebelum kita perasan hari-hari yang kita lalui seterusnya, sedar, sedar kita sudah melangkau hari yang ke-10. Begitulah derasnya waktu merangkak. Meskipun jarum saat sentiasa berdetik perlahan, kita pula yang kian huru-hara mengejar masa. Sesungguhnya kita sentiasa mencemburui masa yang sentiasa mendahului meskipun ia konsisten bergerak perlahan.
Kita diibaratkan sebagai arnab, dan jam pula sebagai kura-kura dalam Aesop Fables. Dalam dongeng itu Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk satu perlumbaan. Dengan bongkaknya Sang Arnab tertawa kerana dia tahu yang dia pasti menang. Namun, pada perlumbaan itu, Sang Kura-kura berjaya mengalahkan Sang Arnab.
Kisah arnab dan kura-kura itu pun bukannya cerita dongeng. Beberapa tahun lalu, ada eksperimen perlumbaan di antara arnab dan kura-kura dibuat di Thailand serta juga Indonesia. Hasilnya, kura-kura yang menang! Kita boleh buat carian di You Tube untuk menontonnya.
Namun, terdapat dua pengajaran yang kita peroleh dari kisah perlumbaan ini. Pertama, kura-kura berjalan perlahan menuju ke garisan penamat. Kerana ia konsisten, kura-kura sampai dahulu. Kedua, arnab pula yang kalah meskipun ia berkeupayaan untuk berlari laju. Kekalahannya berpunca dari kealpaan. Ia terlupa yang ia sedang berlumba, lalu tidur di pertengahan perlumbaan hingga ditinggalkan oleh kura-kura.
Kura-kura dengan sifat dan kudratnya boleh berpegang pada prinsip ‘biar lambat asal selamat.’ Sebaliknya, keputusan perlumbaan boleh berubah seandainya si arnab mengamalkan prinsip ‘biar cepat asal selamat’ untuk berlari secara konsisten meninggalkan kura-kura hingga ke garisan penamat.
Biar cepat asal selamat. Meskipun ini adalah ubahsuai dari bidalan asal ‘biar lambat asal selamat,’ ramai di kalangan kita yang tidak dapat mempraktikkannya. Peluang untuk berjaya memperoleh apa yang diingini begitu banyak muncul di hadapan kita. Bagaimana pun godaan-godaan untuk mengalih fokus kita pada apa yang dikehendaki juga banyak.
Godaan muncul pada setiap langkah, di segenap persimpangan, menggamit atau menarik perhatian kita dari jalan menuju ke matlamat. Jika direnungi, tiada pun godaan-godaan itu secara fizikal muncul lalu mengheret kita dari jalan yang kita tuju. Kita sendiri yang tanpa disuruh atau dipaksa, meninggalkan perlumbaan menuju ke matlamat untuk melayani godaan yang muncul mengacah perhatian.
Bagaimanakah cara kita untuk mengelak dan lari dari semua godaan-godaan ini? Kelajuan atau speed adalah jawapannya. Kelajuan adalah kuantiti skala kecepatan sesebuah pergerakan yang bersandarkan masa dan jarak.
Apabila kita laju dalam berbuat sesuatu, kita akan tingkatkan tumpuan sepertimana kita akan beri lebih tumpuan jika kita memandu laju. Yang kita nampak ialah jalan di hadapan. Pokok, manusia, kenderaan lain tidak akan dipedulikan melainkan jika ada yang melintas di hadapan. Dengan kelajuan, kita akan memberi respon yang cepat samada untuk berhenti membiarkan halangan untuk melintas. Tetapi dalam banyak keadaan, kita akan mengelak sahaja dan terus memecut laju.
Maknanya, kelajuan membolehkan kita segera meresap apa jua perubahan untuk terus bergerak tanpa berfikir panjang-panjang atau over-thinking. Apabila kita melangut memikirkan masalah, ia mengambil masa apabila kita berdiam. Yang penting, halangan yang sampai itu ditangani dengan inovasi mahupun ‘tiruvasi,’ untuk segera belajar memperbaiki kekurangan. Caranya ialah dengan tidak memikirkan godaan. Tetapi seandainya godaan itu datang lagi, ia adalah sebuah masalah yang harus ditangani.
Kita semua mempunyai masalah. Dan kita semua sedang mencari cara menyelesaikan masalah. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa penyelesaian kepada masalah kita sebenarnya terdapat begitu hampir di sekeliling kita. Barangkali kita tidak sedar bahawa apa yang kita ada itu sebenarnya penyelesaian satu atau kesemua masalah kita.
Kerana itu, kita perlulah ligatkan fikiran serta lajukan tindakan. Kelajuan kita dalam bertindak membolehkan kita mengenali samada apa yang tampil dalam perjalanan kita itu penghalang yang perlu ditangani atau sekadar berlalu melewati kita.
Apabila kita tidak ambil peduli pada apa yang tidak akan menjejaskan matlamat, baharulah kita boleh bergerak cepat tetapi dengan selamat.
Mari Kita Susun Aktiviti Diri
MAAFCAKAP 27.12.2023
Secara puratanya, 45% aktiviti yang kita lakukan setiap hari adalah rutin. Rutin bermakna, aktiviti yang kita buat pada waktu yang sama pada setiap hari. Mandi, berus gigi, membuat kopi dan memandu ke pejabat adalah di antara aktiviti rutin. Demikian menurut kajian Tim Ranzetta, seorang Pengurus Kewangan dari Next Gen Personal Finance, Manhattan.
Ini bermakna bagi orang biasa, 55% atau lebih separuh dari aktiviti harian kita adalah yang bukan rutin, yang berbeza setiap hari. Persoalan di sini ialah, apakah kita tergolong di kalangan mereka yang biasa iaitu melakukan 45% aktiviti rutin dan 55% aktiviti di luar rutin? Jika begitu, kita hanyalah orang biasa yang hidup di bawah tempurung kebiasaan.
Orang biasa adalah, maaf cakap… orang ‘koman.’ Orang biasa melalui hidup yang hampir serupa pada setiap hari. Keadaan yang mengatur jalur hidupnya, bukan dia yang menentukan hala tuju masa depannya. Jika pun ada keluarbiasaan yang berlaku terhadapnya pada sesuatu ketika, dia tidak akan berasa selesa dan akan memberontak. Ini menjadikan dia mudah koyak!
Seorang Jurulatih Prestasi, Chris Sparks yang melatih ramai Ketua Pegawai Eksekutif dari New York telah menggunakan konsep forcing function atau paksaan untuk berfungsi bagi meningkatkan prestasi. Secara ringkasnya, forcing function ialah bertindak untuk melakukan sesuatu tugas hingga menunjukkan hasil.
Sudah tentu, sikap yang berlawanan dengan konsep forcing function ini ialah procrastination ataupun sikap bertangguh. Di antara punca sikap bertangguh ini akibat kurang pengetahuan terhadap tugas yang harus dilakukan, bimbang akan kegagalan atau faktor kurang fokus.
Bagaimanakah kita dapat mengaplikasikan konsep forcing function iaitu seperti memaksa diri berbuat sesuatu hingga kita menjadi manusia yang berorientasikan tindakan? Perkara pertama yang harus dikenalpasti ialah apakah aktiviti rutin dan bukan rutin harian kita 45%-55% mewakili golongan orang biasa? Lebih buruk lagi jika rutin seharian kita melebihi 70%! Ini boleh berlaku jika kita adalah orang yang asyik menekur menatap telefon melayari pelbagai media sosial atau permainan komputer. Telefon dikenalpasti menjadi di antara faktor yang melalaikan seseorang.
Jika begitu, apakah kita tergolong di kalangan mereka yang mempunyai masalah prestasi kerja? Kita boleh kesan apabila kita berdepan dengan banyak kerja-kerja kita lewat siap, kerap membuat kerja lebih masa atau mendapati kerja-kerja kita semakin sehari semakin menimbun.
Yang penting ialah bagaimana kita dapat mengurangkan rutin agar menjadi lebih produktif. Cara yang mudah ialah mengenal pasti manakah rutin yang wajib dan manakah rutin yang boleh diubah menjadi sesuatu yang tidak rutin. Mandi, memberus gigi dan makan minum adalah rutin yang wajib.
Berjalan-jalan ke meja rakan sepejabat, bersembang sambil minum-minum di gerai termasuk juga waktu kita menekur melihat telefon atau menonton TV adalah di antara rutin tidak wajib yang boleh dijarak atau dipendekkan masanya. Ini akan memberi ruang masa untuk aktiviti-aktiviti di luar rutin.
Bina sebuah jadual harian sebagai monitoring tool yang berkesan. Melalui penjadualan, kita boleh merekod aktiviti seharian. Buatlah jadual mengikut format jadual waktu di sekolah dahulu. Ia pula seharusnya bersifat holistik, bukan sahaja merekod kerja-kerja rasmi tetapi termasuk aktiviti peribadi seperti menghantar kereta untuk diservis, berkebun atau memvakum ruang tamu. Kita adalah orang yang sama, samada kita berada di pejabat, di rumah atau di mana-mana.
Era pandemik di mana kerja di rumah atau work from home telah menjalin kehidupan di mana kita membuat kerja pejabat di rumah dan membuat hal peribadi pada waktu pejabat. Konsep ‘hal pejabat jangan dibawa ke rumah’ sudah tidak praktikal kerana ‘urusan rumah sudah banyak dibawa ke pejabat.’ Jadi, usah asingkan aktiviti kerja dan juga peribadi.
Jadual yang dibina nanti akan memperlihatkan betapa banyak aktiviti rutin yang kita lakukan berbanding dengan aktiviti di luar rutin yang kita amalkan. Malah, jangan terkejut bila kita lihat betapa banyak masa yang kita bazirkan.
2023 mula terbenam. 2024 pula hampir menjelma. Begitu pantas masa beredar. Sedar, sedar kita sudah berada di penghujung tahun. Dalam skala 1 hingga 10, berapakah angka pencapaian yang terlintas di minda kita? Jika angkanya kurang 6, maka banyak yang perlu kita lakukan untuk mengubah diri dan masa depan sendiri.
Menang Dengan Menyusahkan Orang
MAAFCAKAP 20.12.2023
Imej Goodreads, sebuah laman web terbesar untuk peminat buku telah tercalar sehinggakan ia terpaksa meminta ahli-ahlinya turun membantu meredakan masalah yang dihadapinya. Ia berpunca apabila seorang penulis yang bakal melahirkan sebuah novel telah bermain kotor untuk menaikkan namanya.
Cait Corrain telah membuat ‘review bombing’ iaitu melontar komentar-komentar negatif dari akaun ke akaun penulis baharu. Setelah memberi penilaian satu bintang kepada akaun-akaun itu, dia menyelitkan pula kulit bukunya Crown of Starlight, yang bakal terbit pada tahun 2024 dengan penilaian empat setengah bintang. Berbulan lamanya dia menjalankan onar itu.
Tindakan itu mula dihidu oleh beberapa orang penulis baharu. Salah seorangnya ialah Xiran Jay Zhao. Kerana tidak mahu berdiam diri, Xiran mendedahkan tindakan buruk itu di akaun X. Paparannya tular dan warga netizen segera menggali lalu memaparkan dokumen Google yang menunjukkan begitu banyak sekali komen-komen yang memuji novel Crown of Starlight; tentunya hasil rekaan Cait Corrain sendiri.
Akibatnya, penerbit novel penulis itu Del Ray Books mengambil keputusan untuk mengeluarkan novel itu dari pelan pelancaran pada 2024. Dalam satu kenyataan, Cait Corrain mendakwa yang dia menghidapi depresi dan bimbang novel sulungnya itu tidak mendapat sambutan. Beliau menyatakan rasa kesal di atas tindakannya itu, Namun, nasi telah menjadi bubur.
Sebenarnya, Cait Corrain mempunyai masa depannya yang cerah sebagai seorang penulis. Syarikat Del Ray Books adalah divisyen syarikat Penguin Random House iaitu salah sebuah penerbit buku ternama dan besar di dunia.
Dia pula telah menandatangani kontrak untuk dua siri novel Crown of Starlight yang melebihi 500 halaman bagi satu siri. Malah, Rebecca Podos, seorang penulis yang sedang meningkat naik sanggup menjadi ejen penerbitan novelnya. Sebagai bakat baharu, tapaknya sudah kukuh untuk terus melangkah. Namun, apa lagi yang membuat Cait Corrain tidak sabar, lantas cuba menjatuhkan orang lain yang sama-sama mahu meningkat naik?
Dalam apa jua bidang pada hari ini, sifirnya situasinya sentiasa menang-menang. Situasi menang-kalah mahupun kalah-kalah sudah ketinggalan. Dalam sukan, bisnes, pembangunan, politik, akademik, sains dan apa sahaja istilah kolaborasi adalah amalan semua.
Pemain badminton Malaysia Lee Zii Jia dan pemain badminton Denmark, Victor Axelson, biasa berlatih bersama-sama sebelum masing-masing bermusuh pula di dalam sesebuah kejohanan. Di dalam perniagaan, Syarikat Prasarana Malaysia dan SMRT Corporation Singapura bekerjasama untuk membina rel perkhidmatan keretapi.
Dalam pembangunan prasarana logistik, Malaysia dan Thailand pula bekerjasama dalam land bridge project melalui pembinaan pelabuhan di Ranong da Chumphon di Thailand. Dan, di dalam politik pula kita sudah maklum betapa mana-mana parti boleh bekerjasama meskipun bertahun-tahun tidak boleh bertentang mata. Inilah realiti.
Kolaborasi dua atau lebih pihak dalam apa jua bidang menjamin kestabilan. Apabila pihak-pihak yang menjadi pemegang taruh duduk bersama, mereka akan saling menjaga kepentingan pihak yang lain bagi menjamin keuntungan dari kerjasama itu. Masa akan ditumpukan untuk memaksimakan keuntungan.
Jika masing-masing bergerak sendirian, hasrat untuk mendahului pihak yang satu lagi boleh berakhir dengan sebuah perlumbaan. Oleh kerana ingin menang, maka akan timbul sifat tamak dan haloba lalu perangai menjatuhkan lawan akan terjadi.
Malangnya, bukan semua manusia berpegang dengan sifat saling ingin membantu dan berkongsi apa yang ada agar masing-masing dapat fokus pada usaha menuai hasil. Hasil yang diperoleh dalam suasana yang aman itu lebih membahagiakan. Mana-mana pihak tidak rasa tertekan, tidak selamat dan berasa terancam apabila masing-masing menjaga batas dan petak mencari rezeki masing-masing.
Sebaliknya kerana sifat haiwan yang ingin berkuasa, maka timbul pula sifat ingin menakluk dengan mengalahkan pihak yang dianggap lawan, meskipun pihak yang satu lagi tidak mahu mencari fasal.
Apa yang dilakukan oleh pihak Israel ialah kerana tidak mahu berkongsi kemakmuran dengan warga Palestin. Padahal, semua pihak boleh hidup aman damai seandainya sikap untuk bekerjasama dan berkolaborasi menjadi pilihan.
Sebaliknya, sikap mahu menang dengan menyusahkan orang lain akhirnya akan menjahanamkan diri sendiri. Dalam kes Cait Corrain, dia gagal sebelum bermula!


