MAAFCAKAP 10.1.2024
Minggu lalu dua orang sahabat lama berkunjung ke tempat kerja saya di Malakat Mall. Yang pertama, Wari kawan sekampus, teman dalam persatuan pelajar dan rakan sekerja. Dia datang tanpa memberitahu terlebih dahulu; tiada panggilan, tiada mesej. Tiba-tiba sahaja dia tersengih-sengih bila melihat saya di hadapan kedai buku Iqraread.
Sebaik sahaja bersalaman, dia memeluk seraya menepuk-nepuk bahu saya. Dia gembira sangat bila dapat bertemu. Gelak dan ketawa besar sentiasa mengiringi bila kami berbual di kafe. Banyak kisah-kisah lama yang kami kumbah. Tidak terasa masa begitu cepat berlalu kerana kisah-kisah yang dikongsi itu bagai semalam terjadi. Padahal, kami sudah terpisah lebih 20 tahun.
Ziela pula adalah teman sekerja saya di akhbar Sinar Harian. Kemudian kami dan beberapa rakan yang lain sama-sama bertugas di Malakat Mall. Tidak lama kemudian, dia mengundur diri untuk bertugas dalam pasukan media orang politik.
Bila Ziela tiba-tiba mengirim mesej mengatakan yang dia hendak datang, saya jawab yang saya akan tunggu dia meskipun dia memberitahu secara ‘last minute.’ Walaupun waktu sudah hendak menjelang Maghrib, saya tidak ambil kira kerana dia sahabat lama. Saya perlu ketepikan masa untuk menyambung persahabatan yang terungkai seketika bila kami tidak lagi bertugas di bawah satu bumbung.
Insan-insan yang ditakdirkan menjadi saudara kandung, saudara-mara, sahabat handai, rakan dan taulan adalah mereka yang mempengaruhi perangai kita pada hari ini. Ibu bapa kita telah membentuk kita dengan segala kata-kata semangat, ancaman, larangan, nasihat serta juga panduan. Pengaruh mereka begitu besar kepada kita sehinggakan cara berjalan dan cara ketawa pun kita ajuk daripada mereka.
Saudara-mara, sepupu sepapat jauh dan dekat mewarnai cara kita bersosial dalam budaya keluarga yang besar. Biasanya datuk, nenek atau Pak Long yang mengatur budaya generasi. Di kala kenduri kendara perkahwinan biasanya, masing-masing akan turun padang untuk membantu.
Para sahabat, tidak kira samada teman sekelas, sekampus, jiran setaman, jemaah qariah mahupun rakan sekerja turut membentuk siapakah diri kita pada hari ini. Jika di kalangan keluarga terdekat kita adalah insan yang introvert, tidak mustahil kita boleh menjadi insan extrovert apabila punyai ramai kawan dari jenis ‘hu-ha.’
Renunglah diri dan sedari perubahan diri sejak kecil hingga ke dewasa dan lewat ke hari ini. Pasti kita sudah jauh berubah. Bagaimana pun perubahan itu tidak mungkin disedari oleh mereka yang sentiasa di sekeliling kita kerana mereka saban hari ada bersama.
Peluang kita untuk mengetahui ‘diri kita yang dahulu’ akan tiba apabila kita berpeluang untuk menemui kawan lama. Sekiranya mereka mencari kita, Alhamdulilah kerana ia adalah petanda yang kita masih okey pada pandangan mereka. Bayangkan sekiranya kawan lama cuba mengelak dari bertemu dengan kita hingga membuatkan mereka tidak selesa jika terserempak dengan kita.
Dalam berbual, apa yang tidak kurang penting ialah body language atau bahasa tubuh. Jika teman yang datang menyapa dengan begitu terbuka tiba-tiba kelihatan kekok, pasti ia petanda yang kita sudah berubah di matanya. Ada jelingan sekilas pandang yang terjadi tatkala perbualan terhenti seketika.
Kita perlu segera mengimbas diri apakah perubahan kita kini menjadikan teman lama tidak selesa? Jika kita sudah menjadi orang yang lebih tinggi status sosial daripadanya, kita perlu segera turunkan status itu untuk sama-sama searas dengan teman di hadapan kita. Sebaliknya jika perawakan kita dilihat negatif oleh teman, kita perlu diam-diam mengimbas perangai diri.
Walau apa pun, bertemu sahabat lama punyai erti yang tersendiri. Sedikit sebanyak mereka telah mencalit warna yang menjadikan siapakah kita pada hari ini. Mereka menjadi watak-watak dalam episod kehidupan kita. Apabila kita berpisah dengan mereka, babak mereka dengan kita sudah berlalu.
Tetapi, apabila bertemu kembali, itulah peluang bagi kita untuk menyemak semula samada peran skrip kehidupan yang kita bawa ketika bersama baik pada pandangan mereka. Jika sebaliknya, itulah satu-satunya peluang untuk kita bermuhasabah.
Tetapi yang lebih penting sebelum berpisah dengan mereka ialah untuk melafazkan persetujuan ‘kosong-kosong’ dengan mereka. Iyalah, mana mungkin kita mahu merangkak mencari mereka di Padang Mahsyar esok jika kita ada unfinished business dengan mereka?