MAAFCAKAP 17,1,2024

Kelmarin, kita terkilan. Pasukan Bolasepak Malaysia yang bergelar Harimau Malaya, tewas dengan pasukan Jordan 0-4 dalam  siri perlawanan Piala Asia 2023. Perlawanan itu diadakan di Stadium Al Janoub, Qatar. Malaysia, Jordan, Korea Selatan dan Bahrain dihimpun dalam kumpulan E.

Dengan kekalahan itu, Malaysia berada di kedudukan tercorot di bawah Jordan yang menjuarai carta, selepas Korea Selatan dan Bahrain. Malaysia tiada jalan selamat melainkan menang dalam dua perlawanan berikutnya menentang Korea Selatan dan Bahrain.

Kekalahan ini begitu memilukan. Para pemain Malaysia diberitakan mengelak kerana tidak mahu ditemubual media. Ultras Malaya, iaitu penyokong setia pasukan Harimau Malaya yang berarak dan bergendang di bazar Souq Waqif, Qatar turut terencat semangat mereka, sekurang-kurangnya selepas perlawanan.

Sebenarnya, pada minggu lalu lagi kita ditimpa kecewa. Para pemain badminton Pasukan Malaysia kecundang di pusingan awal dalam pertandingan Malaysia Open 2024 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.  Ini adalah acara world tour pertama dalam kalendar Badminton World Federation (BWF). Malangnya,  tiada pemain kita berjaya ke separuh akhir.

Hanya pasangan-pasangan bergu lelaki berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas. Bergu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas kepada bergu Korea Selatan, sementara bergu Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin pula tewas pada pasangan Jepun.

Pemain bergu wanita M. Thinaah dan Pearly Tan turut tewas pada pusingan awal. Mereka kalah pada pasukan China. Untuk regu campuran, tiga regu Malaysia tewas, masing-masing pada pasukan Jepun, Thailand dan China.

Untuk perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei tewas pada pemain Indonesia Mariska Tunjung dalam pusingan 16. Kedua-dua pemain perseorangan lelaki pula iaitu Ng Tze Yong terpaksa meninggalkan gelanggang akibat kecederaan dalam perlawanan dengan pemain Jepun, K. Watanabe. Perseorangan lelaki harapan Lee Tze Jia turut tewas dengan pemain China, Lu Guangzu. Betapa kita tewas di gelanggang sendiri untuk membuktikan yang kita bukannya jaguh kampung!

Pada hari ini, sukan yang mempertontonkan kemahiran seperti golf atau memanah, yang di dalam gelanggang seperti tenis dan sepak takraw atau yang mengizinkan sentuhan tubuh seperti ragbi, tinju dan muay thai dipermainkan oleh mereka yang profesional.

Format anjuran banyak jenis sukan pada hari ini menjangkau ke peringkat dunia yang melibatkan sesebuah badan kerajaan yang memerintah. Dengan hebahan media, ia menarik sokongan warga negara sehinggakan menang atau kalah akan menjadi tajuk perbualan dan isu semasa.

Kesan psikologinya begitu hebat bagi sesetengah para peminat sehinggakan ada di kalangan mereka boleh memberi sokongan menggila. Pihak kerajaan yang menyifatkan sesebuah acara sukan itu memberi faktor feel good turut tidak ragu-ragu memberi cuti khas peristiwa pada satu-satu kemenangan.

Namun sebaliknya seandainya tewas, ia bisa mengundang rasa kecewa dan kecundang di hati para peminat. Pada hari ini para peminat sukan memanifestasikan sokongan mahupun melontarkan cemuhan di padang media sosial.

Terbaharu, para netizen bukan sahaja mencemuh kekalahan para pemain pasukan badminton Malaysia. Malah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria diminta melepaskan jawatan.  Untuk Pasukan Harimau Malaya yang tewas kepada Jordan kelmarin, sudah timbul suara-suara sumbang yang mengkritik permainan mereka.

Para pemain yang terpilih mewakili Malaysia telah melalui pelbagai saringan. Ramai pemain yang diasuh sejak kecil lagi. Mereka juga telah menjalani latihan tubi dan lasak, siang dan malam untuk menjadikan mereka robt untuk menang dan menang.

Namun, menang dan kalah sudah menjadi adat pertandingan. Meskipun mereka dibayar sebagai pemain, tetapi mereka menukarkan bayaran itu dengan harga pengorbanan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Mereka mewakili Malaysia dan akan manyarung Jalur Gemilang, di bahu dan disemai di hati mereka.

Mereka adalah anak Malaysia. Kita harus menyayangi mereka sebagai anak. Menang atau kalah, baik atau buruk, mereka tetap adalah anak; anak Malaysia yang telah berkorban untuk negara dengan cara mereka.