MAAFCAKAP 20.12.2023

Imej Goodreads, sebuah laman web terbesar untuk peminat buku telah tercalar sehinggakan ia terpaksa meminta ahli-ahlinya turun membantu meredakan masalah yang dihadapinya. Ia berpunca apabila seorang penulis yang bakal melahirkan sebuah novel telah bermain kotor untuk menaikkan namanya.

Cait Corrain telah membuat ‘review bombing’ iaitu melontar komentar-komentar negatif dari akaun ke akaun penulis baharu. Setelah memberi penilaian satu bintang kepada akaun-akaun itu, dia menyelitkan pula kulit bukunya Crown of Starlight, yang bakal terbit pada tahun 2024 dengan penilaian empat setengah bintang. Berbulan lamanya dia menjalankan onar itu.

Tindakan itu mula dihidu oleh beberapa orang penulis baharu. Salah seorangnya ialah Xiran Jay Zhao. Kerana tidak mahu berdiam diri, Xiran mendedahkan tindakan buruk itu di akaun X. Paparannya tular dan warga netizen segera menggali lalu memaparkan dokumen Google yang menunjukkan begitu banyak sekali komen-komen yang memuji novel Crown of Starlight; tentunya hasil rekaan Cait Corrain sendiri.

Akibatnya, penerbit novel penulis itu Del Ray Books mengambil keputusan untuk mengeluarkan novel itu dari pelan pelancaran pada 2024. Dalam satu kenyataan, Cait Corrain mendakwa yang dia menghidapi depresi dan bimbang novel sulungnya itu tidak mendapat sambutan. Beliau menyatakan rasa kesal di atas tindakannya itu, Namun, nasi telah menjadi bubur.

Sebenarnya, Cait Corrain mempunyai masa depannya yang cerah sebagai seorang penulis. Syarikat Del Ray Books adalah divisyen syarikat Penguin Random House iaitu salah sebuah penerbit buku ternama dan besar di dunia.

Dia pula telah menandatangani kontrak untuk dua siri novel Crown of Starlight yang melebihi 500 halaman bagi satu siri. Malah, Rebecca Podos, seorang penulis yang sedang meningkat naik sanggup menjadi ejen penerbitan novelnya. Sebagai bakat baharu, tapaknya sudah kukuh untuk terus melangkah. Namun, apa lagi yang membuat Cait Corrain tidak sabar, lantas cuba menjatuhkan orang lain yang sama-sama mahu meningkat naik?

Dalam apa jua bidang pada hari ini, sifirnya situasinya sentiasa menang-menang. Situasi menang-kalah mahupun kalah-kalah sudah ketinggalan. Dalam sukan, bisnes, pembangunan, politik, akademik, sains dan apa sahaja istilah kolaborasi adalah amalan semua.

Pemain badminton Malaysia Lee Zii Jia dan pemain badminton Denmark, Victor Axelson, biasa berlatih bersama-sama sebelum masing-masing bermusuh pula di dalam sesebuah kejohanan. Di dalam perniagaan, Syarikat Prasarana Malaysia dan SMRT Corporation Singapura bekerjasama untuk membina rel perkhidmatan  keretapi.

Dalam pembangunan prasarana logistik, Malaysia dan Thailand pula bekerjasama dalam land bridge project melalui pembinaan pelabuhan di Ranong da Chumphon di Thailand. Dan, di dalam politik pula kita sudah maklum betapa mana-mana parti boleh bekerjasama meskipun bertahun-tahun tidak boleh bertentang mata. Inilah realiti.

Kolaborasi dua atau lebih pihak dalam apa jua bidang menjamin kestabilan. Apabila pihak-pihak yang menjadi pemegang taruh duduk bersama, mereka akan saling menjaga kepentingan pihak yang lain bagi menjamin keuntungan dari kerjasama itu. Masa akan ditumpukan untuk memaksimakan keuntungan.

Jika masing-masing bergerak sendirian, hasrat untuk mendahului pihak yang satu lagi boleh berakhir dengan sebuah perlumbaan. Oleh kerana ingin menang, maka akan timbul sifat tamak dan haloba lalu perangai menjatuhkan lawan akan terjadi.

Malangnya, bukan semua manusia berpegang dengan sifat saling ingin membantu dan berkongsi apa yang ada agar masing-masing dapat fokus pada usaha menuai hasil. Hasil yang diperoleh dalam suasana yang aman itu lebih membahagiakan. Mana-mana pihak tidak rasa tertekan, tidak selamat dan berasa terancam apabila masing-masing menjaga batas dan petak mencari rezeki masing-masing.

Sebaliknya kerana sifat haiwan yang ingin berkuasa, maka timbul pula sifat ingin menakluk dengan mengalahkan pihak yang dianggap lawan, meskipun pihak yang satu lagi tidak mahu mencari fasal.

Apa yang dilakukan oleh pihak Israel ialah kerana tidak mahu berkongsi kemakmuran dengan warga Palestin. Padahal, semua pihak boleh hidup aman damai seandainya sikap untuk bekerjasama dan berkolaborasi menjadi pilihan.

Sebaliknya, sikap mahu menang dengan menyusahkan orang lain akhirnya akan menjahanamkan diri sendiri. Dalam kes Cait Corrain, dia gagal sebelum bermula!