BLOG

Syarikat Gramedia Cari Bakat Baharu

Syarikat Gramedia Cari Bakat Baharu

THEJAKARTAPOST.6.6.2020

Syarikat penerbitan Gramedia Indonesia kini mempelawa bakat-bakat baharu yang berminat untuk menyertai Gramedia Writing Project (GWP). GWP adalah platform menulis yang didukung oleh enam penerbit besar Gramedia.

Pada tahun ini, Rekata selaku perusahaan yang menganjurkan GWP mengadakan sebuah medan pencarian bakat, The Writer’s Show. Medan ini bertujuan untuk memilih penulis-penulis berbakat di Indonesia.

Mereka yang berminat boleh mendaftar dan memuatnaik manuskrip mereka secara atas talian. Bahan tulisan boleh mengenai apa jua genre asalkan tidak mengandungi bahasa celupar atau kebencian terhadap agama, suku kaum dan kumpulan masyarakat. 

Setiap manuskrip adalah di antara 100 hingga 300 halaman, menggunakan font 12-poin dan langkau 1.5 baris. Setiap penulis hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan. Pendaftaran dibuka hingga 30 Jun 2020.

Proses memilih peserta seperti pendaftaran dan penulisan dimulai dari 2 hingga 30 Jun 2020. Cara pendaftarannya pun sangat mudah. Selepas mendaftar para penulis perlu menghantar karyanya ke portal yang disediakan. Melalui penyertaan di GWP, para peserta bukan sahaja dapat mengirim karya mereka, malah berpeluang untuk membaca hasil tulisan peserta lainnya.

Poster pertandingan The Writers’ Show

Peserta yang terpilih dalam proses seleksi berkesempatan untuk mengikuti kelas menulis novel bersama para mentornya. Terdapat enam editor dari masing-masing penerbit Kompas Gramedia yang akan menjadi mentor sekaligus editor bagi peserta terpilih.

Di akhir program ini, karya mereka yang terpilih berpeluang diterbitkan dalam bentuk ebuku mahupun edisi cetak oleh Gramedia sendiri. Tidak hanya itu, penulis terbaik akan diberikan keistimewaan untuk mengadakan pelancaranbukunya bersama Gramedia!

Mereka juga akan dipelawa menyertai berbagai acara kebangsaan mahupun acara  International Book Fair di tahun 2021. 

GWP mula dianjurkan pada 2013 oleh Rekata, sebuah syarikat digital dan hiburan. Ia mengawal hakcipta untuk enam syarikat penerbitan iaitu Gramedia Pustaka Utama, Elax, BIP, M&C, Grasindo dan Penerit Buku Kompas.

Pautan asal:
https://www.thejakartapost.com/life/2020/06/06/the-writers-show-searches-for-new-talented-indonesian-writers.html

Berdepan Perang yang Satu Lagi

Berdepan Perang yang Satu Lagi

Hari ini bermula PKPP atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Walaupun perintah kali ini lebih lama iaitu memakan masa selama 82 hari iaitu dari 10 Jun hingga 31 Ogos, ia begitu melegakan kerana banyak aktiviti ekonomi dan sosial telah dilonggarkan. Kita semua pun sudah peka dengan norma baharu khususnya SOP mengamalkan penjarakkan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Kita akan menangi peperangan ini, insya-ALLAH.

Di sepanjang perintah yang dikuatkuasakan, pematuhan rakyat adalah 99 %. Ini adalah rekod dan sejarah negara. Tidak pernah berlaku dalam tempoh kita merdeka ini, pematuhan rakyat begitu baik sekali. Selama ini, boleh dikatakan tiada perintah, peraturan dan hukuman diperlekehkan rakyat untuk suka-suka.

Di sepanjang pemerintahan kerajaan, samada BN mahupun PH, apa sahaja dasar, kempen atau keputusan kerap menjadi bahan ejekan sehinggakan banyak usaha yang dilakukan oleh pemerintah menjadi tidak berkesan, malah gagal sama sekali. Kempen GST, Islam Hadhari, Kempen Sayangi Minyak Sawitku, malah cogankata Malaysia Boleh adalah di antara kempen-kempen yang dipermainkan rakyat juga hingga ia mempunyai imej yang luntur.

Namun, dalam memerangi covid-19 ini, apabila kerajaan bertindak cepat melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu, rata-rata rakyat yang pada mulanya terpinga-pinga, merungut dan ada yang bertengkar melawan perintah telah akhirnya patuh. Tindakan pasukan keselamatan melalui nasihat dan disusuli tindakan tegas tanpa kompromi juga telah mendisiplinkan rakyat.

Berikutan dengan rapatnya pemerintah dengan rakyat, warganegara Malaysia telah kembali mengutamakan sumber berita rasmi dari kerajaan kerana tidak mahu terlepas sesuatu yang penting atau termakan berita palsu.

Kewujudan media rasmi MKN melalui laman sosial khususnya telegram juga adalah norma baharu kerana ia menaikkan rasa keyakinan rakyat kepada pemerintah. Selama ini, berita kerajaanlah pilihan terakhir bagi kebanyakan daripada kita. Aplikasi MySejahtera turut memberi imej bahawa pihak pemerintah turut cekap memantau melalui teknologi terkini dan ini sesuai dengan jiwa generasi muda yang mesra IT.

Setelah 62 tahun merdeka dan negara kita membangun, pandangan-pandangan liberal yang mengutamakan kebebasan diri dapat dikekang berikutan dengan covid-19 ini. Setelah kejayaan pihak kerajaan berperang untuk mengekang pandemik ini, tibalah giliran rakyat sama-sama pemerintah untuk berdepan dengan perang yang satu lagi iaitu memerangi kemelesetan ekonomi. Pihak kerajaan melalui PENJANA telah menyediakan lebih 40 insentif menerusi pakej bernilai RM35 bilion yang tersusun. Tetapi kita sebagai individu dan anggota keluarga boleh membantu untuk merancakkan ekonomi domestik.

Apabila pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan segala bentuk jualan di gerai dan di tempat terbuka dibenarkan, kita yang ingin berbelanja seharusnya membantu peniaga-peniaga kecil ini untuk bernafas dengan membeli barangan mereka. Kita mesti mengutamakan produk tempatan dari kelompok perusahaan kecil dan sederhana untuk merancakkan ekonomi domestik. Ini termasuk juga pembelian keluaran pertanian tempatan. Produk import patut menjadi pilihan kedua untuk memberi impak kepada kitaran ekonomi domestik.

Covid-19 telah mengajar kita untuk mengutamakan yang asas iaitu makanan. Selain daripada pihak kerajaan memfokus kepada sekuriti makanan, kita juga perlu kembali untuk bercucuk tanam samada di kampung di mana terdapat banyak tanah terbiar yang belum diusahakan ataupun di bandar melalui pertanian bandar. Dalam pada itu, kita juga jangan membazirkan makanan.

Setelah kita akur dengan usaha sektor kesihatan, keselamatan dan pertahanan, kini tiba pula giliran sektor pertanian dan perusahaan mengambil tempat di barisan hadapan. Menurut Jabatan Perangkaan, 5.5 % atau 860,000 akan menganggur apabila banyak perusahaan gulung tikar. Ramai yang akan putus bekalan makanan. Untuk itu, NGO-NGO perlu meneruskan usaha mereka membantu mereka agar tidak kelaparan.

Kita masih lagi dalam suasana perang untuk mengisi perut. Kerana itu, tidak perlulah bergaduh berebut kerusi yang hanya mengenyangkan nafsu mereka yang berebut sahaja.

Gambar Utama oleh Pexels dari Pixabay

Popular Anjur Kempen Beli Buku Sambil Menderma

Popular Anjur Kempen Beli Buku Sambil Menderma

LATIFAH ARIFIN.BERITA HARIAN. 2.6.2020

KUALA LUMPUR –  Buat julung kalinya rangkaian Kedai Buku Popular melancarkan kempen Raya@POPULAR yang bermula 24 Mei, iaitu 1 Syawal lalu hingga 28 Jun depan.

Ia kesinambungan daripada kempen Ramadan@POPULAR yang menyasarkan setiap lapisan masyarakat untuk terus membudayakan amalan membaca buku ilmiah, sekali gus menggalakkan mereka membantu golongan memerlukan.

Kempen ini hadir tepat pada masanya ketika Aidilfitri dan Syawal tahun ini yang disambut serba sederhana dalam keadaan PKPB masih dilaksanakan dengan kebanyakan masyarakat terus digalakkan berada di rumah.

Dengan lanjutan kempen memasuki tempoh satu dekad penganjurannya, ia memberi peluang kepada pelanggan setia POPULAR membeli buku sambil menderma. Mereka juga boleh mewakafkan naskhah al-Quran dan terjemahan kepada rumah kebajikan terpilih.

Menurut Penolong Pengurus Perdagangan POPULAR, Azrina Azmi, “Kempen bertemakan ‘Membaca: Beribadah Sambil Beramal’ masih mengekalkan konsep promosi dengan 10 peratus daripada hasil jualan akan didermakan kepada 10 rumah anak yatim terpilih.”

“Terdapat banyak tawaran menarik sepanjang kempen Raya@POPULAR, iaitu pelanggan akan menerima rebat 10 peratus bagi setiap judul naskhah terpilih.

“Mereka yang berminat untuk mewakafkan al-Quran dan naskhah terjemahan kepada rumah kebajikan juga boleh melaksanakannya melalui kaunter bayaran di kaunter cawangan kedai buku POPULAR dan HARRIS di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Azrina berkata, kempen Raya@POPULAR ini membabitkan 12 penerbit, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan naskhah ilmiah berkualiti.

“Antara penerbit buku mengambil bahagian dalam kempen ini ialah Galeri Ilmu, Pustaka Sri Saujana, Telaga Biru, Maghfirah Pustaka dan Must Read.

“Ia membabitkan pelbagai pilihan buku terbitan terkini dan naskhah malar segar yang pasti sesuai untuk semua golongan masyarakat.

“Antara kategori atau tema buku yang diketengahkan termasuk berkaitan Rasul dan Nabi, ibadat umrah serta haji, pengisian Syawal dan komik,” katanya.

Beliau berkata, ketika PKPB ini, pembaca turut digalak melakukan pembelian dalam talian di laman web POPULAR iaitu www.popularonline.com.my.

Di samping itu, pelanggan dengan pembelian bernilai RM30 dan ke atas diberikan hadiah percuma naskhah surah Yasin.

Pautan asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2020/06/695405/popular-lanjut-kempen-beli-buku-sambil-menderma

Kredit Gambar Utama: Kedai Buku Popular ~ merahsilu.blogspot.com

Tak Salah Like, Share & Comment

Tak Salah Like, Share & Comment

Saya terpandang Zulida sedang tercari-cari tempat duduk. Di tangannya tertatang mi sup dan air mineral. Zulida tampak terkejut bila terpandang saya. Dia tak sangka terserempak dengan saya di restoran Bunch Oh, Malakat Mall, Cyberjaya. Dengan tersenyum simpul dia duduk di depan saya.

Petang itu saya makan roti canai terbang dan teh tarik. Selepas diskusi dengan teman-teman sepejabat, saya mengalas perut sebelum pulang. Sebagai seorang warga emas yang dikategorikan berisiko tinggi dijangkiti covid-19, saya work from home. Bila ada mesyuarat, baharulah saya datang ke pejabat di Malakat Mall. Cuma akhir-akhir ini, mesyuarat dan perbincangan saya kian kerap diadakan. Kini boleh dikatakan dalam seminggu saya akan ke pejabat tidak kurang tiga kali. Tak lama lagi, saya rasa pasti akan kembali work from office.

Zulida saya kenali melalui laman sosial Facebook. Dia seorang pereka grafik untuk laman web yang kerap berkunjung ke halaman Facebook saya untuk mencelah memberi komen terhadap apa yang saya paparkan. Jika tidak, dia sekadar mencatat tanda suka. Kerap juga dia share apa yang saya tulis. Oleh kerana kekerapannya muncul ke halaman saya, maka saya mulai sedar akan kehadirannya. Bila ada masa terluang, saya menjenguk dan memberi komen juga terhadap statusnya.

Cuma ketika PKP kerana covid-19 ini, Zulida beralih bidang. Dia menjual pelbagai jenis sambal yang diperoleh daripada teman serumahnya. Di musim raya baru-baru ini dia turut menjual biskut raya. Saya bertanya mengenai sambutan terhadap bisnes baharunya. Katanya, sambutan amat baik. Cuma mereka yang membeli kebanyakannya bukan dari kalangan kenalan mahupun saudara maranya. Sebaliknya hampir kesemua daripada mereka adalah orang yang baharu dikenali sebagai para pelanggannya.

Sambil mempamer wajah sedih, Zalida berkata dia sudah malas hendak bercerita dengan kawan-kawan dan saudara maranya mengenai bahan jualannya. Katanya, biarlah dia aktif memberi komen tentang berita dan gosip untuk suka-suka di halaman-halaman kenalannya. Namun dia sudah tawar hati untuk mencatat sedikit pun tentang apa yang dijualnya.

Kata Zulida, biasanya dia akan menerima tidak kurang daripada 30 tanda suka atau 7-8 komen terhadap statusnya bila dia memaparkan cerita yang entah apa-apa. Namun sebaik sahaja dia bercerita mengenai barangan jualannya, statusnya akan sunyi sepi dari komen teman-temannya. Malah, dia pernah mendapat PM tepi dan dibahasakan apabila meletak tag nama kawannya untuk memaparkan barangan jualannya.

Saya termenung seketika mendengar curhatnya. Benar, Zulida bukanlah orang yang pertama mengalami perkara yang sama. Saya tahu beberapa kenalan yang mula dipandang serong apabila cuba memperkenalkan bisnes mereka kepada teman-teman. Malah, ada satu kes di mana orang yang memperkenalkan bisnesnya disekat oleh kenalan sendiri.

Mengapa kita berasa takut dan lari daripada kenalan yang menghubungi kita semata-mata kerana hendak memperkenalkan barangan jualannya? Jika kita boleh berlama-lama berborak, bergosip dan berbalas-balas komen tentang hal-hal yang tiada menjejaskan kita secara langsung dalam hal politik, isu semasa, gosip artis dan viral terkini, apa salahnya jika kita memberi tanda suka, komen atau share sahaja sebagai tanda sokongan kepada apa yang teman kita sedang usahakan?

Bukan semua orang mula berniaga kerana terdesak. Ramai yang berniaga kerana minat. Bukan semua orang berbuat bisnes itu mahu kaya raya lalu menjadikan kenalan-kenalannya sebagai mangsa pembeli produknya. Sedangkan ideal kebanyakan bisnes itu adalah untuk membantu kita mendapatkan sesuatu produk dengan cara yang lebih mudah.

Apalah salahnya jika kita beri tanda suka, beri komen perangsang atau kongsikan produk jualan kenalan kita. Kalau kita kawan dia, bantulah dia supaya dia senang. Akhirnya kesenangan itu akan berbalik juga kepada kita kerana sesungguhnya sokongan moral itu juga adalah sebuah sedekah.

Kredit: Imej oleh athree23 dari Pixabay

Jual dalam talian, elak kedai buku ‘mati berdarah’

Jual dalam talian, elak kedai buku ‘mati berdarah’

FARIS FUAD.BERITA HARIAN.31.5.2020

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya semua pemilik kedai buku memberi tumpuan kepada penjualan bahan bacaan secara dalam talian mengikut peredaran dan perkembangan teknologi terkini.

Presiden Penjual Buku Malaysia, Keith Thong, berkata setiap penjual perlu merebut peluang mempromosi produk masing-masing di platform beli-belah dalam talian yang popular.

“Pemilik kedai perlu menerima hakikat zaman sudah berubah. Selain jual buku di platform beli-belah dalam talian mereka juga boleh mewujudkan laman sesawang rasmi kedai mereka untuk proses penjualan.

“Sebelum ini banyak kedai buku yang beroperasi sudah ‘berdarah’ dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Situasi semasa itu mengakibatkan kedai ‘mati berdarah’ atau gulung tikar,” katanya pada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas senario kedai buku di negara ini hingga ada syarikat dikatakan terpaksa menutup cawangannya.

Thong berkata, mahu atau tidak semua orang kena celik penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi memastikan keuntungan dapat dijana secara berterusan.

Mengulas lanjut, Keith berkata, penjual buku boleh memohon pertemuan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan mempromosikan buku dan bahan pembelajaran dalam talian.

“Ia membolehkan buku itu dijual dalam kuantiti yang banyak. Selain buku, pemilik kedai berkenaan juga boleh menyediakan bahan pembelajaran dalam bentuk ‘slide show’.

“Ia selari dengan situasi PKPB sekarang yang hanya membenarkan sesi pembelajaran dalam talian membabitkan pelajar sekolah dan universiti,” katanya.

Artikel Asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2020/05/693737/jual-dalam-talian-elak-kedai-buku-mati-berdarah

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]