Hari ini bermula PKPP atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Walaupun perintah kali ini lebih lama iaitu memakan masa selama 82 hari iaitu dari 10 Jun hingga 31 Ogos, ia begitu melegakan kerana banyak aktiviti ekonomi dan sosial telah dilonggarkan. Kita semua pun sudah peka dengan norma baharu khususnya SOP mengamalkan penjarakkan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Kita akan menangi peperangan ini, insya-ALLAH.

Di sepanjang perintah yang dikuatkuasakan, pematuhan rakyat adalah 99 %. Ini adalah rekod dan sejarah negara. Tidak pernah berlaku dalam tempoh kita merdeka ini, pematuhan rakyat begitu baik sekali. Selama ini, boleh dikatakan tiada perintah, peraturan dan hukuman diperlekehkan rakyat untuk suka-suka.

Di sepanjang pemerintahan kerajaan, samada BN mahupun PH, apa sahaja dasar, kempen atau keputusan kerap menjadi bahan ejekan sehinggakan banyak usaha yang dilakukan oleh pemerintah menjadi tidak berkesan, malah gagal sama sekali. Kempen GST, Islam Hadhari, Kempen Sayangi Minyak Sawitku, malah cogankata Malaysia Boleh adalah di antara kempen-kempen yang dipermainkan rakyat juga hingga ia mempunyai imej yang luntur.

Namun, dalam memerangi covid-19 ini, apabila kerajaan bertindak cepat melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu, rata-rata rakyat yang pada mulanya terpinga-pinga, merungut dan ada yang bertengkar melawan perintah telah akhirnya patuh. Tindakan pasukan keselamatan melalui nasihat dan disusuli tindakan tegas tanpa kompromi juga telah mendisiplinkan rakyat.

Berikutan dengan rapatnya pemerintah dengan rakyat, warganegara Malaysia telah kembali mengutamakan sumber berita rasmi dari kerajaan kerana tidak mahu terlepas sesuatu yang penting atau termakan berita palsu.

Kewujudan media rasmi MKN melalui laman sosial khususnya telegram juga adalah norma baharu kerana ia menaikkan rasa keyakinan rakyat kepada pemerintah. Selama ini, berita kerajaanlah pilihan terakhir bagi kebanyakan daripada kita. Aplikasi MySejahtera turut memberi imej bahawa pihak pemerintah turut cekap memantau melalui teknologi terkini dan ini sesuai dengan jiwa generasi muda yang mesra IT.

Setelah 62 tahun merdeka dan negara kita membangun, pandangan-pandangan liberal yang mengutamakan kebebasan diri dapat dikekang berikutan dengan covid-19 ini. Setelah kejayaan pihak kerajaan berperang untuk mengekang pandemik ini, tibalah giliran rakyat sama-sama pemerintah untuk berdepan dengan perang yang satu lagi iaitu memerangi kemelesetan ekonomi. Pihak kerajaan melalui PENJANA telah menyediakan lebih 40 insentif menerusi pakej bernilai RM35 bilion yang tersusun. Tetapi kita sebagai individu dan anggota keluarga boleh membantu untuk merancakkan ekonomi domestik.

Apabila pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan segala bentuk jualan di gerai dan di tempat terbuka dibenarkan, kita yang ingin berbelanja seharusnya membantu peniaga-peniaga kecil ini untuk bernafas dengan membeli barangan mereka. Kita mesti mengutamakan produk tempatan dari kelompok perusahaan kecil dan sederhana untuk merancakkan ekonomi domestik. Ini termasuk juga pembelian keluaran pertanian tempatan. Produk import patut menjadi pilihan kedua untuk memberi impak kepada kitaran ekonomi domestik.

Covid-19 telah mengajar kita untuk mengutamakan yang asas iaitu makanan. Selain daripada pihak kerajaan memfokus kepada sekuriti makanan, kita juga perlu kembali untuk bercucuk tanam samada di kampung di mana terdapat banyak tanah terbiar yang belum diusahakan ataupun di bandar melalui pertanian bandar. Dalam pada itu, kita juga jangan membazirkan makanan.

Setelah kita akur dengan usaha sektor kesihatan, keselamatan dan pertahanan, kini tiba pula giliran sektor pertanian dan perusahaan mengambil tempat di barisan hadapan. Menurut Jabatan Perangkaan, 5.5 % atau 860,000 akan menganggur apabila banyak perusahaan gulung tikar. Ramai yang akan putus bekalan makanan. Untuk itu, NGO-NGO perlu meneruskan usaha mereka membantu mereka agar tidak kelaparan.

Kita masih lagi dalam suasana perang untuk mengisi perut. Kerana itu, tidak perlulah bergaduh berebut kerusi yang hanya mengenyangkan nafsu mereka yang berebut sahaja.

Gambar Utama oleh Pexels dari Pixabay