LATIFAH ARIFIN.BERITA HARIAN. 2.6.2020

KUALA LUMPUR –  Buat julung kalinya rangkaian Kedai Buku Popular melancarkan kempen Raya@POPULAR yang bermula 24 Mei, iaitu 1 Syawal lalu hingga 28 Jun depan.

Ia kesinambungan daripada kempen Ramadan@POPULAR yang menyasarkan setiap lapisan masyarakat untuk terus membudayakan amalan membaca buku ilmiah, sekali gus menggalakkan mereka membantu golongan memerlukan.

Kempen ini hadir tepat pada masanya ketika Aidilfitri dan Syawal tahun ini yang disambut serba sederhana dalam keadaan PKPB masih dilaksanakan dengan kebanyakan masyarakat terus digalakkan berada di rumah.

Dengan lanjutan kempen memasuki tempoh satu dekad penganjurannya, ia memberi peluang kepada pelanggan setia POPULAR membeli buku sambil menderma. Mereka juga boleh mewakafkan naskhah al-Quran dan terjemahan kepada rumah kebajikan terpilih.

Menurut Penolong Pengurus Perdagangan POPULAR, Azrina Azmi, “Kempen bertemakan ‘Membaca: Beribadah Sambil Beramal’ masih mengekalkan konsep promosi dengan 10 peratus daripada hasil jualan akan didermakan kepada 10 rumah anak yatim terpilih.”

“Terdapat banyak tawaran menarik sepanjang kempen Raya@POPULAR, iaitu pelanggan akan menerima rebat 10 peratus bagi setiap judul naskhah terpilih.

“Mereka yang berminat untuk mewakafkan al-Quran dan naskhah terjemahan kepada rumah kebajikan juga boleh melaksanakannya melalui kaunter bayaran di kaunter cawangan kedai buku POPULAR dan HARRIS di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Azrina berkata, kempen Raya@POPULAR ini membabitkan 12 penerbit, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan naskhah ilmiah berkualiti.

“Antara penerbit buku mengambil bahagian dalam kempen ini ialah Galeri Ilmu, Pustaka Sri Saujana, Telaga Biru, Maghfirah Pustaka dan Must Read.

“Ia membabitkan pelbagai pilihan buku terbitan terkini dan naskhah malar segar yang pasti sesuai untuk semua golongan masyarakat.

“Antara kategori atau tema buku yang diketengahkan termasuk berkaitan Rasul dan Nabi, ibadat umrah serta haji, pengisian Syawal dan komik,” katanya.

Beliau berkata, ketika PKPB ini, pembaca turut digalak melakukan pembelian dalam talian di laman web POPULAR iaitu www.popularonline.com.my.

Di samping itu, pelanggan dengan pembelian bernilai RM30 dan ke atas diberikan hadiah percuma naskhah surah Yasin.

Pautan asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2020/06/695405/popular-lanjut-kempen-beli-buku-sambil-menderma

Kredit Gambar Utama: Kedai Buku Popular ~ merahsilu.blogspot.com