FARIS FUAD.BERITA HARIAN.31.5.2020

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya semua pemilik kedai buku memberi tumpuan kepada penjualan bahan bacaan secara dalam talian mengikut peredaran dan perkembangan teknologi terkini.

Presiden Penjual Buku Malaysia, Keith Thong, berkata setiap penjual perlu merebut peluang mempromosi produk masing-masing di platform beli-belah dalam talian yang popular.

“Pemilik kedai perlu menerima hakikat zaman sudah berubah. Selain jual buku di platform beli-belah dalam talian mereka juga boleh mewujudkan laman sesawang rasmi kedai mereka untuk proses penjualan.

“Sebelum ini banyak kedai buku yang beroperasi sudah ‘berdarah’ dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Situasi semasa itu mengakibatkan kedai ‘mati berdarah’ atau gulung tikar,” katanya pada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas senario kedai buku di negara ini hingga ada syarikat dikatakan terpaksa menutup cawangannya.

Thong berkata, mahu atau tidak semua orang kena celik penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi memastikan keuntungan dapat dijana secara berterusan.

Mengulas lanjut, Keith berkata, penjual buku boleh memohon pertemuan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan mempromosikan buku dan bahan pembelajaran dalam talian.

“Ia membolehkan buku itu dijual dalam kuantiti yang banyak. Selain buku, pemilik kedai berkenaan juga boleh menyediakan bahan pembelajaran dalam bentuk ‘slide show’.

“Ia selari dengan situasi PKPB sekarang yang hanya membenarkan sesi pembelajaran dalam talian membabitkan pelajar sekolah dan universiti,” katanya.

Artikel Asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2020/05/693737/jual-dalam-talian-elak-kedai-buku-mati-berdarah