SEORANG teman Whatsapp mengirim poster World No Tobacco Day ke dalam kumpulan. Lantas aku teringat yang aku punyai sejarah panjang sebagai seorang penagih rokok, tetapi sudah berhenti sejak 17 tahun yang lalu.

Mengimbas kembali, aku terdedah dengan tembakau kerana ayah aku menghisap curut dan paip. Mak aku pula penghisap tembakau. Orang dulu kata sentil tembakau dengan menyelit tembakau ke dalam mulut. Kedua-dua mereka berhenti mengambil tembakau apabila mereka meningkat tua.

Aku terdedah dengan rokok di zaman kanak-kanak lagi. Mula-mula dengan membeli biskut jenis fingers yang panjang-panjang macam rokok. Beranganlah masa itu kononnya merokok sambil menghisap biskut. Ada juga terjual gula-gula yang berbentuk rokok dibungkus macam kotak rokok. Kalau hari ini, produk itu sah akan dibalun oleh Toqqi PPIM!

Akhirnya aku belajar hisap rokok daun tanpa tembakau dengan kawan-kawan di belakang surau. Aku tidak merokok di sekolah, tetapi mengenali rokok sebenar ketika perkhemahan pengakap. Dahulu, rokok boleh dibeli di kedai secara sebatang-sebatang. Sebatang rokok dikongsi ramai-ramai satu puff seorang.

Seronoklah rasa pada masa itu sebab boleh bergaya macam orang dewasa. Begitu pun, aku masih belum jadi perokok tegar. Tak ketagih pun. Sengaja ikut kawan-kawan dan melayani peer pressure, sebab kalau tak merokok, bukan geng!

Lesen sebenar merokok ialah bila aku belajar di ITM. Masa itu ada rokok yang dibungkus 6 batang untuk satu pek. Sekotak sehari sudah mencukupi. Bila mula bekerja, aku mampu membeli rokok 12 batang dan akhirnya 20 batang.

Dari menghisap 6 batang sehari, aku bileh menghisap sampai 30 batang sehari! Banyak jenama yang aku layan dari rokok jenama 555, Benson & Hedges, Dunhill, Winston dan akhirnya Peter Stuyvesant. Rokok kretek aku tak gemar kerana lambat habis dan tak suka baunya. Sebab itu aku tak suka curut, paip dan shisha.

Di sepanjang usia menghisap rokok, aku biasa batuk kerananya. Selalu juga hendak berhenti dengan cara mencari alternatif rokok seperti makan gula-gula dan makan kuaci. Aku tak percaya dengan produk anti nikotin untuk menghentikan merokok.

Bagaimana aku berhenti merokok? Tahun itu tahun 2003. Ertinya sejak menjadi perokok tegar pada tahun 1975, ertinya sudah 28 tahun aku menghisap rokok! (Astaghfirullah, aku baru aje tahu lamanya aku merokok bila congak guna kalkulator!) Tahun itu aku dapat makluman tidak rasmi akan dapat mengerjakan haji.

Sebagai persediaan, aku mula eksesais. Maklumlah bersedia untuk menjadi lasak bila di Mekah nanti. Sebenarnya, bertahun juga aku tidak bersenam. Joging tidak, buat senaman ringan pun tidak. Pada Ahad berikutnya aku mula berjoging.

Bila mula menghayun langkah, aku nampak diri aku sebagai pelari. Di sekolah dan di kampus aku suka berjoging atau berlari jarak jauh. Namun apa yang terjadi pagi itu amat mengejutkan! Baharu sahaja berlari tak sampai 100 meter, aku rasa dada aku bagai nak pecah. Rasa tak boleh bernafas! Terus aku berhenti berlari.

Tatkala itu baharu aku tersedar. Pertama, sudah bertahun aku tidak bersenam. Kedua, aku mesti berhenti merokok. Dan aku berhenti merokok pada hari itu juga. Ramai juga kawan-kawan tanya mengapa berhenti merokok? Aku jawab aku nak berhenti, aku berhentilah. Tak payah makan gula-gula atau kuaci.

Bulan Ramadan tidak lama selepas itu adalah bulan yang baik untuk aku memperkukuh niat berhenti dari ketagihan itu. Aku teringat lagi tatkala solat terawih di surau, hidung aku berair seperti penagih dadah sampai basah lengan baju.Tapi aku berjaya berhenti merokok ~ suatu kejayaan peribadi.

Well, aku mencatat pengalaman ini bukan untuk berbangga. Aku nak berkongsi satu perkara yang penting yang jadi panduan diri. Mungkin boleh jadi panduan anda yang membaca catatan ini. Perkara yang paling penting ialah…

…jika kita hendak menghentikan sesuatu tabiat yang negatif, hentikan sahaja. Tak perlu berhenti secara beransur-ansur, slow-slow, man-man. Jangan fikir-fikir lagi atau kenang-kenang lagi. Tutup tirai semalam. Pancung perasaan kamu dan move-on. That’s it.

Sudah 17 tahun aku berhenti menjadi penagih rokok.
Kini kulihat hijau!

*buat teman-teman yang masih merokok, aku tahu korang akan berhenti juga pada suatu hari nanti. All the best!

**Sejak 1987, World No Tobacco Day (WNTD) atau Hari Dunia Tanpa Tembakau diperingati pada 31 Mei pada setiap tahun. Pada hari ini masyarakat diberitahu bahaya tembakau, taktik syarikat-syarikat tembakau dan apa yang WHO lakukan untuk memerangi epidemik tembakau. Ia juga menerangkan apakah hak masyarakat untuk sihat untuk memelihara generasi akan datang.

Pada setiap tahun 8 juta kematian berlaku di seluruh dunia kerana merokok. 1.2 juta daripada kematian itu adalah golongan passive smokers iaitu golongan yang sentiasa terhidu bau asap.