MAAFCAKAP 27.5.2020

Pandemik covid-19 telah menyerlahkan satu senario yang tidak terjangka – golongan insan-insan yang lapar. Di antara golongan yang sentiasa kelaparan ialah golongan gelandangan. Ada yang merempat tiada pekerjaan kerana ketagihan dadah, cacat atau tiada peluang bekerja kerana keadaan rupa diri. Terdapat juga di kalangan mereka yang bekerja, bergaji kecil dan tiada mampu menyewa rumah atau bilik. Golongan ini tidur merata tempat. 

Mereka tidur beratapkan langit dan simen yang dingin. Asalkan dapat melelap mata, cukuplah untuk melepaskan lelah. Terdapat pelbagai NGO yang datang secara berkala khususnya pada hujung minggu untuk membawa makanan dan keperluan untuk golongan ini. Namun, masalah ini nampaknya ada jalan penyelesaian. Berikutan dengan covid-19 Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengumpul mereka di dalam dewan untuk penjarakkan sosial. 

Tetapi akhirnya kemunculan golongan ini yang begitu ramai telah menginsafkan beliau lalu menyelesaikan masalah mereka dengan memberi pekerjaan. Model tindakan ini seharusnya dijadikan contoh oleh lain-lain bandaraya dan majlis tempatan di negara kita. Akhirnya, NGO-NGO nanti tidak perlu lagi sentiasa memberi ikan kerana pihak pemerintah telah membantu golongan gelandangan ini dengan kail.

Satu lagi golongan kelaparan yang terjejas dengan pandemik covid-19 ini adalah golongan yang bekerja gaji hari. Keadaan mereka menepati pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ramai di kalangan mereka adalah dari golongan B40. Mereka bekerja menjadi buruh kasar, pembantu di restoran, pemandu lori dan bas, pengangkat barang di syarikat logistik dan pasar, pekerja kilang dan mereka yang bekerja kampung. 

Terdapat golongan yang punyai kerja yang sedikit standard tetapi berdepan dengan masalah kewangan untuk membeli makanan. Golongan pekerja sambilan yang profesional seperti kru syarikat perfileman, promoter pemasaran, pereka grafik, pengasuh bayi, guru sambilan serta ramai lagi berdepan dengan masalah ini. 

Saya berkesempatan berbual dengan Encik Fuad Rahim Asman, seorang penyelaras program Zero Hunger, sebuah NGO di Cyberjaya. Menurutnya, jumlah mereka yang memohon bantuan secara online ke pangkalan data NGOnya kini melebihi 91,000 di seluruh Malaysia. Beliau yang mengendalikan penghantaran bekalan makanan asas ke seluruh semenanjung mendapati golongan yang putus bekalan makanan bukan sekadar golongan B40 sahaja.

Menurutnya, golongan asnaf memang sudah punyai pelan bantuan makanan asas dan wang dari pusat-pusat zakat. Golongan miskin tegar pula menerima bantuan berkala dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka boleh dikatakan sebagai golongan yang tetap terpelihara. Tetapi golongan yang tiba-tiba jatuh miskin kerana hilang pekerjaan iaitu yang bergaji hari inilah yang paling teruk terjejas. 

Menurut Fuad, NGOnya turut menyediakan makanan bermasak kerana terdapat mereka yang kelaparan ini sudah kehabisan gas memasak ataupun yang sudah 2-3 hari tidak mendapat makanan kecuali cebisan roti dan biskut yang tinggal di dalam balang. Keadaan ini begitu mengharukan.  

Pasca pandemik ini, di mana keadaan ekonomi semakin meleset, golongan yang perlukan bantuan makanan ini akan bertambah. Apatah lagi golongan yang menganggur akan berganda jumlahnya bila banyak syarikat-syarikat gulung tikar atau mengecilkan operasinya. 

Bagaimana pun, baharu sahaja PKPB dilonggar sedikit, disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri, kita mula nampak tanda-tanda pembaziran sudah pun berlaku di kalangan kita. Kita mendengar letupan mercun hingga jauh malam. Ada orang boleh membakar duit setelah bersusah payah mendapatkannya. Makanan sajian hari raya mula tampak terbuang jika kita rajin menyusur melihat tong-tong sampah yang membuak di tepi-tepi jalan di kawasan perumahan.

Kita yang sedikit senang nampaknya sudah terlebih makan. Seharusnya makanan yang terlebih itu sepatutnya diberi kepada orang lain yang kelaparan. Dalam keadaan sekarang, ia bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, bukan juga peranan NGO, malah ia patut menjadi nawaitu kita. 

Setelah kita faham apa itu lapar dan dahaga setelah berpuasa, apa kata kita hayati pula lapar dan dahaga dengan kita sendiri memberi sedikit makanan yang kita ada kepada orang lain? Iya, memberi makanan, bukannya wang. Sebabnya, memberi makanan lebih menginsafkan berbanding dengan memberi wang. 

Gambar Utama oleh Mathieu Vivier dari Pixabay