MESKIPUN drama BUKAN GADIS BIASA sudah melabuhkan tirainya di kaca TV3 kelmarin, ada satu lagi drama sampingan yang amat meremuk hati penulis novelnya, LIZA NUR. Novelnya telah dicetak rompak! 

Menerusi halaman FBnya, LIZA NUR meluahkan rasa kesalnya kerana ada individu tergamak membuat untung atas angin dengan menjual BUKAN GADIS BIASA dalam bentuk ebuku. 

Novel Bukan Gadis Biasa

Meluahkan rasa kesalnya, LIZA NUR mencatat, “Dengan membeli karya cetak rompak sebegini, bukanlah cara menyokong kami untuk menghasilkan karya.” 

Berikutan drama itu mendapat rating yang tinggi, ramai penonton tidak sabar untuk mengetahui pengakhiran jalan cerita hingga mendapatkannya secara online di sebuah platform ecommerce yang terkenal. 

“Liza faham ramai nak tahu jalan cerita sebelum drama tamat, tetapi perbuatan sesetengah orang sebenarnya membunuh industri penulisan dan membunuh semangat penulis.”

Liza Nur (kiri) mempromosi novel Bukan Gadis Biasa di Jualan Gudang Karangkraf

“Kami tak mendapat untung dari drama. Adaptasi drama sebenarnya adalah platform kami untuk promosikan buku. Dari situ sebenarnya datang pulangan untuk kami. Penulis Malaysia bukan JK Rowling. Penerbit buku dah banyak alami kejatuhan kerana ramai Malaysian tak suka membaca buku.

Sekarang mengapa ada yang cuba ambil kesempatan di atas pulangan mereka yang tak seberapa? Cuba bayangkan nasib editor-editor Liza yang terkesan sebab perbuatan korang. Apa yang kita pandang ringan barangkali gaji mereka yang ada tanggungannya sendiri. Fikir-fikirkan.”

Setakat berita ini ditulis, status LIZA NUR telah mendapat 97 respons, 58 komen simpati dan 6 perkongsian daripada para peminatnya. Nora Isma Fuad adalah di antara para peminat yang marah. Katanya, “Rezeki tak halal. Rezeki haram gunakan untuk keluarga! Dia still dapat untung. Setitik peluh pun tak payah keluar. Orang beli sebab murah. Dia tak rugi apa-apa. Tak ada modal, yang dapat kira untung, dah.”

Ramai juga yang memberikan komen yang pendek tetapi tegas. Suriyanti Suhaimi mencatat komen, “So unethical!’ Alyssa Jane Wong pula memberi reaksi. “Uggghhhh! Irresponsible!” Sementara Grace Soon pula memberi reaksi, “Report! Report!”

LIZA NUR yang dihubungi LAYARMINDA menceritakan bagaimana beliau terjumpa ebuku cetak rompak ini. “Sebenarnya saya dimaklumkan bahagian jualan Karangkraf yang Karangkraf Mall sudah mula menjual buku saya di platform sebuah syarikat maya yang terkenal. Jadi, saya sekadar mahu menyemak berapa ramai penjual online buku yang menawarkan buku BUKAN GADIS BIASA.”

“Di platform itu, tak salah saya ada lebih kurang 14 penjual BUKAN GADIS BIASA. Tapi, saya rasa semua online seller yang menjual buku cetakan dari Karangkraf. Cuma akaun yang satu ni meragukan kerana menjual ebuku tapi dalam bentuk PDF.” 

“Saya semak dulu dengan Karangkraf untuk pastikan individu tersebut diberi kebenaran untuk edarkan ebook. Tapi, saya dimaklumkan akaun tersebut jual tanpa izin. Mereka syak penjual beli ebook Karangkraf dan tangkap layar sebelum pindah ke format PDF.”

CEO Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin ketika dihubungi tidak mahu mengulas panjang kerana akan menjejaskan siasatan. Katanya ringkas, “Kami maklum dengan apa yang berlaku. Pihak kami pasti akan membuat tindakan selanjutnya.”

LAYARMINDA menyusur di laman perompak karya berkenaan dan mendapati karya itu telah terjual lebih 100 buah naskhah ebuku dalam bentuk PDF dengan harga RM5 tiap satu. Jualan dalam bentuk PDF itu memungkinkan pembeli berkongsi fail dengan seberapa ramai teman-temannya. Tindakan ini pasti menjejaskan jualan buku dalam bentuk cetak. 

BUKAN GADIS BIASA disiar dalam Slot Akasia TV3 pada bulan Ramadan lalu. Karya asal LIZA NUR adalah terbitan Alaf 21, sebuah anak syarikat Grup Buku Karangkraf.

Novel itu mengisahkan Johana yang berambut pendek. Kalau ada yang cuba mencari fasal, dia tidak teragak-agak melayangkan penumbuk. Jean dan kemeja menjadi teman akrabnya. Misinya hanya satu, memberi masa depan yang lebih baik untuk si kecil Aisya yang memanggilnya ‘emak’. 

Cinta adalah sesuatu yang asing baginya. Pertemuan semula Amirul dengan Johana membuatkan Amirul yakin tentang perasaannya. Hidup Johana sering kali bersimpang-siur dengan Rayyan, sepupu Amirul yang degil tetapi berprinsip. 

Kemunculan adik Rayyan, Amer membuatkan Jo rasa terpukul. Si mata keranjang itu cuba mencari jalan ke hatinya sedangkan Amirul yang terlebih dahulu ada masih setia menanti. Takdir memerangkap dirinya di antara tiga hati yang bersaudara. Mampukah dia terus menipu diri? Atau haruskah dia pulang kepada fitrah, memilih jalan bahagianya bertemankan sekeping hati yang lain?

*Novel BUKAN GADIS BIASA boleh didapati di KarangkrafMall dengan harga RM24.00 sebelum diskaun di https://www.karangkrafmall.com/bukan-gadis-biasa