BLOG

Al-Quran Bertulisan Darah Saddam Hussein

Al-Quran Bertulisan Darah Saddam Hussein

ALISON FLOOD.THE GUARDIAN.1.10.2020

Edward Brooke-Hitching adalah seorang penulis dari London, Britain yang membesar di kedai buku-buku ‘rare’ ayahnya. Sebagai penulis buku The Phantom Atlas, The Golden Atlas dan The Sky Atlas, Edward amat menggemari buku-buku yang tersimpan dalam lipatan sejarah. Di antara buku-buku yang menjadi perhatiannya ialah Al-Quran yang ditulis dengan darah bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. 

Edward Brooke-Hitching

Ia mula ditulis pada hari lahir ke-60 Presiden itu pada tahun 1997. Saddam meminta penulis khat Abbas Shakir Joudi al-Baghdadi. 

Dalam tempoh dua tahum, di antara 24 hingga 27 liter darah Saddam diambil dan dicampur dengan bahan-bahan kimia untuk dijadikan dakwat bagi menulis 336,000 perkataan dan lebih 6,000 ayat.

Hasilnya amat cantik dan Al-Quran Berdarah ini dipamerkan di masjid Umm al-Maarik di Baghdad. Setelah kejatuhan Baghdad, al-Quran ini disimpan sambil menunggu apa yang patut dilakukan kepada naskhah itu.

Saddam Hussein menatap Al-Quran yang ditulis menggunakan darahnya. Pixcredit: Indocropcircles.

Al-Quran menggunakan darah adalah haram kerana darah adalah najis. Bagaimana pun, pihak berwajib tidak tahu bagaimana untuk melupuskannya meskipun ia menggunakan darah.

Pada tahun 2010, pihak pemerintah Iraq memutuskan agar Al-Quran itu disimpan untuk memperingati ia sebagai ‘dokumen kekejaman Saddam.’ Namun di manakah al-Quran itu kini tidak diketahui. Namun, ia dipercayai disimpan dalam sebuah bilik khas dan mempunyai tiga anak kunci untuk membukanya. Dan, setiap kunci dipegang oleh pegawai yang berbeza!

*Gambar Utama: Dua pengunjung memerhati Al-Quran Saddam Hussein yang ditulis dengan darah. Pixcredit: Scott Paterson

*Pautan asal:

https://www.theguardian.com/books/2020/oct/01/browsing-the-madmans-library-edward-brooke-hitching

Merompak Buku Ala-Mission Impossible

Merompak Buku Ala-Mission Impossible

THE NATIONAL.1.10.2020

TUJUH anggota geng perompak yang memasuki beberapa buah gudang dari bumbung untuk mencuri buku di pelbagai tempat di Eropah telah dijel. 

Perompak yang terdiri dari pelbagai warganegara itu menebuk lubang di bumbung dan menggelongsor menggunakan tali untuk mengelak alat penggera elektronik, serupa seperti yang dilakukan oleh Tom Criuse dalam filem Mission Impossible (1996)

Dalam rompakan selama lima jam pada tahun 2017, kumpulan itu mencuri lebih 170 buah buku termasuk teks asal Galileo Galilei dan pakar matematik Isaac Newton. Mereka menyembunyikan buku-buku curi itu di Romania.

Buku-buku bernilai jutaan ringgit ditemui tertanam di sebuah rumah di Romania

Sebahagian daripada buku-buku yang bernilai £2 juta itu juga disimpan di gudang dekat Feltham, barat London sebelum ia dihantar melalui kapal  ke sebuah pestabuku di Los Angeles. Setelah empat tahun mencarinya, pakar penyiasat menemui buku-buku itu tertanam di sebuah rumah di Neamt, Romania.

12 lelaki telah menerima hukuman penjara hingga 12 tahun di mahkamah Kingston di Britain.Menurut Hakim Jonathan Davies, ‘setiap rompakan dirancang dengan teliti dengan cara ala Mission Impossible.”

Pihak berkuasa berkata, mereka memperoleh kejayaan apabila ketua perompak itu ditahan di Turin, Itali. Dalam siasatan selama empat tahun itu, lebih 45 buah siasatan ke atas hartanah telah dilakukan di seluruh Eropah.

Pautan asal:
https://www.thenational.ae/world/europe/mission-impossible-gang-who-stole-priceless-books-jailed-1.1086845

Perjuangan Yang Ditinggalkan

Perjuangan Yang Ditinggalkan

MAAFCAKAP 14.10.2020

Perjuangan itu adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang dianggap penting dan mulia. Lazimnya, sesuatu itu diperjuangkan kerana si pelakunya berasakan apa yang ingin dikejarnya itu adalah matlamat yang amat sukar dicapai. 

Berjuang itu boleh dilakukan seorang diri atas matlamat peribadi. Seseorang itu berjuang untuk lulus peperiksaan, keluar dari garis kemiskinan, membela di atas kematian orang yang disayangi mahupun merebut hati gadis yang dicintai.

Namun, perjuangan yang besar biasanya dikaitkan dengan sekumpulan manusia, kaum, suku atau bangsa untuk memperoleh sesuatu atau membebaskan kumpulan dari sesuatu. Ia adalah suatu usaha yang dianggap murni oleh kumpulan itu.

Perjuangan menentang kezaliman, ketidakadilan, anti-rasuah, anti harga barang naik, mendapat hak kebebasan, kahwin sama sejenis adalah perjuangan yang dianggap baik mahupun bermoral mengikut kacamata kumpulan yang memperjuangkannya. 

Namun dalam perjuangan yang berkumpulan, mesti ada pemimpin. Mesti juga ada pengikut. Tugas pemimpin ialah membawa kumpulan mencapai matlamat. Tugas pengikut ialah menyokong apa yang dibawa pemimpin dalam apa jua keadaan. 

Dalam berjuang, semua anggotanya tahu akan matlamatnya. Mereka akan sama-sama berjuang untuk mencapai matlamat itu. Disiplin adalah inti kepada perjuangan. Kesetiaan tanpa perasaan berbelah bahagi  dengan keseragaman tindakan ‘sami’na waatokna’ akan menjamin perjuangan itu diharungi dengan penuh kesetiaan, malah hingga ke peringkat ketaksuban.

Namun, kita biasa dengar dan tahu betapa terdapat perjuangan yang menyeleweng dari matlamat asal kerana mempunyai pemimpin yang sudah melelong dari segi nawaitu. Ini bisa terjadi apabila sesebuah perjuangan itu telah mencapai matlamat. 

Yang memimpin lazimnya berada di hadapan ataupun di tempat yang paling atas. Dia yang nampak dahulu daripada para pengikutnya. Justeru itu, dia berpeluang untuk mengecap habuan kejayaan sesebuah perjuangan.

Ini akan menjadikan pemimpin sesebuah perjuangan itu berubah pendirian daripada seorang yang menjadi contoh baik para pengikutnya kepada seorang yang mempunyai peribadi yang jelik. Malangnya, oleh kerana aura kebaikannya masih belum hilang, para pengikut menjadi malu alah untuk menegur keburukannya. 

Kita dapat lihat betapa banyak sekali perjuangan pada hari ini yang pada asalnya begitu murni dan ideal matlamat perjuangannya kerana ia dipimpin oleh mereka yang menyeleweng dari matlamat asal. Mereka yang korup idealisme ini pula mendidik para pengikutnya untuk mempunyai perangai yang serupa sepertinya dengan cara membeli jiwa mereka dengan material.

Pemimpin dan para pengikutnya akan perlahan-lahan meruntuhkan seluruh organisasi mereka dari dalam. Di kacamata luar masih tampak kuat, teguh dan gagah. Tetapi sebenarnya organisasi itu sedang rosak kerana pucuk dan akarnya sudah mereput dan menanti masa untuk rebah dan ditelan bumi.

Organisasi yang begitu lemah kerana tiada lagi disirami cahaya idealisme perjuangan sebagai bajanya akan diganti oleh organisasi lain yang akan tumbuh membesar. Sekiranya organisasi itu turut tidak berpegang kepada matlamat perjuangan, ia juga akan menerima nasib yang sama. 

Persoalan di sini ialah, kedua-duanya samada pemimpin mahupun pengikut akan disoal dan dipertanggungjawabkan bila sampai waktunya akibat meninggalkan perjuangan.

Tak Sabar Merai Kemenangan

Tak Sabar Merai Kemenangan

MAAFCAKAP 7.10.2020

Semalam, 6 Oktober,  kita dikejutkan dengan angka 691 rakyat yang disahkan menghidap Covid-19. Ini adalah angka tertinggi. Sejak 1 – 5 Oktober 2020, mereka yang sah dijangkiti Covid-19 ialah  260, 287, 317, 293 dan 432. Ratusan penghidap yang dikesan secara harian mula menjadi normal baharu! Apakah tiga angka ini akan kekal, menurun atau meningkat hingga ke empat angka? Nauzubillah min zalik. Doakan agar kita tidak tewas dengan perang menentang Covid-19. 

Kita pernah nampak bayang-bayang kemenangan menumpaskan serangan Covid-19 apabila jumlah mereka yang sah dihidapi Covid-19 menurun ke satu angka. Pada 1 Julai dan 4 Ogos, hanya seorang sahaja yang disahkan dijangkiti Covid-19. Kita berasa selesa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac dilonggarkan menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), meskipun terdapat kawasan yang kembali kepada PKPB.

Kita cepat lupa, cepat sangat hendak menjalani kehidupan dengan normal lama, maknanya kembali pada perangai lama. Ada yang mula mengelat tidak mengimbas haba, mengimbas kod QR di MySejahtera ataupun mengisi buku bila berkunjung ke restoran. Itu perangai kita sebagai rakyat. Jika hendak disebutkan pula perangai orang politik yang ke sana ke mari, sudah berbakul leteran netizen yang kita tatap di media sosial. Mereka berasakan Covid-19 tak akan serang mereka sebab mereka orang politik. Memang orang politik tidak kebal macam kita sebab mereka dari spesis manusia juga. Maaf cakap, semua yang hidup akan menghidap penyakit dan semua kita akan mati tanpa kecuali.

Inilah kelemahan kita sebagai manusia. Kita cepat sangat rasa kita telah menang kerana menganggap perjuangan telah selesai dan kita boleh merebut ganjaran dengan bersantai. Banyak insiden dari sejarah yang selalu mengingatkan kita pentingnya kita follow through  atau susur hingga selesai dalam memikul tanggungjawab.

Perang Uhud adalah contoh klasik betapa kemenangan sementara bagi tentera Islam yang hanya berjumlah 700 pejuang dapat menumpaskan 3,000 askar musuh. Oleh kerana berasa dah menang, kumpulan pemanah pimpinan Abdullah bin Zubair turun dari bukit untuk merebut rampasan perang. Amanah Rasulullah saw agar pasukan strategik di atas bukit itu jangan sekali-kali meninggalkan posisi telah mengakibatkan kekalahan tentera Islam.

Politik Melayu di Malaysia pada hari ini pun serupa. Bila berjaya memerintah atas sebab teknikal, mereka mula merebut kuasa. Baharu enam bulan memerintah sudah hilang rasa muafakat dan ikatan. Orang lain tepuk tangan dan terus kipas agar percikan bara menjadi api. Pertempuran baharu dimenangi, dirasakan sudah menang perang! Belum PRU pun tapi perangai seperti dah menang secara demokrasi. 

Dalam kehidupan seharian kita, banyak kes ‘perasan dah menang’ kita lakukan secara berulangkali tanpa berasa serik. Dalam bisnes, hal ini banyak terjadi. Kontrak belum sah dapat, sudah berhibur sakan. Minggu depan kononnya akan diberi bonus, kita sudah menempah pelbagai pakej makanan, perhiasan dan liburan. Akhirnya, bila syarikat umumkan bonus yang kurang dari jangkaan, kita tersedak tak henti-henti.

Kita rasa kita dah menang diet kerana telah berbulan puasa dan menjaga makan. Apabila melihat berat badan sudah menurun, kita pun buka selera dan ngap sana, ngap sini sambil naik ke mesin penimbang tiga kali sehari. Benarlah, makanan belum berkumpul menjadi lemak di peringkat awal. Tiba-tiba bila berat badan naik tak turun-turun, kita juga yang menyesal dalam diam sebab malu hendak cerita pada orang kesilapan kita kepada diri. 

Bila kita mengambil keputusan untuk menjadi baik dan rajin ke surau, ia amat terpuji. Kita mula dikenali jemaah, diminta membacakan iqamah, kemudian azan dan akhirnya diunjurkan agar mengimamkan solat. Kita berasa yang kita berada di jalan yang benar dan tidak mungkin kembali ke jalan yang berliku. Kerana cepat perasan, maka bila datang ujian berupa Covid-19, kita dah tak datang ke surau, kononnya kerana banyak peraturan lalu meninggalkan solat berjemaah yang merupakan jalan luas untuk beristiqamah dalam amalan beragama. 

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar?” Surah Ali-Imran: 142

Novelis Pemalu Menjual Dua Bilion Naskhah Novel!

Novelis Pemalu Menjual Dua Bilion Naskhah Novel!

STEPHEN BEARD.MARKETPLACE.28.9.2020

SETELAH seabad novel pertamanya The Mysterious Affair at Styles  terbit, nama Agatha Christie masih terpahat di dada industri.

Menurut Guinness Book of World Records, beliau masih menjadi novelis laku keras di sepanjang zaman. Jualan novel-novelnya menjangkau 2 bilion naskhah yang diterbitkan dalam lebih 100 bahasa.

Karyanya The Mousetrap  menjadi produksi pentas yang paling lama di dunia. Adaptasi filem dan televisyen terhadap karya-karyanya masih lagi berjalan. Beliau tetap terkenal meskipun para pengkritik mengatakan karyanya kayu.

Namun para peminat Agatha Christie tidak kisah dengan kritikan itu. Lebih 2 juta naskhah terjual pada tahun lalu. Pada tahun lalu, lebih 100,000 pelawat  sanggup ke Greenway House di desa Devon di United Kingdom untuk melawat rumah di mana dia berkarya.

“Agatha sebenarnya tidak menulis di sini. Tetapi rumah Greenway House merupakan latar tempat untuk beberapa karyanya termasuk  The ABC Murders dan Five Little Pigs,” ujar Belinda Smith, pengurus hartanah kepunyaan mendiang.

Kalaulah Agatha masih hidup, pasti dia menggelabah kerana beliau tidak suka kepada perhatian. Ratu Jenayah yang menembak, menikam, meracun dan menjerut watak-wataknya adalah seorang wanita yang pemalu tetapi begitu tertib. 

Di antara novel-novel Agatha Chrietie – Pixcredit: Variety

Agatha Christie Ltd., yang memegang hakcipta karya-karya Christie amat menjaga imej penulisnya. Namun, seorang penulis dan Pengarah Kursus Universiti Cambridge, Sophie Hannah telah dikontrakkan untuk terus menulis karya-karya berlatarbelakangkan watak-watak Christie.

Tulisan-tulisan Sophie mendapat sambutan ramai. Kini beliau sedang menulis novel keempat The Killings at Kingfisher Hill, yang menggunakan watak Inspektor Hercule Poirot, watak kegemaran Agatha Christie.

Begitulah cara barat menghidupkan watak-watak kegemaran ramai meskipun penulis asalnya telah tiada. Apakah di Malaysia akan terjadi begitu juga?

Sumber Asal: https://www.marketplace.org/2020/09/28/agatha-christie-mysteries-still-raking-the-cash-100-years-later/

*Gambar Utama: Agatha Christie berposing di antara novel-novelnya – pixcredit La Tercera

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]