MAAFCAKAP 14.10.2020

Perjuangan itu adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang dianggap penting dan mulia. Lazimnya, sesuatu itu diperjuangkan kerana si pelakunya berasakan apa yang ingin dikejarnya itu adalah matlamat yang amat sukar dicapai. 

Berjuang itu boleh dilakukan seorang diri atas matlamat peribadi. Seseorang itu berjuang untuk lulus peperiksaan, keluar dari garis kemiskinan, membela di atas kematian orang yang disayangi mahupun merebut hati gadis yang dicintai.

Namun, perjuangan yang besar biasanya dikaitkan dengan sekumpulan manusia, kaum, suku atau bangsa untuk memperoleh sesuatu atau membebaskan kumpulan dari sesuatu. Ia adalah suatu usaha yang dianggap murni oleh kumpulan itu.

Perjuangan menentang kezaliman, ketidakadilan, anti-rasuah, anti harga barang naik, mendapat hak kebebasan, kahwin sama sejenis adalah perjuangan yang dianggap baik mahupun bermoral mengikut kacamata kumpulan yang memperjuangkannya. 

Namun dalam perjuangan yang berkumpulan, mesti ada pemimpin. Mesti juga ada pengikut. Tugas pemimpin ialah membawa kumpulan mencapai matlamat. Tugas pengikut ialah menyokong apa yang dibawa pemimpin dalam apa jua keadaan. 

Dalam berjuang, semua anggotanya tahu akan matlamatnya. Mereka akan sama-sama berjuang untuk mencapai matlamat itu. Disiplin adalah inti kepada perjuangan. Kesetiaan tanpa perasaan berbelah bahagi  dengan keseragaman tindakan ‘sami’na waatokna’ akan menjamin perjuangan itu diharungi dengan penuh kesetiaan, malah hingga ke peringkat ketaksuban.

Namun, kita biasa dengar dan tahu betapa terdapat perjuangan yang menyeleweng dari matlamat asal kerana mempunyai pemimpin yang sudah melelong dari segi nawaitu. Ini bisa terjadi apabila sesebuah perjuangan itu telah mencapai matlamat. 

Yang memimpin lazimnya berada di hadapan ataupun di tempat yang paling atas. Dia yang nampak dahulu daripada para pengikutnya. Justeru itu, dia berpeluang untuk mengecap habuan kejayaan sesebuah perjuangan.

Ini akan menjadikan pemimpin sesebuah perjuangan itu berubah pendirian daripada seorang yang menjadi contoh baik para pengikutnya kepada seorang yang mempunyai peribadi yang jelik. Malangnya, oleh kerana aura kebaikannya masih belum hilang, para pengikut menjadi malu alah untuk menegur keburukannya. 

Kita dapat lihat betapa banyak sekali perjuangan pada hari ini yang pada asalnya begitu murni dan ideal matlamat perjuangannya kerana ia dipimpin oleh mereka yang menyeleweng dari matlamat asal. Mereka yang korup idealisme ini pula mendidik para pengikutnya untuk mempunyai perangai yang serupa sepertinya dengan cara membeli jiwa mereka dengan material.

Pemimpin dan para pengikutnya akan perlahan-lahan meruntuhkan seluruh organisasi mereka dari dalam. Di kacamata luar masih tampak kuat, teguh dan gagah. Tetapi sebenarnya organisasi itu sedang rosak kerana pucuk dan akarnya sudah mereput dan menanti masa untuk rebah dan ditelan bumi.

Organisasi yang begitu lemah kerana tiada lagi disirami cahaya idealisme perjuangan sebagai bajanya akan diganti oleh organisasi lain yang akan tumbuh membesar. Sekiranya organisasi itu turut tidak berpegang kepada matlamat perjuangan, ia juga akan menerima nasib yang sama. 

Persoalan di sini ialah, kedua-duanya samada pemimpin mahupun pengikut akan disoal dan dipertanggungjawabkan bila sampai waktunya akibat meninggalkan perjuangan.