MAAFCAKAP 7.10.2020

Semalam, 6 Oktober,  kita dikejutkan dengan angka 691 rakyat yang disahkan menghidap Covid-19. Ini adalah angka tertinggi. Sejak 1 – 5 Oktober 2020, mereka yang sah dijangkiti Covid-19 ialah  260, 287, 317, 293 dan 432. Ratusan penghidap yang dikesan secara harian mula menjadi normal baharu! Apakah tiga angka ini akan kekal, menurun atau meningkat hingga ke empat angka? Nauzubillah min zalik. Doakan agar kita tidak tewas dengan perang menentang Covid-19. 

Kita pernah nampak bayang-bayang kemenangan menumpaskan serangan Covid-19 apabila jumlah mereka yang sah dihidapi Covid-19 menurun ke satu angka. Pada 1 Julai dan 4 Ogos, hanya seorang sahaja yang disahkan dijangkiti Covid-19. Kita berasa selesa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac dilonggarkan menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), meskipun terdapat kawasan yang kembali kepada PKPB.

Kita cepat lupa, cepat sangat hendak menjalani kehidupan dengan normal lama, maknanya kembali pada perangai lama. Ada yang mula mengelat tidak mengimbas haba, mengimbas kod QR di MySejahtera ataupun mengisi buku bila berkunjung ke restoran. Itu perangai kita sebagai rakyat. Jika hendak disebutkan pula perangai orang politik yang ke sana ke mari, sudah berbakul leteran netizen yang kita tatap di media sosial. Mereka berasakan Covid-19 tak akan serang mereka sebab mereka orang politik. Memang orang politik tidak kebal macam kita sebab mereka dari spesis manusia juga. Maaf cakap, semua yang hidup akan menghidap penyakit dan semua kita akan mati tanpa kecuali.

Inilah kelemahan kita sebagai manusia. Kita cepat sangat rasa kita telah menang kerana menganggap perjuangan telah selesai dan kita boleh merebut ganjaran dengan bersantai. Banyak insiden dari sejarah yang selalu mengingatkan kita pentingnya kita follow through  atau susur hingga selesai dalam memikul tanggungjawab.

Perang Uhud adalah contoh klasik betapa kemenangan sementara bagi tentera Islam yang hanya berjumlah 700 pejuang dapat menumpaskan 3,000 askar musuh. Oleh kerana berasa dah menang, kumpulan pemanah pimpinan Abdullah bin Zubair turun dari bukit untuk merebut rampasan perang. Amanah Rasulullah saw agar pasukan strategik di atas bukit itu jangan sekali-kali meninggalkan posisi telah mengakibatkan kekalahan tentera Islam.

Politik Melayu di Malaysia pada hari ini pun serupa. Bila berjaya memerintah atas sebab teknikal, mereka mula merebut kuasa. Baharu enam bulan memerintah sudah hilang rasa muafakat dan ikatan. Orang lain tepuk tangan dan terus kipas agar percikan bara menjadi api. Pertempuran baharu dimenangi, dirasakan sudah menang perang! Belum PRU pun tapi perangai seperti dah menang secara demokrasi. 

Dalam kehidupan seharian kita, banyak kes ‘perasan dah menang’ kita lakukan secara berulangkali tanpa berasa serik. Dalam bisnes, hal ini banyak terjadi. Kontrak belum sah dapat, sudah berhibur sakan. Minggu depan kononnya akan diberi bonus, kita sudah menempah pelbagai pakej makanan, perhiasan dan liburan. Akhirnya, bila syarikat umumkan bonus yang kurang dari jangkaan, kita tersedak tak henti-henti.

Kita rasa kita dah menang diet kerana telah berbulan puasa dan menjaga makan. Apabila melihat berat badan sudah menurun, kita pun buka selera dan ngap sana, ngap sini sambil naik ke mesin penimbang tiga kali sehari. Benarlah, makanan belum berkumpul menjadi lemak di peringkat awal. Tiba-tiba bila berat badan naik tak turun-turun, kita juga yang menyesal dalam diam sebab malu hendak cerita pada orang kesilapan kita kepada diri. 

Bila kita mengambil keputusan untuk menjadi baik dan rajin ke surau, ia amat terpuji. Kita mula dikenali jemaah, diminta membacakan iqamah, kemudian azan dan akhirnya diunjurkan agar mengimamkan solat. Kita berasa yang kita berada di jalan yang benar dan tidak mungkin kembali ke jalan yang berliku. Kerana cepat perasan, maka bila datang ujian berupa Covid-19, kita dah tak datang ke surau, kononnya kerana banyak peraturan lalu meninggalkan solat berjemaah yang merupakan jalan luas untuk beristiqamah dalam amalan beragama. 

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar?” Surah Ali-Imran: 142