STEPHEN BEARD.MARKETPLACE.28.9.2020
SETELAH seabad novel pertamanya The Mysterious Affair at Styles terbit, nama Agatha Christie masih terpahat di dada industri.
Menurut Guinness Book of World Records, beliau masih menjadi novelis laku keras di sepanjang zaman. Jualan novel-novelnya menjangkau 2 bilion naskhah yang diterbitkan dalam lebih 100 bahasa.
Karyanya The Mousetrap menjadi produksi pentas yang paling lama di dunia. Adaptasi filem dan televisyen terhadap karya-karyanya masih lagi berjalan. Beliau tetap terkenal meskipun para pengkritik mengatakan karyanya kayu.
Namun para peminat Agatha Christie tidak kisah dengan kritikan itu. Lebih 2 juta naskhah terjual pada tahun lalu. Pada tahun lalu, lebih 100,000 pelawat sanggup ke Greenway House di desa Devon di United Kingdom untuk melawat rumah di mana dia berkarya.
“Agatha sebenarnya tidak menulis di sini. Tetapi rumah Greenway House merupakan latar tempat untuk beberapa karyanya termasuk The ABC Murders dan Five Little Pigs,” ujar Belinda Smith, pengurus hartanah kepunyaan mendiang.
Kalaulah Agatha masih hidup, pasti dia menggelabah kerana beliau tidak suka kepada perhatian. Ratu Jenayah yang menembak, menikam, meracun dan menjerut watak-wataknya adalah seorang wanita yang pemalu tetapi begitu tertib.

Agatha Christie Ltd., yang memegang hakcipta karya-karya Christie amat menjaga imej penulisnya. Namun, seorang penulis dan Pengarah Kursus Universiti Cambridge, Sophie Hannah telah dikontrakkan untuk terus menulis karya-karya berlatarbelakangkan watak-watak Christie.
Tulisan-tulisan Sophie mendapat sambutan ramai. Kini beliau sedang menulis novel keempat The Killings at Kingfisher Hill, yang menggunakan watak Inspektor Hercule Poirot, watak kegemaran Agatha Christie.
Begitulah cara barat menghidupkan watak-watak kegemaran ramai meskipun penulis asalnya telah tiada. Apakah di Malaysia akan terjadi begitu juga?
Sumber Asal: https://www.marketplace.org/2020/09/28/agatha-christie-mysteries-still-raking-the-cash-100-years-later/
*Gambar Utama: Agatha Christie berposing di antara novel-novelnya – pixcredit La Tercera


