Mari Bina Ekosistem Ekonomi Islam
MAAFCAKAP 11.11.2020
Ekosistem ekonomi ialah sebuah komuniti yang disokong oleh pelbagai organisasi dan individu. Komuniti ini menghasilkan produk dan perkhidmatan kepada para pelanggan yang mana mereka adalah ahli di dalam ekosistem itu. Ekosistem ekonomi Islam pula adalah sebuah jemaah yang mengandungi pengeluar, pemborong, penjual dan juga pengguna sebagai ahli-ahlinya.
Secara tamsilannya ia seperti sebuah aktiviti ekonomi di dalam sebuah kampung di mana hasil tanaman petani sebagai pengeluar dibeli oleh pemborong dan kemudiannya diagihkan kepada penjual yang memasarkannya kepada orang-orang kampung sebagai pembeli.
Pada hari ini, ekosistem ekonomi Islam kita amat longgar, tidak sistematik kerana ia tidak diusahakan secara sengaja. Hanya sebahagian kecil sahaja yang punyai semangat ‘hendak tolong sama seagama atau sebangsa’ sementara sebahagian besar yang lain berasakan ia tidak mustahak.
Dalam ekosistem peruncitan misalnya, pengeluar Muslim seperti nelayan, petani dan penternak, menjual hasil pengeluaran mereka kepada sesiapa sahaja yang boleh memberi pulangan yang tinggi. Begitu juga, pihak pemborong dan pengedar mengambil apa sahaja barangan yang laris di pasaran. Kita pula sebagai pengguna, membeli dari mana-mana dan dari sesiapa yang kita suka.
Akibatnya, hanya mereka yang punyai perniagaan besar dan hebat sahajalah yang sentiasa menguasai pasaran.
Melalui modal yang besar mereka mengaut segala hasil pengeluaran dengan harga yang lebih murah kerana mereka membeli dari kuantiti yang besar. Dengan prasarana perngangkutan, komunikasi, pengiklanan dan pemasaran, yang besar akan terus besar, sementara yang kecil tak akan besar-besar.
Inilah yang dikatakan sebagai situasi yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Padahal, yang miskin boleh juga membesar dan menjadi kaya sekiranya semua pihak di dalam ekosistem itu sepakat untuk membantu di antara satu sama lain bagi menegakkan seluruh ekosistem ekonomi itu.
Namun pada hari ini, usaha secara kolektif dan sistematik boleh dikatakan tiada dilakukan. Bagaimana pun, jika dilihat pada susunan ekosistem ekonomi kaum lain, hal ini amat dititikberatkan. Malah, ia sudah menjadi budaya kehidupan mereka.
Jika diperhati secara rambang, dalam sektor peruncitan misalnya, kita akan dapati orang Cina tidak ramai ke pasar mini orang Melayu sedangkan orang Melayu membeli di mana-mana sahaja yang mereka ingini. Keadaan ini berlaku kerana generasi asal mereka berhijrah ke negara ini. Jadi, konsep tolong menolong sesama mereka amat kukuh sebagai suatu budaya hingga ke hari ini.
Tidak salah pun apa yang mereka lakukan kerana ia adalah pendirian untuk mendahulukan kaum sendiri. Justeru itulah, kita sendiri perlu mengamalkan hal yang sama. Itupun bukannya dengan cara menolak mahupun memboikot ekonomi kaum lain. Tetapi dilakukan dengan memperbanyak jumlah urusniaga kita dengan bangsa sendiri. Kita patut meniru apa yang baik dilakukan oleh kaum lain untuk menegakkan ekosistem ekonomi kita.
Mengapa ini belum terjadi? Ia belum berlaku kerana kita belum memahami peri pentingnya menegakkan ekosistem ekonomi Islam. Lagi pula, tiada yang mentarbiahkan masyarakat mengenai hal ini. Kita punyai ramai sekali ahli ekonomi, bisnes dan kewangan tetapi mereka tidak berkebolehan menyeru secara massa.
Para ustaz pun walaupun punyai pengaruh dalam penyampaian, namun tiada yang mengkhususkan penyampaian ilmu ekonomi dan perdagangan Islam walhal berniaga itu adalah sunnah Rasulullah saw. Orang politik yang punyai kehebatan komunikasi dan pengaruh pun sibuk dengan dunia mereka sendiri.
Tanpa ekosistem ekonomi Islam, kita akan terus tewas dalam percaturan perniagaan kerana kita berurusniaga dalam sistem, peraturan dan undang-undang orang lain. Selagi aktiviti ekonomi diamalkan menurut sistem kapitalis yang mengutamakan siapa kuat, dia menang, selagi itulah kita terus ketinggalan kerana tak boleh mengangkat muka.
Kita kena bina ekosistem ekonomi Islam. Tapi siapa hendak gerakkan?

Novel Agatha Christie Jadi Filem Bollywood
SOUTIK BISWAS.BBC.COM.8.11.2020
Pembikin filem India Vishal Bhardwaj baru-baru ini mengumumkan filem bikinan terbaharunya bersumber dari novel Queen of Crime karya novelis tersohor dunia, Agatha Christie.
Inilah kali pertama, Agatha Christie Limited, syarikat yang mengendalikan hakcipta novelis mendiang memberikan karya novelis itu kepada sebuah syarikat perfileman dari India.

“Kami telah banyak membuat filem adaptasi di seluruh dunia. Setiap negara menghasilkan karya yang mempunyai citarasa tersendiri. Saya tak ragu-ragu yang naskhah kali ini pun akan mempunyai sentuhan tersendiri juga,” James Prichard, cicit Agatha Christie yang juga CEO syarikat tersebut.
Bhardwaj, 55, adalah salah seorang pembikin filem yang terkenal di India. Sejak dua dekad, beliau telah menghasilkan banyak karya termasuk 15 buah filem. Beliau menghasilkan tiga adaptasi karya William Shakespeare iaitu Maqbool berdasarkan Macbeth, Omkara untuk Othello dan Haider untuk Hamlet.
Bhardwaj bijak menggabungkan sebuah kisah yang menggetar dengan alunan muzik kerana beliau asalnya adalah seorang komposer muzik. Beliau merancang untuk menyudahkan perfileman itu dalam masa dua bulan.
Sebahagian besar daripada syot filem akan diadakan di pergunungan Himalaya. Sebagai peminat karya-karya Agatha yang antaranya Murder On The Orient Express.
Industri Buku di Australia Terus Bertahan
DONNA LU.THE GUARDIAN.7.11.2020
Penjual buku dan para penerbit di Australia mendapati jualan buku-buku telah meningkat pada musim Covid-19. Oleh kerana orang ramai tidak boleh ke pawagam mahupun konsert, ramai di antara mereka telah kembali membaca buku. Mereka memilih penulis-penulis yang mereka biasa dan turut membaca novel.
Menurut Nielsen Book Australia, sebuah agensi penyelidikan yang memantau jualan buku, mereka mendapati jualan buku menurun pada awal tahun ini. Tetapi jualannya meningkat selepas itu sehingga kini. Jualan novel meningkat 13 % setakat pertengahan Oktober lalu.
“Para pembaca punyai lebih banyak masa untuk membaca buku sekarang ini, ujar Ketua Eksekutif syarikat HarperCollins, Jim Demetriou.

Bagi Chris Oliver, tuanpunya Little Bird Bookshop, beliau mendapati buku-buku mengenai Australia kian mendapat sambutan. “Para pembaca mula hendak ambil tahu mengenai bandar-bandar di Australia kerana mereka tidak boleh terbang ke negara lain.”
Bagi Anna MacDonald, penjual buku di Paperback Bookshop di Melbourne, rakan-rakannya menawarkan genre buku-buku yang diminati oleh para pelanggannya. Sejak bulan Mac, kedai buku itu telah mempamerkan buku-buku baharu setiap hari di laman webnya.
Books that offer practical ways of passing time have also sold well, including cookbooks, gardening and craft books, and a resurgence in adult colouring-in books.
Di bandar-bandar kecil yang tidak terjejas dengan pelbagai SOP, kedai-kedai buku nampaknya masih bertahan. “Orang ramai memang menyokong bisnes setempat,” kata Diana Johnston, seorang pembeli buku francais Collins Booksellers.
Menurut Diana lagi, mereka yang menjadi pembeli buku adalah pelanggan tetap yang telah berdekad mengunjungi kedainya. Bisnes dijangka berkekalan apabila pandemik ini belum berakhir dan pekerja meneruskan kerja di rumah dan bila tempat hiburan terus ditutup.
Gambar utama: Kedai buku The paperback, Melbourne ditutup tetapi jualan onlinenya bertahan
Tidak Sedar Menolak Kebenaran
MAAFCAKAP 4.11.2020
Fitnah menurut makna dari bahasa Arab adalah ujian dan cubaan. Namun mengikut erti fitnah dalam bahasa Melayu, ia adalah pembohongan ke atas seseorang atau sesuatu. Menyampaikan hal buruk yang palsu itu fitnah, menyampaikan hal baik yang palsu juga adalah fitnah.
Mutakhir ini kita selalu menerima fitnah dari pelbagai sumber. Hal yang tiada diada-adakan, yang ada dikatakan tiada dan tidak betul, dikatakan betul. Pada hari ini, kita mempunyai akses untuk merujuk sesuatu berita yang diterima itu dengan segera melalui carian di internet bagi mendapat pengesahan.
Tetapi, meskipun kita berakal, kita sering terlupa untuk menggunakannya kerana fikiran kita sudah kotor dan tersumbat dengan pelbagai informasi yang saban hari menghujani fikiran. Akhirnya, apabila otak kita dah penat, fikiran kita tidak boleh menimbang lagi yang mana satu hal yang benar, yang mana satu yang palsu.
Dalam pada kita dihujani pelbagai berita dan maklumat yang benar dan yang palsu, ada satu lagi situasi yang kian menjadi pendirian kita tanpa kita sedari. Situasi itu adalah pendirian kita menolak sesuatu yang benar meskipun ia terbukti sahih.
Di peringkat peribadi, kita tahu bila kita tidur lewat dan bangun awal, badan kita masih letih, fokus kita terganggu dan kita akan mengantuk di siang hari. Kita tahu apabila kita makan yang pedas berlebihan, perut kita akan meragam. Dan, apabila kita tidak bersenam, berat badan kita akan bertambah.
Fakta yang kita maklumi ini adalah benar. Bila kita selusuri internet untuk mendapat maklumat, kita akan memperoleh berpuluh-puluh bahan bacaan dan tontonan yang mengesahkan fakta ini. Tetapi kita menolak kebenaran ini dengan tidur lewat, terus makan yang pedas-pedas dan tidak bersenam.
Padahal, jika kita merujuk dengan lebih mendalam dari laman web mahupun pakar perubatan, kita akan peroleh fakta yang lebih menggerunkan. Tidak cukup tidur boleh melemahkan sistem imun dan memudahkan kita terkena penyakit, makanan pedas-pedas boleh akibatkan ulser dan tidak bersenam bakal mendatangkan masalah jantung.
Di peringkat kehidupan seharian, kita tahu tidak membayar wang parkir itu adalah suatu kesalahan. Ia juga adalah suatu bentuk penipuan dan ia adalah berdosa. Melanggar lampu merah juga adalah melanggar peraturan. Ia juga berdosa kerana melanggar undang-undang pemerintah. Tidakkah ketidakpatuhan itu tanda kita menerima kesalahan dan menolak kebenaran?
Tentu sekali sekiranya hal-hal mengenai peribadi yang menyentuh aspek fizikal dan hal-hal kehidupan yang berkait dengan aspek mental tidak kita pedulikan, kita dengan sendirinya akan menolak hal-hal yang abstrak berhubung dengan aspek spiritual. Kita layani kehendak jasad dan akhirnya kita terlupa yang kita punyai roh yang sentiasa mengajak kita kembali kepada kebenaran.
Kita tahu ALLAH swt, kita tahu Nabi Muhammad saw. Kita wajib mengikut perintah ALLAH swt dengan mengamalkannya seperti cara yang Rasulullah saw lakukan. ALLAH swt tidak dapat kita lihat, Rasulullah saw pula sudah wafat tetapi bukti kewujudan ALLAH swt dan Muhammad saw ada di dalam Al-Quran.
Kitab itu adalah satu bentuk dokumen sahih lagi benar. Namun, mengapa kita selalu mengenepikannya sebagai bahan rujukan kehidupan? Apakah tanpa kita sedari, kita sudah menjadi golongan yang menolak kebenaran? Apabila al-Quran tiada di sisi, roh kita tiada santapan dan ia lemah.
Fizikal dan mental kita akan mereput sehinggakan kita bukan sahaja menolak kebatilan tetapi turut mengenepikan kebenaran. Renungilah betapa banyak kebenaran yang sudah kita tolak dan sebaliknya hidup dalam kebatilan yang kosong. Semoga kita dijauhkan dari sikap ini.

PKPB: Kedai Buku Meronta Nak Bernafas
THE STAR.TERENCE TOH.24.10.2020
Meskipun kedai-kedai buku dibenarkan beroperasi ketika PKPB ini, banyak premis menghadapi kekurangan para pengunjung.
Apakah rancangan jangka panjang mereka untuk mengatasi keadaan ini? Kebanyakan kedai-kedai buku indie ini sudah berpindah ke cara online untuk terus bernafas.
LIT BOOKS di Petaling Jaya hanya beroperasi secara online.
“Kami rasa peningkatan kes-kes di daerah Petaling lebih membimbangkan daripada PKP terdahulu. Kerana itu, kehadiran kami secara online lebih stabil,” ujar pengasas bersama kedai buku itu, Fong Min Hun.
Vannitha Balasingam, pengasas kedai buku A WORD AFFAIR di Taman Desa, Kuala Lumpur masih membuka kedainya dalam tempoh PKPB ini. Kedainya hanya dibuka pada Rabu, Sabtu dan Ahad. Para pengunjung pun kian berkurangan.
“Ramai di kalangan pelanggan tetap saya kini membuat pesanan online. Mereka datang untuk mengambil pesanan ataupun meminta saya mengirimnya.”
Pengasas BOOKS N BOBS, Rachel Ang pula menjual bukunya secara online. PKPB ini menaikkan pesanan buku kerana ramai yang tidak boleh bekerja dan hanya ingin duduk membaca.
Namun, katanya, “Jika PKPB ini dilanjutkan melebihi sebulan, jualan akan merudum kerana ekonomi akan jadi teruk dan para pengguna akan berjimat cermat.”
Pautan asal:


