MAAFCAKAP 4.11.2020
Fitnah menurut makna dari bahasa Arab adalah ujian dan cubaan. Namun mengikut erti fitnah dalam bahasa Melayu, ia adalah pembohongan ke atas seseorang atau sesuatu. Menyampaikan hal buruk yang palsu itu fitnah, menyampaikan hal baik yang palsu juga adalah fitnah.
Mutakhir ini kita selalu menerima fitnah dari pelbagai sumber. Hal yang tiada diada-adakan, yang ada dikatakan tiada dan tidak betul, dikatakan betul. Pada hari ini, kita mempunyai akses untuk merujuk sesuatu berita yang diterima itu dengan segera melalui carian di internet bagi mendapat pengesahan.
Tetapi, meskipun kita berakal, kita sering terlupa untuk menggunakannya kerana fikiran kita sudah kotor dan tersumbat dengan pelbagai informasi yang saban hari menghujani fikiran. Akhirnya, apabila otak kita dah penat, fikiran kita tidak boleh menimbang lagi yang mana satu hal yang benar, yang mana satu yang palsu.
Dalam pada kita dihujani pelbagai berita dan maklumat yang benar dan yang palsu, ada satu lagi situasi yang kian menjadi pendirian kita tanpa kita sedari. Situasi itu adalah pendirian kita menolak sesuatu yang benar meskipun ia terbukti sahih.
Di peringkat peribadi, kita tahu bila kita tidur lewat dan bangun awal, badan kita masih letih, fokus kita terganggu dan kita akan mengantuk di siang hari. Kita tahu apabila kita makan yang pedas berlebihan, perut kita akan meragam. Dan, apabila kita tidak bersenam, berat badan kita akan bertambah.
Fakta yang kita maklumi ini adalah benar. Bila kita selusuri internet untuk mendapat maklumat, kita akan memperoleh berpuluh-puluh bahan bacaan dan tontonan yang mengesahkan fakta ini. Tetapi kita menolak kebenaran ini dengan tidur lewat, terus makan yang pedas-pedas dan tidak bersenam.
Padahal, jika kita merujuk dengan lebih mendalam dari laman web mahupun pakar perubatan, kita akan peroleh fakta yang lebih menggerunkan. Tidak cukup tidur boleh melemahkan sistem imun dan memudahkan kita terkena penyakit, makanan pedas-pedas boleh akibatkan ulser dan tidak bersenam bakal mendatangkan masalah jantung.
Di peringkat kehidupan seharian, kita tahu tidak membayar wang parkir itu adalah suatu kesalahan. Ia juga adalah suatu bentuk penipuan dan ia adalah berdosa. Melanggar lampu merah juga adalah melanggar peraturan. Ia juga berdosa kerana melanggar undang-undang pemerintah. Tidakkah ketidakpatuhan itu tanda kita menerima kesalahan dan menolak kebenaran?
Tentu sekali sekiranya hal-hal mengenai peribadi yang menyentuh aspek fizikal dan hal-hal kehidupan yang berkait dengan aspek mental tidak kita pedulikan, kita dengan sendirinya akan menolak hal-hal yang abstrak berhubung dengan aspek spiritual. Kita layani kehendak jasad dan akhirnya kita terlupa yang kita punyai roh yang sentiasa mengajak kita kembali kepada kebenaran.
Kita tahu ALLAH swt, kita tahu Nabi Muhammad saw. Kita wajib mengikut perintah ALLAH swt dengan mengamalkannya seperti cara yang Rasulullah saw lakukan. ALLAH swt tidak dapat kita lihat, Rasulullah saw pula sudah wafat tetapi bukti kewujudan ALLAH swt dan Muhammad saw ada di dalam Al-Quran.
Kitab itu adalah satu bentuk dokumen sahih lagi benar. Namun, mengapa kita selalu mengenepikannya sebagai bahan rujukan kehidupan? Apakah tanpa kita sedari, kita sudah menjadi golongan yang menolak kebenaran? Apabila al-Quran tiada di sisi, roh kita tiada santapan dan ia lemah.
Fizikal dan mental kita akan mereput sehinggakan kita bukan sahaja menolak kebatilan tetapi turut mengenepikan kebenaran. Renungilah betapa banyak kebenaran yang sudah kita tolak dan sebaliknya hidup dalam kebatilan yang kosong. Semoga kita dijauhkan dari sikap ini.
