Betulkah Kita Tak Ada Masa?
MAAFCAKAP 27.3.2024
Tahun ini Azwar tidak balik kampung untuk menyambut Aidilfitri. Sudah tiga tahun pemuda bujang ini tidak pulang. Kesibukan menjadi alasannya. Sebagai seorang Eksekutif Pengiklanan di sebuah syarikat pemasaran, dia kata, dia sibuk. Lebih-lebih lagi bila banyak tugasan yang dia peroleh datang dari luar negara. Katanya, kerjanya bertimbun-timbun.
Menurutnya, banyak masanya ‘terbuang’ apabila pulang ke kampung. Selain dari perjalanan jauh yang boleh memakan masa melebihi 12 jam untuk pulang ke Pantai Timur, dia akan terikat dengan aturcara kunjungan seisi keluarga. Kata Azwar, sekurang-kurangnya dua hari akan diperuntukkan untuk beraya termasuk berkenderaan berpuluh kilometer ke rumah sanak saudara.
Tentu dia tidak akan punyai masa untuk menyudahkan kerja-kerjanya yang banyak. Menurutnya capaian internet di daerahnya tidak bagus. Ini akan melambatkan kerja. Justeru, lebih baik tidak pulang. Cukuplah dia sekadar menziarah sanak saudara dengan aplikasi Zoom sahaja dari bilik tidurnya!
Bagi mereka di sektor keselamatan, penguatkuasaan mahu pun kesihatan yang memang tidak diberi cuti oleh majikan, ia merupakan kewajipan. Mereka akan dapat juga bercuti selepas itu untuk pulang berhari raya. Tetapi, terdapat ramai yang lain memberi alasan tidak boleh bercuti kerana ketiadaan masa.
Alasan ketiadaan masa itu sebenarnya berpunca dari kelemahan seseorang untuk mengurus masa dan membuat keputusan. Ini juga berkait langsung dengan kemahiran seseorang menyusun prioriti. Ini terjadi kepada mereka yang tenggelam dalam dunia bekerja. Mereka berasakan bahawa tiada yang lebih penting di dunia ini melainkan dengan menyudahkan kerja.
Semua orang mempunyai 24 jam dalam sehari. Tiada manusia yang mempunyai masa yang lebih atau kurang daripada itu. Semua orang mempunyai tugasan dan komitmen yang menjadi tanggungjawab. Jika difikir dan disusun, ada sahaja cara untuk menangani tugasan samada menyudahkan ia lebih awal atau menangguhkan ia ke lain waktu. Menyudahkan sesebuah tugasan dengan lebih awal bermakna kita mengenepikan apa yang sedang dilakukan sekarang untuk memberi ruang kepada tugasan yang perlu segera dibereskan.
Jika ia melibatkan penangguhan menyudahkan sesebuah tugasan yang berkait dengan pihak lain, berundinglah untuk mendapat kompromi masa menyiapkannya. Biasanya tugasan-tugasan untuk projek yang besar sudah dirangka berbulan lamanya. Tugasan yang begini memang tidak boleh ditangguh tetapi boleh dirancang masanya.
Justeru, ia bukannya soal ada atau tiada masanya tetapi bagaimanakah kita menyusun prioriti atau keutamaan kerja. Kegagalan menyusun keutamaan kerja mengakibatkan seseorang menghabiskan masanya untuk membuat apa yang dia suka dan mudah disiapkan, bukannya apa yang patut dia sudahkan.
Sekiranya kita gagal dalam menyusun keutamaan kerja, kita akan berasa lemas dengan tugasan dan sentiasa berasa sibuk. Ini akan mengakibatkan stres, gagal menepati deadline yang akhirnya akan menimbulkan rasa kecewa dan kepenatan mental yang tidak berkesudahan.
Ada banyak teknik dan strategi dalam menggariskan prioriti yang boleh sahaja diselusuri di internet. Ia merupakan jawapan kepada masalah kita dalam menyusun prioriti. Apa yang perlu difahami ialah prinsip-prinsip membuat keputusan itu.
Tidak perlu menghafal dan meniru bulat-bulat ilmu yang dibaca kerana kita bukannya akan menghadapi peperiksaan. Yang penting kita mendapat sedikit idea, konsep dan yang paling penting mendapat motivasi bahawa ada jalan untuk menyelesaikan masalah prioriti yang kita sedang hadapi itu.
Kita bukannya tiada masa untuk sesuatu tetapi kita yang tidak meletakkan keutamaan bagi sesuatu hal. Apa sahaja yang menjadi keutamaan, maka ada sahaja masa yang boleh kita peruntukkan untuk menyudahkannya.
Sebagai contoh, kita sedang melakukan sesuatu yang penting dan mustahak yang menjadi keutamaan sekarang. Tiba-tiba perut kita memulas. Berlari ke tandas menjadi keutamaan nombor satu dan kita telah memberi masa untuk keperluan itu. Tugas mustahak yang sedang kita lakukan itu secara automatik menjadi keutamaan yang kedua!
Justeru itu, berpada-padalah dalam menangani kerja. Kerja adalah alat untuk kita mencapai hasrat dalam kehidupan. Kehidupan kita bermakna juga kehidupan mereka yang disayangi dalam hidup ini, bukan untuk diri sendiri semata-mata. Jangan kata kita ini sibuk tetapi sebenarnya hanya menyibuk!

Boikot Senjata Jitu dan Ampuh
MAAFCAKAP 20.3.2024
Ketenangan umat Islam di Malaysia mengerjakan ibadah puasa terkocak bila seorang netizen memaparkan imej stoking yang tertulis kalimah ALLAH yang terjual di sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart yang terletak di Bandar Sunway.
Isu itu segera menular di media sosial dan pihak KK Mart telah mengadakan sidang akhbar. Pada sidang itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai menzahirkan keresahannya. “Saya sendiri tidak boleh terima penjualan stoking yang terdapat kalimah Allah. Saya begitu menyesal dan memohon maaf atas perkara yang berlaku.”
Turut hadir bersamanya ialah Soh Chin Huat, Pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd. Sambil menjelaskan bahawa stoking itu diimport dari China, beliau mengaku silap kerana tidak melakukan pemeriksaan teliti hingga menyebabkan stoking berkenaan dijual di KK Mart.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam reaksinya menjelaskan bahawa mereka akan meneruskan kempen boikot KK Super Mart. Beliau menggesa syarikat itu memasang kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu sebagai tanda bahawa mereka benar-benar memohon maaf.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin menegaskan, kalimah Allah merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat mengguris hati umat Islam.
Sementara itu, peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Dr Noorfajri Ismail mencadangkan, “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu pinda undang-undangnya. Tahan pemilik dan nyah senarai syarikat yang jelas menyentuh isu 3R.
Pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan penjualan stoking yang mengandungi kalimah ALLAH adalah satu penghinaan yang sukar untuk dimaafkan.
Sidang akhbar dan juga laporan kepada pihak berwajib oleh pengurusan KK Mart tidak sama sekali akan menghentikan pihak yang bertanggungjawab meneruskan siasatan. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri sedang melakukan semakan terperinci bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pula berkata, setakat ini sebanyak 42 laporan polis diterima di seluruh negara. “Ia masih di peringkat siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
Apabila isu ini menjadi perhatian netizen, ia sukar sekali hilang dari radar. Netizen Malaysia mempunyai persefahaman yang kukuh. Boikot menjadi senjata yang paling jitu dan ampuh. Tindakan netizen memboikot kedai makanan segera McDonald’s, KFC dan Starbucks telah menggigit keuntungan syarikat-syarikat itu.
Dan kini, apabila isu stoking yang tertera nama ALLAH menjadi isu, ia dijangka akan memberi impak yang segera dan parah. Isu Palestin dan Israel yang dilihat sebagai isu agama pun memberi kesan, inikan pula isu kalimah ALLAH itu melibatkan nama yang menjadi zikir harian umat Islam.
Walau apa pun, umat Islam Malaysia semakin nampak impak bertindak secara sepakat dalam isu-isu kepenggunaan melalui cara boikot. Di sebalik ratusan yang memberi pelbagai komen di pelbagai media sosial, terdapat ribuan lagi pembaca senyap yang akur untuk terus bertindak.
Mereka boleh memboikot mana-mana syarikat kerana mempunyai premis-premis pilihan lain untuk berbelanja. Demi memperjuangkan maruah, tindakan mereka itu wajar. Malah, ramai umat Islam di Malaysia yang tidak tahu, tindakan boikot itu sendiri adalah reaksi umat Islam di Madinah dalam memerangi penipuan, riba dan ketidakadilan pasar Yahudi. Enam bulan mereka memboikot pasar Yahudi, pasar itu tutup bila umat Islam beramai-ramai memindahkan belanja di pasar Islam Madinah.
Berbalik pada isu stoking kalimah ALLAH ini, barangkali komen Ustaz Azhar Idrus perlu kita fikirkan. Menurutnya, kita tidak boleh memaaf atau menghalalkan kerana kita tiada hak mewakili ALLAH. Oleh kerana isu ini berhubung langsung dengan ALLAH, hanya ALLAH sahaja yang boleh mengampunkan. Kita sebaliknya hanya boleh bertindak untuk memberi pengajaran.

Yang Diingini Bila Berpuasa
MAAFCAKAP 13.3.2024
Ramadan di zaman kanak-kanak memang tidak dapat saya lupakan. Bersahur sambil mata terpejam kerana mengantuk adalah perangai yang lumrah. Mata akan terbeliak bila abang menyergah. Dia akan terkekek ketawa melihat saya tersentak. Saya pula akan menangis. Hingar seketika ruang makan bila suara tawa abang dan tangisan saya berselang-seli. Hanya bebelan emak akan menghentikan keriuhan.
Jika saya tidak berpuasa, saya tahu tempat berbuka saya diasingkan jauh di lantai. Ketika emak, abang dan ayah mengunyah juadah berbuka, saya diberi dua butir cekodok. Apabila mereka sudah selesai makan, baharulah saya boleh mengendeng ke meja. Situasi itu membuatkan saya berazam hendak berpuasa pada esok hari.
Di waktu sekolah, kes saya dan kawan-kawan terminum air paip memang kerap berlaku. Samada terlupa atau buat-buat lupa pun saya dah lupa. Tetapi yang paling diingat ialah cuaca panas dan kering tekak apabila menapak pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, tidur adalah peluang untuk mempercepatkan masa. Manakan tidak, bila terjaga hari sudah senja.
Pemandangan yang paling indah di kala itu bukannya kehijauan pepohon mahupun birunya laut, tetapi sebuah jam yang tergantung di dinding. Meskipun ia terletak tinggi, mata saya boleh nampak gerakan jarum minit. Walaupun gerakannya terlalu perlahan, ia cukup menggembirakan hati kerana setiap minit bermakna waktu berbuka semakin hampir.
Apakah yang paling kita ingini ketika berpuasa? Minuman dan makanan. Puasa membuatkan kita lapar dan dahaga. Itulah keperluan fizikal yang paling ingin dipenuhi. Itu jugalah yang membezakan di antara berpuasa atau tidak berpuasa. Bagi kanak-kanak, itulah yang paling mereka rasai.
Bagi kita yang sudah dewasa, selain daripada keperluan fizikal iaitu makanan dan minuman, puasa itu meningkatkan kehendak mental seperti keseronokan bertadarus, berzikir dan bersolat. Dan kehendak spiritual seperti meningkatkan sabar, syukur, tawaduk, reda dan seumpamanya akan memberi kepuasan dalam berpuasa.
Pendek kata, kita mengekang kehendak fizikal iaitu makanan dan minuman untuk meningkatkan ketahanan mental dan spiritual. Dalam kehidupan seharian, kelaparan dan kehausan biasanya akan mengganggu konsentrasi lain-lain aktiviti mental dan spiritual. Tetapi yang ajaibnya, apabila berpuasa, kekuatan mental dan spiritual boleh meningkat.
Puasa adalah sebuah ibadah. Ia mempunyai tempoh mula dan akhirnya; ada waktu bersahur dan berbukanya. Bagaimana agaknya bagi mereka yang berpuasa tanpa tempoh? Lihatlah saudara-saudara kita di Palestin. Bulan Ramadan seolah-olah tiada bezanya dengan bulan-bulan yang lain kerana mereka sentiasa berlapar berbulan-bulan lamanya!
Buat kita, apabila bertanya, ‘hendak makan apa,’ ia bermaksud memilih sesuatu makanan daripada berpuluh-puluh jenis masakan. Namun buat rakyat Palestin, ‘hendak makan apa’ itu benar-benar bermaksud ‘apa yang hendak dimakan?’ kerana tiada apa yang ada untuk dimakan.
Bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan makanan, apa yang ada itu sudah cukup membahagiakan. Untuk sesuap nasi, ada air mata yang mengalir apabila makanan tiada. Untuk anak-anak, kelaparan menjadikan si ibu tidak malu untuk meminta-minta. Sepinggan nasi dikongsi berempat sudah menjadi adat dalam sesebuah keluarga.
Oleh kerana itulah kita perlu menjiwai apa yang dirasakan oleh mereka yang kelaparan melalui puasa. Namun, apabila persiapan puasa itu sendiri mengutamakan pembelian stok makanan, membongkar almari untuk mengeluarkan pinggan-pinggan kaca untuk majlis-majlis iftar ataupun menyelusuri bazaar-bazaar Ramadan untuk mendapatkan juadah yang berbeza pada setiap hari, apalah ertinya puasa jika kelaparan tidak terasa?
Mengapa puasa itu sinonim dengan makanan, sedangkan yang utama bagi berpuasa adalah mengurangkan makanan? Jika yang asas itu gagal kita hayati, bagaimana kita hendak menjamu mental dengan khusyuk dan tawaduk serta jiwa kita dengan santapan rohani?
Walau berapa banyak kita bertaddarus, berzikir, menjalankan ibadah-ibadah sunat tetapi bermewah juga dengan makanan, ada sesuatu yang belum lengkap dalam kita menghayati bulan yang mulia ini. Puasa itu ibadah tahunan yang perlu ada tempat yang sesuai bagi diri kita sendiri.
Baik-baik, berbaik sangka
MAAFCAKAP 6.3.2024
Akhir-akhir ini saya perasan terdapat satu pendirian umum bahawa kita wajib berbaik sangka dalam apa keadaan sekali pun sehingga kita mengenepikan logik akal. Ia akhirnya mengakibatkan kita sendiri tertipu. Kesannya kita malu pada diri dan masyarakat apabila rugi dari segi wang, masa, malah maruah. Bersangka baik menjadikan orang biasa dan orang bijak pandai pun terkena.
Kerana percaya bahawa berbaik sangka itu betul dan bagus tetapi tidak kena tempat, maka ada bekas pegawai bank yang tertipu dengan scammer hingga wang hilang dari akaun bank. Terdapat mereka yang menjadi hamba abdi di negara orang di zaman moden ini kerana berbaik sangka dengan si penipu. Mereka yang alim pun dikelentong oleh mereka yang berserban dan berjubah. Tidak kurang juga mereka yang bijak pandai kena troll dengan orang yang bertali leher dan berkereta besar.
Benar, kita digalakkan berbaik sangka atau husnudzon dan mengelak diri dari berburuk sangka iaitu su’u dzon. Tetapi, jika semua hal hendak ‘dibaiksangkakan,’ maka kita tidak perlu polis yang menahan kereta yang berhenti di tepi semak di malam hari kerana disyaki melakukan jenayah.
Kita tidak perlu pengawal keselamatan yang berjaga di depan pasaraya kerana menganggap kesemua para pengunjung akan membayar apa yang dibeli. Atau, kita tidak perlu pasukan TLDM mengawal samudera kerana negara-negara berdekatan adalah jiran ASEAN.
Bos pula perlu bertanya pekerjanya apabila selalu sangat cuti sakit pada hari Isnin; si gadis perlu bertanya ke mana pergi temannya apabila sentiasa tidak dapat dihubungi. Si ibu pula perlu bertanya di manakah kereta mainan kepada si kecil kerana sebelum ini pernah mencampak keretanya itu ke dalam mesin basuh.
Kesemua contoh-contoh ini menunjukkan bahawa kita perlu waspada dengan mereka di sekeliling kita demi kebaikan dan keselamatan bersama. Jika begitu, apakah berburuk sangka itu baik pula? Tidak. Ayat al-Quran hanya memberi ingatan kepada kita untuk mengelakkan berburuk sangka dengan mencari-cari kesalahan orang lalu fitnah itu dihebahkan pula kepada orang lain.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Al-Hujurat 12)
Tetapi, dalam surah yang sama, ALLAH menggesa kita agar tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat dari mereka yang fasik. Siapakah mereka yang fasik? Pada saya secara umumnya, orang yang fasik adalah seperti kebanyakan daripada kita, yang ada melakukan dosa dan pahala.
Surah Al-Hujurat ayat 6 mengemukakan perintah-NYA: “Wahai orang‐orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Berburuk sangka, mengintip dan mencari-cari kesalahan dan menghebahkan sangkaan tanpa bukti memang larangan dari Al-Quran. Tetapi sebaliknya kita sepatutnya berwaspada agar tidak tertipu. Kerana berbaik sangka secara mutlak, kita taklid dan akhirnya terpedaya. Bagaimana kita hendak menjawab apabila disoal oleh-NYA?
Dalam konteks ini, ayat Al-Quran jelas memerintahkan: “Janganlah engkau mengikuti sesuatu yang tidak engkau ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (QS Al-Isra’: 36)
Kita disarankan untuk tahu apa yang kita ikuti, bukan akur tanpa memahami akibat salah tafsir konsep berbaik sangka itu. Oleh kerana kita berpegang kepada saranan untuk berbaik sangka secara total tanpa usul periksa, kita gagal menjawab soalan-NYA. Sedangkan bukankah Islam itu agama untuk mereka yang berfikir?
“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar: 9)
Terhimpit Hingga Sendat
MAAFCAKAP 28.2,2024
Hujung minggu lalu, saya membuat temujanji dengan seorang rakan di sebuah restoran di Shah Alam. Sambil menantinya, saya sempat berbual dengan tuan punya restoran, Basir namanya. Kedainya bertempat di sebuah pusat niaga dengan pelbagai perniagaan termasuk sebuah mini market. Topik kami berkisar mengenai perniagaannya dan keadaan ekonomi sekarang. Berikut adalah isi perbualan kami yang saya jadikan artikel…
Harga barangan semakin meningkat. Jika kita rajin duduk memerhati di pintu keluar pasaraya-pasaraya, semakin ramai yang muncul dari gedung itu dengan troli yang hanya separuh penuh. Yang ada wang sudah tidak membeli stok untuk sebulan. Apatah lagi, yang tidak cukup duit. Mereka hanya membeli apa yang perlu.
Semakin ramai pula keluarga yang kelihatan makan di luar. Namun, itu bukan bermakna mereka tidak terjejas dengan keadaan ekonomi. Sebaliknya, memasak di rumah kian tidak ekonomik untuk seisi keluarga. Jadi, pada hujung minggu, makan di luar menjadi aktiviti baharu seisi keluarga. Namun, semakin ramai pula yang makan berkongsi hidangan. Walau pun si ayah mengambil ayam, si emak mengambil sotong, di meja mereka bertukar-tukar lauk bersama anak-anak.
Begitu pun, mereka masih bernasib baik bila dapat makan di luar, jika dibandingkan dengan mereka yang kita tidak tahu apakah makanan yang terhidang di meja untuk makan malam. Atau… apakah mereka sekadar berkongsi sebungkus mi segera?
Masih ingat lagi ketika masih kanak-kanak, saya hairan melihat sesetengah ibu-ibu di kampung menyuap bayi mereka dengan teh ‘O’ sebagai ganti susu. Kini saya memahami bahawa itu petanda yang mereka tidak mampu memberi anak mereka susu bayi. Dan, golongan itu kian ramai pada hari ini.
Pada malam hari, bandaraya kelihatan indah dengan lampu-lampu yang berkilau dan menyilau. Kenderaan bertali arus dan jalan-jalannya masih penuh dengan manusia seolah-olah tiada warga kotanya yang pulang untuk tidur. Kelab-kelab malamnya masih berdentam-dentum dengan muzik. Kafe-kafenya tetap dipenuhi manusia yang menekur di telefon sambil menghirup Stumptown Coffee diiringi lagu instrumental mainan piano Mitsuko Uchida.
Di media-media sosial, para netizennya masih bergelek di Tik-tok, mendepangkan tangan untuk merelakan tubuh ditiup angin pantai di Instagram atau menayangkan juadah berbuka puasa sunat Syaaban yang pelbagai di Facebook. Tiada apa-apa yang berubah. Semuanya indah-indah. Cuma kita perasan mereka yang galak berkongsi kegembiraan yang ala-ala mewah itu semakin kurang.
Setiap individu mahu dilihat tergolong dalam satu-satu status samada di kalangan orang sekeliling di pejabat, di kawasan rumah, ketika keramaian di majlis-majlis mahupun bila menayangkan apa yang mereka ada di media sosial. Kesemua kita mahu berpaut dengan status sosial terbaik yang dicapai dan mempertahankannya.
Selagi boleh, kita mahu hidup seperti biasa. Petik susi lampu bernyala, pulas paip air mengalir. Tetapi kita tersentap apabila bil elektrik dan air pun sudah meningkat. Mulalah kita memperlahankan hembusan penghawa dingin tetapi belum serik untuk terus membazir air.
Kita masih makan apa yang kita mahu dan berkunjung ke kedai-kedai popular yang tular. Kita masih membeli-belah tetapi tidak sekerap dahulu. Sementelah pembungkusan home brand semakin cantik, kita mempelbagai belian barangan jenama itu kerana ia jauh lebih murah.
Lama-lama kita mula nampak bahawa selama ini kita membeli kerana terpengaruh dengan jenama dan bukan kerana fungsinya. Kita baharu tahu, ada jenama yang lebih murah tetapi kualitinya sama. Jika selama ini kita pentingkan status, siapa yang peduli tentang status kita kerana orang lain pun sibuk dengan status masing-masing.
Nilai ringgit kian merosot. Kita sudah tidak boleh berbelanja sesuka hati lebih-lebih lagi bila menggunakan kad kredit. Kecuali beberapa pempengaruh yang memberi nasihat bagaimana cara berbelanja, tiada pihak lain yang bertanggungjawab yang tampil secara umum untuk melegakan rasa terhimpit dan tersendat ekonomi kita ini. Akhirnya, kita terpaksa memandaikan diri untuk stretch the ringgit dalam situasi seperti anak ayam yang kehilangan ibu.


