MAAFCAKAP 27.3.2024

Tahun ini Azwar tidak balik kampung untuk menyambut Aidilfitri. Sudah tiga tahun pemuda bujang ini tidak pulang. Kesibukan menjadi alasannya. Sebagai seorang Eksekutif Pengiklanan di sebuah syarikat pemasaran, dia kata, dia sibuk. Lebih-lebih lagi bila banyak tugasan yang dia peroleh datang dari luar negara. Katanya, kerjanya bertimbun-timbun.

Menurutnya, banyak masanya ‘terbuang’ apabila pulang ke kampung. Selain dari perjalanan jauh yang boleh memakan masa melebihi 12 jam untuk pulang ke Pantai Timur, dia akan terikat dengan aturcara kunjungan seisi keluarga. Kata Azwar, sekurang-kurangnya dua hari akan diperuntukkan untuk beraya termasuk berkenderaan berpuluh kilometer ke rumah sanak saudara.

Tentu dia tidak akan punyai masa untuk menyudahkan kerja-kerjanya yang banyak. Menurutnya capaian internet di daerahnya tidak bagus. Ini akan melambatkan kerja. Justeru, lebih baik tidak pulang. Cukuplah dia sekadar menziarah sanak saudara dengan aplikasi Zoom sahaja dari bilik tidurnya!

Bagi mereka di sektor keselamatan, penguatkuasaan mahu pun kesihatan yang memang tidak diberi cuti oleh majikan, ia merupakan kewajipan. Mereka akan dapat juga bercuti selepas itu untuk pulang berhari raya. Tetapi, terdapat ramai yang lain memberi alasan tidak boleh bercuti kerana ketiadaan masa.

Alasan ketiadaan masa itu sebenarnya berpunca dari kelemahan seseorang untuk mengurus masa dan membuat keputusan. Ini juga berkait langsung dengan kemahiran seseorang menyusun prioriti. Ini terjadi kepada mereka yang tenggelam dalam dunia bekerja. Mereka berasakan bahawa tiada yang lebih penting di dunia ini melainkan dengan menyudahkan kerja.

Semua orang mempunyai 24 jam dalam sehari. Tiada manusia yang mempunyai masa yang lebih atau kurang daripada itu. Semua orang mempunyai tugasan dan komitmen yang menjadi tanggungjawab. Jika difikir dan disusun, ada sahaja cara untuk menangani tugasan samada menyudahkan ia lebih awal atau menangguhkan ia ke lain waktu. Menyudahkan sesebuah tugasan dengan lebih awal bermakna kita mengenepikan apa yang sedang dilakukan sekarang untuk memberi ruang kepada tugasan yang perlu segera dibereskan.

Jika ia melibatkan penangguhan menyudahkan sesebuah tugasan yang berkait dengan pihak lain, berundinglah untuk mendapat kompromi masa menyiapkannya. Biasanya tugasan-tugasan untuk projek yang besar sudah dirangka berbulan lamanya. Tugasan yang begini memang tidak boleh ditangguh tetapi boleh dirancang masanya.

Justeru, ia bukannya soal ada atau tiada masanya tetapi bagaimanakah kita menyusun prioriti atau keutamaan kerja. Kegagalan menyusun keutamaan kerja mengakibatkan seseorang menghabiskan masanya untuk membuat apa yang dia suka dan mudah disiapkan, bukannya apa yang patut dia sudahkan.

Sekiranya kita gagal dalam menyusun keutamaan kerja, kita akan berasa lemas dengan tugasan dan sentiasa berasa sibuk. Ini akan mengakibatkan stres, gagal menepati deadline yang akhirnya akan menimbulkan rasa kecewa dan kepenatan mental yang tidak berkesudahan.

Ada banyak teknik dan strategi dalam menggariskan prioriti yang boleh sahaja diselusuri di internet. Ia merupakan jawapan kepada masalah kita dalam menyusun prioriti. Apa yang perlu difahami ialah prinsip-prinsip membuat keputusan itu.

Tidak perlu menghafal dan meniru bulat-bulat ilmu yang dibaca kerana kita bukannya akan menghadapi peperiksaan. Yang penting kita mendapat sedikit idea, konsep dan yang paling penting mendapat motivasi bahawa ada jalan untuk menyelesaikan masalah prioriti yang kita sedang hadapi itu.

Kita bukannya tiada masa untuk sesuatu tetapi kita yang tidak meletakkan keutamaan bagi sesuatu hal. Apa sahaja yang menjadi keutamaan, maka ada sahaja masa yang boleh kita peruntukkan untuk menyudahkannya.

Sebagai contoh, kita sedang melakukan sesuatu yang penting dan mustahak yang menjadi keutamaan sekarang. Tiba-tiba perut kita memulas.  Berlari ke tandas menjadi keutamaan nombor satu dan kita telah memberi masa untuk keperluan itu. Tugas mustahak yang sedang kita lakukan itu secara automatik menjadi keutamaan yang kedua!

Justeru itu, berpada-padalah dalam menangani kerja. Kerja adalah alat untuk kita mencapai hasrat dalam kehidupan. Kehidupan kita bermakna juga kehidupan mereka yang disayangi dalam hidup ini, bukan untuk diri sendiri semata-mata. Jangan kata kita ini sibuk tetapi sebenarnya hanya menyibuk!