MAAFCAKAP 28.2,2024
Hujung minggu lalu, saya membuat temujanji dengan seorang rakan di sebuah restoran di Shah Alam. Sambil menantinya, saya sempat berbual dengan tuan punya restoran, Basir namanya. Kedainya bertempat di sebuah pusat niaga dengan pelbagai perniagaan termasuk sebuah mini market. Topik kami berkisar mengenai perniagaannya dan keadaan ekonomi sekarang. Berikut adalah isi perbualan kami yang saya jadikan artikel…
Harga barangan semakin meningkat. Jika kita rajin duduk memerhati di pintu keluar pasaraya-pasaraya, semakin ramai yang muncul dari gedung itu dengan troli yang hanya separuh penuh. Yang ada wang sudah tidak membeli stok untuk sebulan. Apatah lagi, yang tidak cukup duit. Mereka hanya membeli apa yang perlu.
Semakin ramai pula keluarga yang kelihatan makan di luar. Namun, itu bukan bermakna mereka tidak terjejas dengan keadaan ekonomi. Sebaliknya, memasak di rumah kian tidak ekonomik untuk seisi keluarga. Jadi, pada hujung minggu, makan di luar menjadi aktiviti baharu seisi keluarga. Namun, semakin ramai pula yang makan berkongsi hidangan. Walau pun si ayah mengambil ayam, si emak mengambil sotong, di meja mereka bertukar-tukar lauk bersama anak-anak.
Begitu pun, mereka masih bernasib baik bila dapat makan di luar, jika dibandingkan dengan mereka yang kita tidak tahu apakah makanan yang terhidang di meja untuk makan malam. Atau… apakah mereka sekadar berkongsi sebungkus mi segera?
Masih ingat lagi ketika masih kanak-kanak, saya hairan melihat sesetengah ibu-ibu di kampung menyuap bayi mereka dengan teh ‘O’ sebagai ganti susu. Kini saya memahami bahawa itu petanda yang mereka tidak mampu memberi anak mereka susu bayi. Dan, golongan itu kian ramai pada hari ini.
Pada malam hari, bandaraya kelihatan indah dengan lampu-lampu yang berkilau dan menyilau. Kenderaan bertali arus dan jalan-jalannya masih penuh dengan manusia seolah-olah tiada warga kotanya yang pulang untuk tidur. Kelab-kelab malamnya masih berdentam-dentum dengan muzik. Kafe-kafenya tetap dipenuhi manusia yang menekur di telefon sambil menghirup Stumptown Coffee diiringi lagu instrumental mainan piano Mitsuko Uchida.
Di media-media sosial, para netizennya masih bergelek di Tik-tok, mendepangkan tangan untuk merelakan tubuh ditiup angin pantai di Instagram atau menayangkan juadah berbuka puasa sunat Syaaban yang pelbagai di Facebook. Tiada apa-apa yang berubah. Semuanya indah-indah. Cuma kita perasan mereka yang galak berkongsi kegembiraan yang ala-ala mewah itu semakin kurang.
Setiap individu mahu dilihat tergolong dalam satu-satu status samada di kalangan orang sekeliling di pejabat, di kawasan rumah, ketika keramaian di majlis-majlis mahupun bila menayangkan apa yang mereka ada di media sosial. Kesemua kita mahu berpaut dengan status sosial terbaik yang dicapai dan mempertahankannya.
Selagi boleh, kita mahu hidup seperti biasa. Petik susi lampu bernyala, pulas paip air mengalir. Tetapi kita tersentap apabila bil elektrik dan air pun sudah meningkat. Mulalah kita memperlahankan hembusan penghawa dingin tetapi belum serik untuk terus membazir air.
Kita masih makan apa yang kita mahu dan berkunjung ke kedai-kedai popular yang tular. Kita masih membeli-belah tetapi tidak sekerap dahulu. Sementelah pembungkusan home brand semakin cantik, kita mempelbagai belian barangan jenama itu kerana ia jauh lebih murah.
Lama-lama kita mula nampak bahawa selama ini kita membeli kerana terpengaruh dengan jenama dan bukan kerana fungsinya. Kita baharu tahu, ada jenama yang lebih murah tetapi kualitinya sama. Jika selama ini kita pentingkan status, siapa yang peduli tentang status kita kerana orang lain pun sibuk dengan status masing-masing.
Nilai ringgit kian merosot. Kita sudah tidak boleh berbelanja sesuka hati lebih-lebih lagi bila menggunakan kad kredit. Kecuali beberapa pempengaruh yang memberi nasihat bagaimana cara berbelanja, tiada pihak lain yang bertanggungjawab yang tampil secara umum untuk melegakan rasa terhimpit dan tersendat ekonomi kita ini. Akhirnya, kita terpaksa memandaikan diri untuk stretch the ringgit dalam situasi seperti anak ayam yang kehilangan ibu.