MAAFCAKAP 20.3.2024

Ketenangan umat Islam di Malaysia mengerjakan ibadah puasa terkocak bila seorang netizen memaparkan imej stoking yang tertulis kalimah ALLAH yang terjual di sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart yang terletak di Bandar Sunway.

Isu itu segera menular di media sosial dan pihak KK Mart telah mengadakan sidang akhbar. Pada sidang itu,  Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai menzahirkan keresahannya. “Saya sendiri tidak boleh terima penjualan stoking yang terdapat kalimah Allah. Saya begitu menyesal dan memohon maaf atas perkara yang berlaku.”

Turut hadir bersamanya ialah Soh Chin Huat, Pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd. Sambil menjelaskan bahawa stoking itu diimport dari China, beliau mengaku silap kerana tidak melakukan pemeriksaan teliti hingga menyebabkan stoking berkenaan dijual di KK Mart.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam reaksinya menjelaskan bahawa mereka akan meneruskan kempen boikot KK Super Mart. Beliau menggesa syarikat itu memasang kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu sebagai tanda bahawa mereka benar-benar memohon maaf.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin menegaskan, kalimah Allah merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat mengguris hati umat Islam.

Sementara itu, peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Dr Noorfajri Ismail mencadangkan, “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu pinda undang-undangnya. Tahan pemilik dan nyah senarai syarikat yang jelas menyentuh isu 3R.

Pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan penjualan stoking yang mengandungi kalimah ALLAH  adalah satu penghinaan yang sukar untuk dimaafkan.

Sidang akhbar dan juga laporan kepada pihak berwajib oleh pengurusan KK Mart tidak sama sekali akan menghentikan pihak yang bertanggungjawab meneruskan siasatan. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri sedang melakukan semakan terperinci bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pula berkata, setakat ini sebanyak 42 laporan polis diterima di seluruh negara.  “Ia masih di peringkat siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Apabila isu ini menjadi perhatian netizen, ia sukar sekali hilang dari radar. Netizen Malaysia mempunyai persefahaman yang kukuh. Boikot menjadi senjata yang paling jitu dan ampuh. Tindakan netizen memboikot kedai makanan segera McDonald’s, KFC dan Starbucks telah menggigit keuntungan syarikat-syarikat itu.

Dan kini, apabila isu stoking yang tertera nama ALLAH menjadi isu, ia dijangka akan memberi impak yang segera dan parah. Isu Palestin dan Israel yang dilihat sebagai isu agama pun memberi kesan, inikan pula isu kalimah ALLAH itu melibatkan nama yang menjadi zikir harian umat Islam.

Walau apa pun, umat Islam Malaysia semakin nampak impak bertindak secara sepakat dalam isu-isu kepenggunaan melalui cara boikot. Di sebalik ratusan yang memberi pelbagai komen di pelbagai media sosial, terdapat ribuan lagi pembaca senyap yang akur untuk terus bertindak.

Mereka boleh memboikot mana-mana syarikat kerana mempunyai premis-premis pilihan lain untuk berbelanja. Demi memperjuangkan maruah, tindakan mereka itu wajar. Malah, ramai umat Islam di Malaysia yang tidak tahu, tindakan boikot itu sendiri adalah reaksi umat Islam di Madinah dalam memerangi penipuan, riba dan ketidakadilan pasar Yahudi. Enam bulan mereka memboikot pasar Yahudi, pasar itu tutup bila umat Islam beramai-ramai memindahkan belanja di pasar Islam Madinah.

Berbalik pada isu stoking kalimah ALLAH ini, barangkali komen Ustaz Azhar Idrus perlu kita fikirkan. Menurutnya, kita tidak boleh memaaf atau menghalalkan kerana kita tiada hak mewakili ALLAH. Oleh kerana isu ini berhubung langsung dengan ALLAH, hanya ALLAH sahaja yang boleh mengampunkan. Kita sebaliknya hanya boleh bertindak untuk memberi pengajaran.