MAAFCAKAP 13.3.2024
Ramadan di zaman kanak-kanak memang tidak dapat saya lupakan. Bersahur sambil mata terpejam kerana mengantuk adalah perangai yang lumrah. Mata akan terbeliak bila abang menyergah. Dia akan terkekek ketawa melihat saya tersentak. Saya pula akan menangis. Hingar seketika ruang makan bila suara tawa abang dan tangisan saya berselang-seli. Hanya bebelan emak akan menghentikan keriuhan.
Jika saya tidak berpuasa, saya tahu tempat berbuka saya diasingkan jauh di lantai. Ketika emak, abang dan ayah mengunyah juadah berbuka, saya diberi dua butir cekodok. Apabila mereka sudah selesai makan, baharulah saya boleh mengendeng ke meja. Situasi itu membuatkan saya berazam hendak berpuasa pada esok hari.
Di waktu sekolah, kes saya dan kawan-kawan terminum air paip memang kerap berlaku. Samada terlupa atau buat-buat lupa pun saya dah lupa. Tetapi yang paling diingat ialah cuaca panas dan kering tekak apabila menapak pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, tidur adalah peluang untuk mempercepatkan masa. Manakan tidak, bila terjaga hari sudah senja.
Pemandangan yang paling indah di kala itu bukannya kehijauan pepohon mahupun birunya laut, tetapi sebuah jam yang tergantung di dinding. Meskipun ia terletak tinggi, mata saya boleh nampak gerakan jarum minit. Walaupun gerakannya terlalu perlahan, ia cukup menggembirakan hati kerana setiap minit bermakna waktu berbuka semakin hampir.
Apakah yang paling kita ingini ketika berpuasa? Minuman dan makanan. Puasa membuatkan kita lapar dan dahaga. Itulah keperluan fizikal yang paling ingin dipenuhi. Itu jugalah yang membezakan di antara berpuasa atau tidak berpuasa. Bagi kanak-kanak, itulah yang paling mereka rasai.
Bagi kita yang sudah dewasa, selain daripada keperluan fizikal iaitu makanan dan minuman, puasa itu meningkatkan kehendak mental seperti keseronokan bertadarus, berzikir dan bersolat. Dan kehendak spiritual seperti meningkatkan sabar, syukur, tawaduk, reda dan seumpamanya akan memberi kepuasan dalam berpuasa.
Pendek kata, kita mengekang kehendak fizikal iaitu makanan dan minuman untuk meningkatkan ketahanan mental dan spiritual. Dalam kehidupan seharian, kelaparan dan kehausan biasanya akan mengganggu konsentrasi lain-lain aktiviti mental dan spiritual. Tetapi yang ajaibnya, apabila berpuasa, kekuatan mental dan spiritual boleh meningkat.
Puasa adalah sebuah ibadah. Ia mempunyai tempoh mula dan akhirnya; ada waktu bersahur dan berbukanya. Bagaimana agaknya bagi mereka yang berpuasa tanpa tempoh? Lihatlah saudara-saudara kita di Palestin. Bulan Ramadan seolah-olah tiada bezanya dengan bulan-bulan yang lain kerana mereka sentiasa berlapar berbulan-bulan lamanya!
Buat kita, apabila bertanya, ‘hendak makan apa,’ ia bermaksud memilih sesuatu makanan daripada berpuluh-puluh jenis masakan. Namun buat rakyat Palestin, ‘hendak makan apa’ itu benar-benar bermaksud ‘apa yang hendak dimakan?’ kerana tiada apa yang ada untuk dimakan.
Bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan makanan, apa yang ada itu sudah cukup membahagiakan. Untuk sesuap nasi, ada air mata yang mengalir apabila makanan tiada. Untuk anak-anak, kelaparan menjadikan si ibu tidak malu untuk meminta-minta. Sepinggan nasi dikongsi berempat sudah menjadi adat dalam sesebuah keluarga.
Oleh kerana itulah kita perlu menjiwai apa yang dirasakan oleh mereka yang kelaparan melalui puasa. Namun, apabila persiapan puasa itu sendiri mengutamakan pembelian stok makanan, membongkar almari untuk mengeluarkan pinggan-pinggan kaca untuk majlis-majlis iftar ataupun menyelusuri bazaar-bazaar Ramadan untuk mendapatkan juadah yang berbeza pada setiap hari, apalah ertinya puasa jika kelaparan tidak terasa?
Mengapa puasa itu sinonim dengan makanan, sedangkan yang utama bagi berpuasa adalah mengurangkan makanan? Jika yang asas itu gagal kita hayati, bagaimana kita hendak menjamu mental dengan khusyuk dan tawaduk serta jiwa kita dengan santapan rohani?
Walau berapa banyak kita bertaddarus, berzikir, menjalankan ibadah-ibadah sunat tetapi bermewah juga dengan makanan, ada sesuatu yang belum lengkap dalam kita menghayati bulan yang mulia ini. Puasa itu ibadah tahunan yang perlu ada tempat yang sesuai bagi diri kita sendiri.