MAAFCAKAP 6.3.2024
Akhir-akhir ini saya perasan terdapat satu pendirian umum bahawa kita wajib berbaik sangka dalam apa keadaan sekali pun sehingga kita mengenepikan logik akal. Ia akhirnya mengakibatkan kita sendiri tertipu. Kesannya kita malu pada diri dan masyarakat apabila rugi dari segi wang, masa, malah maruah. Bersangka baik menjadikan orang biasa dan orang bijak pandai pun terkena.
Kerana percaya bahawa berbaik sangka itu betul dan bagus tetapi tidak kena tempat, maka ada bekas pegawai bank yang tertipu dengan scammer hingga wang hilang dari akaun bank. Terdapat mereka yang menjadi hamba abdi di negara orang di zaman moden ini kerana berbaik sangka dengan si penipu. Mereka yang alim pun dikelentong oleh mereka yang berserban dan berjubah. Tidak kurang juga mereka yang bijak pandai kena troll dengan orang yang bertali leher dan berkereta besar.
Benar, kita digalakkan berbaik sangka atau husnudzon dan mengelak diri dari berburuk sangka iaitu su’u dzon. Tetapi, jika semua hal hendak ‘dibaiksangkakan,’ maka kita tidak perlu polis yang menahan kereta yang berhenti di tepi semak di malam hari kerana disyaki melakukan jenayah.
Kita tidak perlu pengawal keselamatan yang berjaga di depan pasaraya kerana menganggap kesemua para pengunjung akan membayar apa yang dibeli. Atau, kita tidak perlu pasukan TLDM mengawal samudera kerana negara-negara berdekatan adalah jiran ASEAN.
Bos pula perlu bertanya pekerjanya apabila selalu sangat cuti sakit pada hari Isnin; si gadis perlu bertanya ke mana pergi temannya apabila sentiasa tidak dapat dihubungi. Si ibu pula perlu bertanya di manakah kereta mainan kepada si kecil kerana sebelum ini pernah mencampak keretanya itu ke dalam mesin basuh.
Kesemua contoh-contoh ini menunjukkan bahawa kita perlu waspada dengan mereka di sekeliling kita demi kebaikan dan keselamatan bersama. Jika begitu, apakah berburuk sangka itu baik pula? Tidak. Ayat al-Quran hanya memberi ingatan kepada kita untuk mengelakkan berburuk sangka dengan mencari-cari kesalahan orang lalu fitnah itu dihebahkan pula kepada orang lain.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Al-Hujurat 12)
Tetapi, dalam surah yang sama, ALLAH menggesa kita agar tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat dari mereka yang fasik. Siapakah mereka yang fasik? Pada saya secara umumnya, orang yang fasik adalah seperti kebanyakan daripada kita, yang ada melakukan dosa dan pahala.
Surah Al-Hujurat ayat 6 mengemukakan perintah-NYA: “Wahai orang‐orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Berburuk sangka, mengintip dan mencari-cari kesalahan dan menghebahkan sangkaan tanpa bukti memang larangan dari Al-Quran. Tetapi sebaliknya kita sepatutnya berwaspada agar tidak tertipu. Kerana berbaik sangka secara mutlak, kita taklid dan akhirnya terpedaya. Bagaimana kita hendak menjawab apabila disoal oleh-NYA?
Dalam konteks ini, ayat Al-Quran jelas memerintahkan: “Janganlah engkau mengikuti sesuatu yang tidak engkau ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (QS Al-Isra’: 36)
Kita disarankan untuk tahu apa yang kita ikuti, bukan akur tanpa memahami akibat salah tafsir konsep berbaik sangka itu. Oleh kerana kita berpegang kepada saranan untuk berbaik sangka secara total tanpa usul periksa, kita gagal menjawab soalan-NYA. Sedangkan bukankah Islam itu agama untuk mereka yang berfikir?
“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar: 9)