BLOG

Norma Baru Dalam Persahabatan

Norma Baru Dalam Persahabatan

Dari semasa ke semasa kita akan berjumpa kembali dengan mereka yang pernah bersama kita samada sebagai bekas rakan sekerja, bekas bos dan bekas jiran. Namun kita jarang sekali menganggap kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sebagai ‘bekas.’ Barangkali kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sudah kita anggap setaraf sebagai saudara. Tidak ada istilah ‘bekas’ buat mereka. Perhubungannya kekal sampai akhir usia.

Baru-baru ini Facebook memberitahu saya mengenai ulangtahun kelahiran anak sahabat saya, Ramlee Awang Murshid. Aideen Cool saya kenali sejak dia belum sekolah yang boleh ketawa dan menangis pada bila-bila masa. Aideen atau Aizuddin membesar di depan mata. Saya lihat dia membesar dari seorang kanak-kanak yang bertubuh bulat dan nakal kepada seorang pemuda yang bertubuh tegap dan tinggi ~ tinggi daripada bapanya Ramlee dan ibunya Dayang Aminah.

Sambil saya menghantar mesej dan poster di laman Facebooknya mengucapkan selamat menyambut ulangtahun kelahiran, saya teringat bapanya Ramlee Awang Murshid. Ramlee adalah sahabat saya sejak 24 tahun yang lalu. Oleh kerana kami sama-sama penulis, kami biasa berbual dan berbincang di mana-mana restoran, bila berkesempatan mahupun melalui telefon.

Kerana kesibukan masing-masing, komunikasi kami terhenti.. Akhirnya saya terlupa langsung menghubunginya. Hari ulangtahun kelahiran Aizuddin mengingatkan saya kembali untuk menghubungi Ramlee, biarpun sekadar berbalas mesej.

Baru-baru ini, mesej ucap selamat saya kepadanya dibalas oleh isterinya dengan sebuah berita mengatakan yang Ramlee tidak sihat dan telah dimasukkan ke ICU. ICU? ‘Ini bukan kes sakit biasa,’ kata hati saya. Saya jadi risau dan mula berasa terkilan kerana tidak mengubunginya begitu lama. Panggilan saya tidak berbalas dan akhirnya saya hanya menunggu mesej darinya.

Alhamdulilah, saya mendapat khabar dari temannya yang dia semakin pulih dan akan keluar dari hospital. Saya berasa gembira. Tidak pernah saya gembira mendapat berita apabila seseorang itu pulih dari sakit. Biasanya saya akan sebut ‘alhamdulilah’ di dalam hati sahaja. Tetapi kali ini saya berasa berlainan sekali.

Barangkali kerana dalam sebulan dua ini saya menerima berita sedih mengenai kehilangan mereka yang dekat dengan saya, maka saya jadi prihatin apabila mendapat berita tentang kesakitan sesiapa sahaja.

Ya, dalam hidup ini kita akan mengumpul kawan dan sahabat di mana-mana sejak di bangku sekolah, di asrama, kolej, kuliah, tempat kerja, kawasan perumahan, jiran dan juga saudara-mara yang dekat dan jauh. Semakin kita meningkat usia, semua kenalan kita akan pergi seorang demi seorang. Dan mereka bukannya pergi dengan berita keuzuran, malah ada yang pergi tanpa amaran. Covid-19 mempercepatkan pemergian ini hingga kita tertanya bilakah giliran kita.

Kerana itu, inilah masanya buat kita menggali nama-nama saudara-mara, sahabat dan rakan di telefon masing-masing. Inilah waktunya kita menyelusuri nama-nama kawan kita yang sudah lama tidak melintas di laman sosial kita. Hubungilah mereka, segarkan kembali persahabatan dan semasakan perhubungan.

Sekarang bukan lagi masa mencari berita dan kisah mereka yang tak ada kena mengena dengan kiraan tolak, campur, bahagi dan darab kita di Mahsyar esok. Apatah lagi bercerita dan bergelumang dengan gosip dan mengata mereka yang tiada berkaitan dengan kita.

Sekarang adalah masa kita untuk menyampaikan berita gembira kepada mereka yang mengenali kita. Barangkali ia memberi senyuman akhir kepada seorang kenalan. Barangkali juga ia adalah hadiah senyuman akhir kita kepada semua orang yang mengenali kita. Inilah norma baharu yang harus menjadi SOP kita di hari-hari dan waktu-waktu yang tidak menentu ini.

Saya dan Ramlee Awang Murshid Memang Kaki Wayang

Saya dan Ramlee Awang Murshid Memang Kaki Wayang

Tribute Buat Seorang Sahabat

Apa yang membuatkan saya tertarik untuk menerbitkan novel TOMBIRUOnya ialah kerana ‘cinema of the mind’ atau kemahiran Ramlee menjadikan ayat-ayatnya menimbulkan gambar. 


Penceritaannya yang begitu detail seperti menonton wayang itulah yang menyebabkan saya berani untuk menerbitkan novelnya itu. 


Tidak lama mengenalinya, memang saya dapati Ramlee juga seorang yang suka menonton wayang. 


Saya sekepala dengan Ramlee kerana aktiviti menonton bukan sahaja untuk merehatkan minda malah ia adalah katalis untuk berkarya.


Kami suka menonton filem aksi dan thriller. Yang peliknya, walaupun kami suka menonton wayang, kami hanya pernah menonton bersama sekali sahaja iaitu di Kota Kinabalu, Sabah. 


Seingat saya pada tahun 2005, begitu. Ketika itu kami berkolaborasi untuk mempromosi novel-novelnya di Sabah.


Memang masa itu ada tayangan filem aksi, Taken, lakonan Liam Neeson di pawagam GSC di Center Point. Yang bestnya kami menonton satu filem lain sebelum itu. Jadi kami menonton back-to-back. 


Memang kerap kami bertukar-tukar cerita mengenai filem. Jika saya sudah menonton sesebuah filem menarik, saya akan rekomen Ramlee untuk menontonnya dan bergitulah sebaliknya.


Kerana persefahaman itu, bila Tombiruo ingin diangkat menjadi filem, Ramlee mempelawa saya menjadi salah seorang team pra-produksinya. 


*Foto lama tatkala saya menghadiri sebuah program sastera di Studio Angkasapuri, RTM di mana Ramlee menjadi pengendali rancangan.

Bagaimana Menggunakan Pacing?

Bagaimana Menggunakan Pacing?

Seperti yang dinyatakan dalam nota sebelum ini, ‘pacing’ (sebutan dalam bahasa Melayu; pesing) adalah istilah Inggeris yang bermaksud kadar kelajuan. Dalam konteks ini ia adalah kadar kelajuan membaca. ‘Pacing’ yang sesuai adalah di antara faktor yang mampu  menarik hati pembaca hingga tidak mahu menutup buku yang ditatapnya.

Pacing menentukan perjalanan pernafasan kita tatkala membaca. Samada kita membaca secara kuat mahupun di dalam hati, pacing amat memainkan peranan. Terdapat dua bentuk pacing iaitu slow-pacing dan fast pacing. 

Fast pacing mempercepat bacaan. Sebaliknya, slow pacing itu memperlahankan bacaan. Apakah peranan slow dan fast pacing ini? Slow pacing menjadikan bacaan begitu releks. Fast pacing pula membuat pembacaan kita menjadi cepat. Bila kita hendak guna fast atau slow pacing ini?

‘Slow pacing’ digunakan dalam naratif. Biasanya pada permulaan bab, kita akan membuat ‘opening scene’ atau adegan pembuka yang menceritakan suasana sesebuah lokasi. Ayat-ayat panjang melahirkan ‘slow pacing.’ Pembaca akan releks bila kita gunakan ayat-ayat yang panjang. Tatkala membaca ayat-ayat sebegitu, pembaca akan  bernafas dengan perlahan. Ia menghasilkan ‘slow pacing.’ 

Contoh slow pacing: 

Angin dingin menyapu wajahnya sebaik sahaja dia menghampiri pantai. Sambil menjinjing seliparnya, dia mengatur langkah perlahan-lahan kerana ingin merasa sentuhan pasir halus di tapak kakinya. Bunyi ombak yang menyapu pantai kedengaran mendesah dan begitu mendamaikan. Pandangannya dilontar ke laut lepas merenung sang mentari yang mula berlabuh di horizon. Dia mendongak ke langit senja untuk mencari bintang-bintang yang muncul satu persatu di balik awan. Sekawan burung layang-layang terbang melintas jauh menuju ke perbukitan untuk pulang ke sarang. 

Fast pacing pula bagus digunakan untuk menggambarkan keadaan cemas, suspens dan ngeri. Ayat-ayat pendek akan menimbulkan fast pacing. Ia bertingkah, ringkas dan meningkatkan rasa cemas dan kesegeraan. Mood negatif dan konflik boleh menggunakan teknik fast pacing ini.

Contoh fast pacing: 

Kenapa dia macam tu? Janji tinggal janji. Tapi, betul ke dia berjanji? Atau dia hanya pura-pura? Kalau aku tahu, dari dahulu lagi aku tak akan terima dia. Hendak jadi pengganti, konon! Tapi, salah aku juga. Kenapa aku terima dia? Kenapa aku percaya pada kata-kata? Sekarang aku yang pedih. Ngilunya dah menjalar sampai ke hulu hati. Rasa sakit setengah mati!

Apakah perbezaan yang ketara pada slow dan fast pacing? Slow pacing dibina dengan menggunakan ayat-ayat yang panjang. Fast pacing pula menggunakan ayat-ayat yang pendek. Apabila kita membaca ayat-ayat yang panjang, dengan sendirinya kita menjaga pernafasan agar tidak semput. Dengan itu, kita membaca secara perlahan-lahan. Berbeza dengan fast pacing; oleh kerana ayat-ayatnya pendek, kita membacanya dengan cepat.  Sebab itulah, slow pacing itu merehatkan dan fast pacing itu menimbulkan rasa stres. 

Ayat-ayat yang panjang dan pendek perlu diadun dengan seimbang. Kadangkala ‘fast pacing’, ada ketikanya slow pacing. Terlalu banyak fast pacing akan membuatkan pembaca penat membaca. Sebaliknya terlalu banyak slow pacing akan membuat pembaca mengantuk dan zzzzz..

Kita Sahaja Yang Boleh Merdekakan Diri

Kita Sahaja Yang Boleh Merdekakan Diri

MAAFCAKAP 1.9.2021

Semalam kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Seandainya Malaysia ini adalah manusia, dia sudah menjadi warga tua. Daya tahan tubuhnya sudah mula merosot, matanya dah kabur, telinganya sedikit tuli, pinggangnya sakit-sakit, ototnya dah lemah dan kulitnya mula berkedut. 

Dia perlu banyak rehat dengan tidur yang cukup. Untuk menyihatkan tubuhnya, dia perlu kurangkan gula dan garam. Sebaliknya dia perlu banyak menyuap makanan tambahan seperti vitamin, madu, habbatussauda, glucosamine, segala macam herba, melebihkan sayur dan meneguk air mineral.

Namun, Malaysia ini adalah sebuah negara, bukannya manusia. Oleh itu, dari sudut tempoh kemerdekaan, usianya masih lagi muda. Negara Amerika misalnya telah merdeka sejak 1776 (sudah 244 tahun) dan Perancis sejak 1789 (sudah 211 tahun). Tetapi jika dibanding dengan negara-negara dahulu, usia Malaysia seperti bayi! Mesir dari segi kewujudannya telah ada sejak 8,000 tahun lalu. Begitu juga negara China dan Rom yang telah wujud 6,000 tahun yang lalu. 

Tetapi malangnya, meskipun Malaysia berusia 64 tahun, potensi kebijaksanaan dan kematangan yang pernah ditayangkannya kepada dunia sudah pudar. Dahulu, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang dihormati. Kita terkenal sebagai negara yang dipercayai untuk menjaga keamanan negara-negara yang berkonflik. Kita pernah menghantar tentera pengaman di negara-negara yang antaranya Congo, Mindanao, Somalia, Bosnia dan Palestin.

Di sudut sosio-ekonomi, kita mencetuskan idea ASEAN dengan zon aman, bebas dan berkecuali. Kita menganjurkan mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM), mesyuarat Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) dan sidang negara-negara berkecuali (NAM). Dari segi sukan, kita diberi kepercayaan menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Sebagai sebuah negara yang baharu merdeka pada 1957, kita mula menyusun program-program pembangunan 5 tahun negara melalui Rancangan Malaysia. RMK pertama dilancarkan dari tahun 1966-1970. Setelah melebihi 60 tahun usianya, kita masih lagi melaksanakan RMK yang kini RMK ke-12 untuk jangka masa 2020-2025.

Berikutan dengan tragedi 13 Mei 1969, yang puncanya berkait dengan keseimbangan ekonomi, Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk mentadbir negara ketika itu telah menyarankan Dasar Ekonomi Baru. Program 20 tahun dari 1971-1990 ini mempunyai dua matlamat iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat.

Kemudian, kita ada program gergasi yang kedua iaitu Wawasan 2020, sebuah program 30 tahun yang dilancarkan pada tahun 1991-2020. Kini kita sedang mengharungi program Transformasi Nasional, sebuah program 30 tahun juga dari 2020-2050.

Soalnya sekarang, berapa kerat rakyat kita tahu kita sedang menjalani program RMK-12 dan juga Transformasi Nasional? Ramai yang ingat-ingat lupa. Malah ramai yang sudah pun terlupa. Puncanya kerana para pemimpin kita sendiri sudah tidak berpandangan jauh. Pandangan mereka tidak lagi sejauh 20-30 tahun mendatang. Sebaliknya hanya setahun-dua mendatang bilamana PRU-15 akan berlangsung! 

Ditambah pula dengan pandemik Covid-19, kita sudah terbiasa untuk tidak melihat jauh ke hadapan, sebaliknya dari hari ke hari bilamana kebimbangan masa depan kita hanya berdasarkan angka jangkitan Covid-19 hari ini. Seolah-olah masa depan kita adalah keesokan hari. Paling jauh kita berfikir tentang masa depan ialah dua minggu akan datang bila mana kita tertanya-tanya, apakah kita akan memasuki fasa baharu dalam Pelan Pemulihan Negara?

Sempena Hari Kemerdekaan ini marilah kita sama-sama berfikiran lebih jauh, sekurang-kurangnya setahun mendatang. Berpandangan jauh itu memberikan kita mood untuk berfikiran positif untuk mencarta pelan masa hadapan. Sekurang-kurangnya bila kita merancang, kita dapat merangka pelan untuk mengalih atau mengurangkan halangan.

Bila kita ada rancangan, kita akan fokus kepada sasaran yang dirangka. Bila kita fokus, dengan sendirinya kita akan ketepikan apa jua yang tidak ada kena mengena dengan matlamat. Jika setiap rakyat ambil peduli tentang masa depan masing-masing, kita akhirnya akan memerdekakan diri daripada apa jua belenggu yang merantai mental dan spiritual yang orang lain paksakan ke atas kita.

Novel-Novel ARC Jadi Kegilaan

Novel-Novel ARC Jadi Kegilaan

WSJ Magazine . Sophie Haigney . 18 Ogos 2021

Terdapat satu jenis kegilaan para peminat buku. Selain dari mendapatkan buku-buku baharu terbit, buku-buku pre-love dengan harga yang tinggi, kini mereka beralih pula mendapatkan buku-buku pra-edit tulisan novelis-novelie terkenal.

Naskhah-naskhah ARC (advance reader copy) adalah naskhah yang dicetak sedikit untuk tujuan penyuntingan. Ia diedarkan oleh penerbit kepada penulis, pengulas, kedai-kedai buku dan selebriti sebelum diterbitkan secara massa.

Naskhah-naskhah itu kini diburu dan dibeli dengan harga yang tinggi. Karya ARC The Old Man and The Sea karya Ernest Hemingway dijual dengan harga US28,000. Novel pertama Stephen King, Carrie pula terjual dengan harga US3,000 dan novel Harry Potter and the Philosopher’s Stone pula terjual dengan harga US29,000.

Yang dikejar dan dicari oleh para peminat buku ialah kesilapan-kesilapan, contengan-contengan editor, malah penulisnya sendiri pada naskhah ARC. Inilah keunikan dan nilai naskhah-naskhah itu. Ia sama seperti kegilaan sesetengah pengumpul setem yang mencari kesilapan pada cetakan. Kesilapan itulah yang meningkatkan nilai kerana ia dikira naskhah ‘rare.’

Artikel asal: https://www.wsj.com/articles/sally-rooney-j-k-rowling-rare-books-11629289784

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]