Dari semasa ke semasa kita akan berjumpa kembali dengan mereka yang pernah bersama kita samada sebagai bekas rakan sekerja, bekas bos dan bekas jiran. Namun kita jarang sekali menganggap kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sebagai ‘bekas.’ Barangkali kawan-kawan sekolah, sekolej, sekuliah dan kawan sekampung sudah kita anggap setaraf sebagai saudara. Tidak ada istilah ‘bekas’ buat mereka. Perhubungannya kekal sampai akhir usia.
Baru-baru ini Facebook memberitahu saya mengenai ulangtahun kelahiran anak sahabat saya, Ramlee Awang Murshid. Aideen Cool saya kenali sejak dia belum sekolah yang boleh ketawa dan menangis pada bila-bila masa. Aideen atau Aizuddin membesar di depan mata. Saya lihat dia membesar dari seorang kanak-kanak yang bertubuh bulat dan nakal kepada seorang pemuda yang bertubuh tegap dan tinggi ~ tinggi daripada bapanya Ramlee dan ibunya Dayang Aminah.
Sambil saya menghantar mesej dan poster di laman Facebooknya mengucapkan selamat menyambut ulangtahun kelahiran, saya teringat bapanya Ramlee Awang Murshid. Ramlee adalah sahabat saya sejak 24 tahun yang lalu. Oleh kerana kami sama-sama penulis, kami biasa berbual dan berbincang di mana-mana restoran, bila berkesempatan mahupun melalui telefon.
Kerana kesibukan masing-masing, komunikasi kami terhenti.. Akhirnya saya terlupa langsung menghubunginya. Hari ulangtahun kelahiran Aizuddin mengingatkan saya kembali untuk menghubungi Ramlee, biarpun sekadar berbalas mesej.
Baru-baru ini, mesej ucap selamat saya kepadanya dibalas oleh isterinya dengan sebuah berita mengatakan yang Ramlee tidak sihat dan telah dimasukkan ke ICU. ICU? ‘Ini bukan kes sakit biasa,’ kata hati saya. Saya jadi risau dan mula berasa terkilan kerana tidak mengubunginya begitu lama. Panggilan saya tidak berbalas dan akhirnya saya hanya menunggu mesej darinya.
Alhamdulilah, saya mendapat khabar dari temannya yang dia semakin pulih dan akan keluar dari hospital. Saya berasa gembira. Tidak pernah saya gembira mendapat berita apabila seseorang itu pulih dari sakit. Biasanya saya akan sebut ‘alhamdulilah’ di dalam hati sahaja. Tetapi kali ini saya berasa berlainan sekali.
Barangkali kerana dalam sebulan dua ini saya menerima berita sedih mengenai kehilangan mereka yang dekat dengan saya, maka saya jadi prihatin apabila mendapat berita tentang kesakitan sesiapa sahaja.
Ya, dalam hidup ini kita akan mengumpul kawan dan sahabat di mana-mana sejak di bangku sekolah, di asrama, kolej, kuliah, tempat kerja, kawasan perumahan, jiran dan juga saudara-mara yang dekat dan jauh. Semakin kita meningkat usia, semua kenalan kita akan pergi seorang demi seorang. Dan mereka bukannya pergi dengan berita keuzuran, malah ada yang pergi tanpa amaran. Covid-19 mempercepatkan pemergian ini hingga kita tertanya bilakah giliran kita.
Kerana itu, inilah masanya buat kita menggali nama-nama saudara-mara, sahabat dan rakan di telefon masing-masing. Inilah waktunya kita menyelusuri nama-nama kawan kita yang sudah lama tidak melintas di laman sosial kita. Hubungilah mereka, segarkan kembali persahabatan dan semasakan perhubungan.
Sekarang bukan lagi masa mencari berita dan kisah mereka yang tak ada kena mengena dengan kiraan tolak, campur, bahagi dan darab kita di Mahsyar esok. Apatah lagi bercerita dan bergelumang dengan gosip dan mengata mereka yang tiada berkaitan dengan kita.
Sekarang adalah masa kita untuk menyampaikan berita gembira kepada mereka yang mengenali kita. Barangkali ia memberi senyuman akhir kepada seorang kenalan. Barangkali juga ia adalah hadiah senyuman akhir kita kepada semua orang yang mengenali kita. Inilah norma baharu yang harus menjadi SOP kita di hari-hari dan waktu-waktu yang tidak menentu ini.