Seperti yang dinyatakan dalam nota sebelum ini, ‘pacing’ (sebutan dalam bahasa Melayu; pesing) adalah istilah Inggeris yang bermaksud kadar kelajuan. Dalam konteks ini ia adalah kadar kelajuan membaca. ‘Pacing’ yang sesuai adalah di antara faktor yang mampu menarik hati pembaca hingga tidak mahu menutup buku yang ditatapnya.
Pacing menentukan perjalanan pernafasan kita tatkala membaca. Samada kita membaca secara kuat mahupun di dalam hati, pacing amat memainkan peranan. Terdapat dua bentuk pacing iaitu slow-pacing dan fast pacing.
Fast pacing mempercepat bacaan. Sebaliknya, slow pacing itu memperlahankan bacaan. Apakah peranan slow dan fast pacing ini? Slow pacing menjadikan bacaan begitu releks. Fast pacing pula membuat pembacaan kita menjadi cepat. Bila kita hendak guna fast atau slow pacing ini?
‘Slow pacing’ digunakan dalam naratif. Biasanya pada permulaan bab, kita akan membuat ‘opening scene’ atau adegan pembuka yang menceritakan suasana sesebuah lokasi. Ayat-ayat panjang melahirkan ‘slow pacing.’ Pembaca akan releks bila kita gunakan ayat-ayat yang panjang. Tatkala membaca ayat-ayat sebegitu, pembaca akan bernafas dengan perlahan. Ia menghasilkan ‘slow pacing.’
Contoh slow pacing:
Angin dingin menyapu wajahnya sebaik sahaja dia menghampiri pantai. Sambil menjinjing seliparnya, dia mengatur langkah perlahan-lahan kerana ingin merasa sentuhan pasir halus di tapak kakinya. Bunyi ombak yang menyapu pantai kedengaran mendesah dan begitu mendamaikan. Pandangannya dilontar ke laut lepas merenung sang mentari yang mula berlabuh di horizon. Dia mendongak ke langit senja untuk mencari bintang-bintang yang muncul satu persatu di balik awan. Sekawan burung layang-layang terbang melintas jauh menuju ke perbukitan untuk pulang ke sarang.
Fast pacing pula bagus digunakan untuk menggambarkan keadaan cemas, suspens dan ngeri. Ayat-ayat pendek akan menimbulkan fast pacing. Ia bertingkah, ringkas dan meningkatkan rasa cemas dan kesegeraan. Mood negatif dan konflik boleh menggunakan teknik fast pacing ini.
Contoh fast pacing:
Kenapa dia macam tu? Janji tinggal janji. Tapi, betul ke dia berjanji? Atau dia hanya pura-pura? Kalau aku tahu, dari dahulu lagi aku tak akan terima dia. Hendak jadi pengganti, konon! Tapi, salah aku juga. Kenapa aku terima dia? Kenapa aku percaya pada kata-kata? Sekarang aku yang pedih. Ngilunya dah menjalar sampai ke hulu hati. Rasa sakit setengah mati!
Apakah perbezaan yang ketara pada slow dan fast pacing? Slow pacing dibina dengan menggunakan ayat-ayat yang panjang. Fast pacing pula menggunakan ayat-ayat yang pendek. Apabila kita membaca ayat-ayat yang panjang, dengan sendirinya kita menjaga pernafasan agar tidak semput. Dengan itu, kita membaca secara perlahan-lahan. Berbeza dengan fast pacing; oleh kerana ayat-ayatnya pendek, kita membacanya dengan cepat. Sebab itulah, slow pacing itu merehatkan dan fast pacing itu menimbulkan rasa stres.
Ayat-ayat yang panjang dan pendek perlu diadun dengan seimbang. Kadangkala ‘fast pacing’, ada ketikanya slow pacing. Terlalu banyak fast pacing akan membuatkan pembaca penat membaca. Sebaliknya terlalu banyak slow pacing akan membuat pembaca mengantuk dan zzzzz..