MAAFCAKAP 1.9.2021

Semalam kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Seandainya Malaysia ini adalah manusia, dia sudah menjadi warga tua. Daya tahan tubuhnya sudah mula merosot, matanya dah kabur, telinganya sedikit tuli, pinggangnya sakit-sakit, ototnya dah lemah dan kulitnya mula berkedut. 

Dia perlu banyak rehat dengan tidur yang cukup. Untuk menyihatkan tubuhnya, dia perlu kurangkan gula dan garam. Sebaliknya dia perlu banyak menyuap makanan tambahan seperti vitamin, madu, habbatussauda, glucosamine, segala macam herba, melebihkan sayur dan meneguk air mineral.

Namun, Malaysia ini adalah sebuah negara, bukannya manusia. Oleh itu, dari sudut tempoh kemerdekaan, usianya masih lagi muda. Negara Amerika misalnya telah merdeka sejak 1776 (sudah 244 tahun) dan Perancis sejak 1789 (sudah 211 tahun). Tetapi jika dibanding dengan negara-negara dahulu, usia Malaysia seperti bayi! Mesir dari segi kewujudannya telah ada sejak 8,000 tahun lalu. Begitu juga negara China dan Rom yang telah wujud 6,000 tahun yang lalu. 

Tetapi malangnya, meskipun Malaysia berusia 64 tahun, potensi kebijaksanaan dan kematangan yang pernah ditayangkannya kepada dunia sudah pudar. Dahulu, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang dihormati. Kita terkenal sebagai negara yang dipercayai untuk menjaga keamanan negara-negara yang berkonflik. Kita pernah menghantar tentera pengaman di negara-negara yang antaranya Congo, Mindanao, Somalia, Bosnia dan Palestin.

Di sudut sosio-ekonomi, kita mencetuskan idea ASEAN dengan zon aman, bebas dan berkecuali. Kita menganjurkan mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM), mesyuarat Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) dan sidang negara-negara berkecuali (NAM). Dari segi sukan, kita diberi kepercayaan menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Sebagai sebuah negara yang baharu merdeka pada 1957, kita mula menyusun program-program pembangunan 5 tahun negara melalui Rancangan Malaysia. RMK pertama dilancarkan dari tahun 1966-1970. Setelah melebihi 60 tahun usianya, kita masih lagi melaksanakan RMK yang kini RMK ke-12 untuk jangka masa 2020-2025.

Berikutan dengan tragedi 13 Mei 1969, yang puncanya berkait dengan keseimbangan ekonomi, Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk mentadbir negara ketika itu telah menyarankan Dasar Ekonomi Baru. Program 20 tahun dari 1971-1990 ini mempunyai dua matlamat iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat.

Kemudian, kita ada program gergasi yang kedua iaitu Wawasan 2020, sebuah program 30 tahun yang dilancarkan pada tahun 1991-2020. Kini kita sedang mengharungi program Transformasi Nasional, sebuah program 30 tahun juga dari 2020-2050.

Soalnya sekarang, berapa kerat rakyat kita tahu kita sedang menjalani program RMK-12 dan juga Transformasi Nasional? Ramai yang ingat-ingat lupa. Malah ramai yang sudah pun terlupa. Puncanya kerana para pemimpin kita sendiri sudah tidak berpandangan jauh. Pandangan mereka tidak lagi sejauh 20-30 tahun mendatang. Sebaliknya hanya setahun-dua mendatang bilamana PRU-15 akan berlangsung! 

Ditambah pula dengan pandemik Covid-19, kita sudah terbiasa untuk tidak melihat jauh ke hadapan, sebaliknya dari hari ke hari bilamana kebimbangan masa depan kita hanya berdasarkan angka jangkitan Covid-19 hari ini. Seolah-olah masa depan kita adalah keesokan hari. Paling jauh kita berfikir tentang masa depan ialah dua minggu akan datang bila mana kita tertanya-tanya, apakah kita akan memasuki fasa baharu dalam Pelan Pemulihan Negara?

Sempena Hari Kemerdekaan ini marilah kita sama-sama berfikiran lebih jauh, sekurang-kurangnya setahun mendatang. Berpandangan jauh itu memberikan kita mood untuk berfikiran positif untuk mencarta pelan masa hadapan. Sekurang-kurangnya bila kita merancang, kita dapat merangka pelan untuk mengalih atau mengurangkan halangan.

Bila kita ada rancangan, kita akan fokus kepada sasaran yang dirangka. Bila kita fokus, dengan sendirinya kita akan ketepikan apa jua yang tidak ada kena mengena dengan matlamat. Jika setiap rakyat ambil peduli tentang masa depan masing-masing, kita akhirnya akan memerdekakan diri daripada apa jua belenggu yang merantai mental dan spiritual yang orang lain paksakan ke atas kita.