BLOG

Whatsapp Yang Buatku Sentap

Whatsapp Yang Buatku Sentap

MAAFCAKAP 17.11.2021

Apabila dua bekas kakitangan Yahoo, Brian Acton dan Jan Koum mencipta aplikasi mesej Whatsapp pada 2009, mereka tidak menyangka ia menjadi aplikasi bermesej yang paling popular mencapai 2 bilion pengguna di seluruh dunia pada 2021. Mereka juga tidak menjangka aplikasi komunikasi tidak formal itu digunakan secara meluas pula untuk fungsi-fungsi rasmi.

Dari sudut positif, Whatsapp yang lebih popular daripada aplikasi Line, Wechat, Skype dan lain-lain, sememangnya baik kerana ia tempat berhimpun saudara-mara, kaum kerabat, sahabat handai, rakan sekolej, sekuliah, sekursus, setadika dan sekariah. Hingga seandainya terdapat mana-mana ahli kumpulan menyambut hari jadi, maka bertubi-tubilah ucapan ‘Selamat Hari Lahir’ diucapkan dari pagi hingga ke malam! 

Begitu jugalah seandainya ada berita kematian, masing-masing akan menyampaikan ucapan takziah sehinggakan mana-mana ahli kumpulan yang tidak mengucap takziah akan berasa tidak sedap hati sekiranya tidak turut sama mengucapkan takziah. Walhal memadai sahaja mengucap takziah di dalam hati atau lebih afdal ‘PM tepi’ kepada sahabat yang kehilangan.

Betapa pun, komunikasi untuk tujuan tidak rasmi itu pada keseluruhannya mendatangkan kebaikan apabila Whatsapp digunakan sebagai media penyampai berita, maklumat dan pengetahuan. Malah, ia punyai peranan dan kelebihan yang banyak terutamanya bila ia diguna untuk tujuan tidak rasmi.

Oleh kerana Whatsapp berperanan sebagai pengirim mesej dan imej, ia juga digunakan dalam komunikasi rasmi secara meluas. Kenyataan, pengumuman dan notis pelbagai badan rasmi kerajaan dan swasta kini turut menggunakan Whatsapp. Selagi ia berbentuk komunikasi satu hala, ia amat berkesan.

Namun, apabila ia digunakan di dalam perhubungan dua hala sebagai medium perbincangan yang memerlukan soal jawab, berhujah dan bertukar-tukar fakta, maka di sinilah bermulanya masalah. Brian Acton dan Jan Koum inginkan ia menjadi medium komunikasi yang santai. Tetapi kita membantai penggunaannya hingga kita keliru yang mana formal, yang mana tidak formal.

Pertama sekali, selain daripada puluhan kumpulan tidak rasmi, seseorang itu mempunyai berbelas kumpulan yang rasmi. Ada kumpulan besar syarikat, kumpulan tertinggi syarikat, kumpulan di antara jabatan, sesama sejabatan dan pelbagai kumpulan projek. 

Dek terlalu banyak kumpulan, banyak sekali kumpulan yang fungsinya bertindih dan kumpulan yang tugasnya sama tetapi punyai nama yang lain. Itu belum termasuk sub-sub kumpulan yang ada di mana gosip dalam kerja berlaku ala-subersif.

Di dalam kumpulan yang rasmi dan sepatutnya serius itu tiba-tiba boleh disulami dengan lawak jenaka yang mengheret perhatian perbincangan yang serius. Atau kerana tidak sukakan seseorang, sebuah kumpulan sampingan dibuat tanpa orang berkenaan!

Benar, ramai yang beranggapan bahawa perbincangan di dalam kumpulan Whatsapp itu lebih cepat mengumpul sesiapa sahaja walau di mana ahli kumpulan itu berada. Namun, siapa yang tahu dan nampak bahawa sedang sesuatu perbincangan serius berjalan, ada di antara ahli-ahlinya sedang menonton video atau berjual beli atas talian di telefonnya tanpa orang lain tahu!

Seharusnya, meskipun terdapat aplikasi itu, perbincangan bersemuka harus juga diadakan. Apabila kesemua ahli hadir secara fizikal, ia petanda baik untuk dari aspek komitmen. Segala senyum, tawa, cebir, jeling dan segala riak wajah, penekanan dan nada suara serta body language dapat ditelah dengan mudah. Samada ‘ya’ atau ‘tidak’ keputusan perbincangan dibuat dalam suasana yang sama.

Sebaliknya, aplikasi Whatsapp lebih melambatkan daripada mempercepat organisasi membuat sesuatu keputusan. Ia lebih serabut dan mencipta ribut. Ramai di antara ahli kumpulan akan catat ‘noted,’ ‘done’ atau mengirim simbol ‘good’ yang akan melegakan perasaan semua. Walhal, semua yang baik-baik itu dibuat sebab bos pun ada dalam grup itu! 

Belajar Di Universiti Kehidupan

Belajar Di Universiti Kehidupan

MAAFCAKAP 10.11.2021

Saya mendapat panggilan daripada seorang kenalan yang sudah lebih 10 tahun tidak menghubungi saya. Saya hairan, kerana dia menelefon pada waktu maghrib. Fikir saya, tentulah dia punyai hasrat yang penting. Dan, kenapa dia menghubungi saya? Barangkali, nama saya sahaja yang dia ingat untuk membantunya.

Amen tersengih bila terpandang saya. Tubuhnya gempal seperti dahulu. Rambutnya masih lebat meskipun sudah ternampak garis-garis uban. Lalu Amen meminta pandangan saya sebelum dia membuat sebuah keputusan perniagaan. Bekas pekerja swasta ini telah melaburkan wang pampasan berhenti kerjanya sebanyak RM150,000 ke dalam bisnes restoran.

Apa yang menarik Amen ialah, meskipun dia di bawah payung sebuah syarikat kumpulan, dia digalakkan memilih sendiri jenama restorannya. Pihak syarikat kumpulan melihat ia sebagai sebuah strategi perniagaan. Dari mula membuka bisnes, syarikat kumpulan membekalkan segala perabot dan peralatan serta dekorasi restoran. Segala-galanya nampak baik.

Masalah bermula apabila dia mula berniaga. Walaupun dia bertuah mendapat lima orang bekas pekerja restoran yang berpengalaman, pihak syarikat tidak langsung menghantar pegawainya untuk datang memantau atau membantunya dengan memberi idea promosi dan maklumat pasaran semasa.

Untuk bahan mentah memasak, walaupun dia mendapat bekalan harian dari syarikat, ada banyak ketika pekerja yang menghantar tidak membawa nota pesanan dan invois. Kadangkala, bahan yang dipesan tidak mencukupi. Ini menyukarkan Amen mengawal operasi. Kerap kali sesetengah menu masakan ditiadakan kerana tiada bahan mentah

Apabila ia kerap berlaku, dan tidak nampak penyelesaian meskipun dia selalu kompelin, Amen mula curiga barangkali pekerja itu atau di kalangan pekerja syarikat yang bermain silap mata. Sudah lebih enam bulan Amen dapat bertahan kerana gaji para pekerja dibayar oleh syarikat kumpulan. Jika dia gunakan bisnesnya, tentu sudah lama dia tutup bisnes. Namun apabila tiada apa-apa bantuan lain, dan modalnya berkurang dan menjelma menjadi hutang, Amen bercadang untuk gulung tikar.

Menurut Amen, dia bersedia melepaskan perniagaannya itu. Walaupun lebih RM150,000 modalnya habis dan kini berhutang pula dengan pihak syarikat, Amen tidak sanggup bertahan kerana tidak nampak jalan keluar terutamanya bila mendapati pengurusan syarikat tidak sistematik.

Saya langsung menyokong hasratnya. Kata saya, anggaplah RM150,000 yang dilabur itu sebagai yuran pelajaran. Saya sendiri pernah melabur RM15,000 untuk menceburi bidang penerbitan komik. Bisnes saya tutup selepas tiga bulan tetapi modal itu sebenarnya adalah yuran pelajaran saya 25 tahun dahulu untuk memahami dunia penerbitan buku.

Ilmu formal yang diperoleh di dalam bilik kuliah, meskipun disah dan diiktiraf Sarjana Muda, Sarjana mahupun Doktor; ia tidak sama dengan ilmu yang diperoleh di University of Life. Yuran pelajaran untuk ilmu formal bersifat kekal untuk sessebuah program. Namun, ilmu tidak formal di universiti kehidupan boleh jadi ratusan, ribuan malah jutaan ringgit yuran pengalamannya.

Namun, ilmu yang diperoleh di universiti kehidupan itu lebih asli. Ia membina karektor seseorang menjadi lasak dan tangkas mengimbangi gelombang pancaroba ilmu agar tidak karam. Malangnya, sebilangan besar mereka yang mendapat ilmu di bilik kuliah beranggapan ilmu yang dipelajari sudah cukup hingga melayakkan dia memperoleh pendapatan untuk sekian-sekian angka kononnya mengikut harga pasaran.

Bagi saya ilmu di bilik kuliah itu harus dilengkapkan dengan ilmu di universiti kehidupan. Teori perlu disusuli dengan praktikal, pelajaran diikuti dengan pengalaman. Ia saling berkait dan penting kerana ia kena mengena dengan konsep ilmu dan amal.

Berbisnes Cara Berhemah

Berbisnes Cara Berhemah

MAAFCAKAP 3.11.2021

Puas saya berpusing-pusing mencari kedai nasi lemaknya. Akhirnya saya temui. Saya melangkah ke restoran Amru yang baru dibuka. Sebelum ini dia berniaga dengan membuka meja di sebuah warung. Nasi lemaknya memang laris. 

Dalam suasana pasca Covid-19 ini, nasi lemak punjut RM2.00nya begitu popular. Tetapi nasi lemak yang ditambah lauk sotong, kerang, ayam, rendang atau daging juga adalah kegemaran lebih separuh para pelanggannya. Sebungkus harganya tidak kurang dari RM4.00. Kata Amru, dia buat untung dengan nasi lemak berlauk.

Saban hari, jumlah pelanggannya tak pernah berkurang, terutamanya pada hari minggu. Pada satu-satu masa, jumlah yang beratur untuk membeli nasi lemaknya hingga tujuh orang. Amru, isteri dan dua orang pembantunya memang tak menang tangan.

Agaknya kerana berasa sudah buat untung dan hendak merasa bertapak dalam berniaga, maka Amru berpindah ke sebuah kawasan rumah kedai. Di sinilah masalahnya bermula. Pertama, restorannya berada di kawasan berparkir. Jika selama ini, pembeli hanya parkir menyenget di bahu jalan untuk ke gerai lamanya, kini seseorang perlu masuk ke kawasan parkir berbayar.

Akibatnya, jumlah pelanggannya jauh merosot. Ketika saya bersarapan, jumlah pengunjung yang datang menjamu selera atau membeli secara bungkus tidak sampai 10 orang dalam masa setengah jam. Sehinggakan Amru sempat duduk bersembang dengan saya. Pendapatan kasarnya hingga RM1,500 sehari sebelum ini merosot menjadi sekitar RM700 dalam sehari.

Dengan lot ruang kedai, dicampur dengan gaji pekerja, kos renovasi, kerusi meja termasuk segala peralatan dapur dan pinggan mangkuk, kini Amru terpaksa menggunakan wang simpanannya pula untuk membiayai perniagaan yang sebelum ini cukup menguntungkan. Kini Amru bekerja bukannya untuk mengumpul untung, sebaliknya untuk membayar hutang. Dia mengaku dia tersilap langkah dan terpaksa mendepaninya.

Banyak perniagaan kecil pada hari ini yang tak menyempat bergaya hebat. Sepatutnya kita kena bertahan dahulu. Pandemik belum berlalu sepenuhnya. Mana tahu, (nauzubillah) PKP diisytihar semula sekiranya Covid-19 menular kembali?

Dalam tempoh pandemik ini, ramai yang sudah terbiasa membeli makanan secara atas talian. Misalnya, jika mereka mahu membeli mi goreng, mereka hanya melihat gambar hidangan dan harga sahaja.  Samada ia ditawarkan oleh individu di rumah, di gerai mahupun di restoran besar semuanya tampak sama. Yang penting buat mereka ialah makanan yang sedap dengan harga yang berpatutan. Jadi, tak perlu ada restoran besar untuk bisnes yang kecil.

Imej perniagaan hanya perlu dibina secantiknya di alam maya di mana jendelanya boleh dicapai dan diintai oleh potensi pelanggan dengan lebih cepat. Jika dalam bisnes perkhidmatan kepakaran, tidak perlu juga menyewa ruang pejabat di segi tiga emas. Sewa sahaja alamat pejabat di kawasan berprestij dan ia cukup untuk membina imej hebat bagi sesebuah bisnes. Pertemuan bisa diatur di pejabat yang disewa ataupun di kafe sahaja.

Padang permainan membina imej bisnes sudah beralih di media sosial. Sesebuah bisnes hanya perlu membuka akaun di Facebook, Tiktok, Twitter, Instagram, Shopee, Lazada dan laman web. Dalam waktu yang singkat, sesebuah bisnes itu sudah membuka beberapa buah premis,  meskipun ia hanya menyulam di antara imej realiti dan ilusi. Inilah magis dalam membina imej dan persepsi perniagaan cara terkini. 

Cara lama bisnes ala-kapitalis ialah membuka pejabat besar, membina wisma-wisma dengan jenama yang besar, membeli, membeli dan membeli aset dengan cara hutang bank. Mana ada bisnes yang begitu bebas hutang? Apakah ahli bisnes yang menerajui bisnes itu jutawan atau ‘jutatang’ (jutawan hutang)?

Jika Penulis Ingin Mengubah Genre

Jika Penulis Ingin Mengubah Genre

Saya pernah terbaca, sasterawan di zaman penjajah dahulu menggunakan nama pena kerana hendak merahsiakan aktiviti mereka sebagai peniup semangat kemerdekaan dan anti-British. Jika menggunakan nama benar, pihak British akan tahu identiti mereka. Ada juga di antara penulis di waktu dahulu menggunakan nama pena atau nama samaran untuk mengelak hidup peribadi mereka tidak terganggu.

Penulis pada hari ini berbeza pula. Kebanyakan mereka menggunakan nama pena untuk tujuan komersial kerana menulis pada hari ini boleh dijadikan sebagai kerjaya. Justeru itu, nama pena kini sudah menjadi sebuah jenama. Kita lihat nama-nama komersial yang menarik seperti novelis Michael Crichton. Nama sebenarnya adalah John Lange. Agatha Christie pula adalah Mary Westmacott.

Dalam pada itu, ada di antara penulis-penulis ini yang menggunakan lebih daripada satu nama bila mereka menulis lebih daripada satu genre. Joanne Jo Rowling atau JK Rowling yang terkenal dengan siri Harry Potternya menulis sebagai lelaki iaitu Robert Galbraith untuk novel-novel jenayahnya. Nora Roberts, penulis novel romantik pula  menggunakan nama JD Robb untuk novel erotiknya. Stephen King, novelis cerita seram menggunakan nama asal Richard Bachman untuk novel-novelnya yang lain.

Berdasarkan kepada kejayaan novelis-novelis barat yang menjadi, adalah baik jika novelis kita hanya menukar nama pena yang lain jika ingin menukar genre. Misalnya, jika saya Norden Mohamed yang menulis novel aksi hendak menulis novel romantik pula, saya akan pilih nama Nurdina Muha. Auw!

Tapi soalnya, mereka yang di barat itu kesemuanya penulis sepenuh masa. Kita yang menulis sambilan ini sempat ke menulis pelbagai genre? Tepuk dada, tanya diri, ‘novel yang aku sedang tulis sekarang ini dah siap ke belum?’ sebelum berfikir untuk menulis genre lain. 

Jika nak menulis juga, gunalah nama pena yang lain. Sebab, nama pena adalah sebuah jenama. 

Bingkisan Doa Buat Majikan

Bingkisan Doa Buat Majikan

MAAFCAKAP 27.10.2021

Kita sedang menuju ke fasa endemik. Kita lega bila berkurangnya penularan Covid-19. Jumlah yang menerima vaksinasi sepenuhnya pada Oktober 2021 telah melebihi 80 % dan kita telah mencapai herd immunity. Apabila kian banyak negeri meningkatkan fasa dan merentas negeri serta melancong dibenarkan, maka kita semua berharap kehidupan kita kembali seperti asal.

Secara kasar, kita nampak sektor peruncitan dan kepenggunaan sedang rancak semula. Kedai runcit, mini market dan pasaraya mula sesak. Orang ramai kian selesa makan-makan dan membeli-belah. Taman-taman rekreasi dan sukan penuh dengan aktiviti berjogging, berbasikal, memancing dan apa sahaja. Semuanya hidup kembali.

Untuk pelbagai bisnes, banyak sektor-sektornya telah dihidupkan semula. Mereka yang telah lama bekerja dari rumah telah dipanggil semula ke pejabat. Mesyuarat secara online melalui Zoom dan Google Meet mula dikurangkan kerana mesyuarat secara bersemuka menjadi pilihan.

Ini menjadikan tenaga kerja bertumpu kembali ke pejabat. Jalanraya kembali sesak dan rancak. Memandu secara santai dalam keadaan jalan yang lengang telah bertukar semula dengan cara memandu secara laju. Perangai lama melanggar lampu isyarat menjadi amalan semula. Barangkali kerana masing-masing seronok dapat pulang ke tempat kerja.

Buat mereka yang telah diberhentikan kerja, kerancakan semula dunia pekerjaan harus dilalui dengan tabah. Mereka kurang bernasib baik kerana meskipun ekonomi sedang pulih, ada di antara mereka yang baharu dapat bangun dan bertatih semula demi mendapat sesuap nasi setelah menyimpan bendera putih di belakang almari.

Justeru itu, buat mereka yang masih ada kerja, walaupun telah dipotong gaji, ditangguh gaji ataupun tidak dibayar gaji ketika pandemik, anda masih bertuah kerana masih ada tempat untuk bersandar. Bekerjalah secara bersungguh-sungguh, usah bertangguh-tangguh kerana kita telah kehilangan kehidupan sebenar selama setahun setengah.

Bila kita di fasa endemik, moratorium pun tiada lagi. Si pemiutang akan datang untuk mengutip hutang yang tertangguh. Masing-masing mahu hidup, menstabil dan memajukan perusahaan masing-masing. Kerana itu, golongan majikan dan para pekerja tidak boleh berpihak-pihak dan kedudukan yang bertentangan. Atau dalam kedudukan yang bertingkat iaitu majikan pihak yang di atas dan pekerja pula pihak yang di bawah.

Sebaliknya majikan dan golongan pekerja perlu saling bergantung berganding bahu untuk menyelamatkan operasi syarikat dan seterusnya memakmurkannya. Dengan cara itu, baharulah laba akan bertambah. Ini seterusnya akan mensejahterakan kedua-dua pihak yang mana keuntungan syarikat akhirnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun dalam pada itu, kedua-dua pihak jangan sekali-kali lupa betapa mudahnya operasi syarikat lumpuh kerana pandemik. Malah, pada bila-bila masa pun keadaan boleh berulang tanpa amaran. Kerana itulah selain sama-sama menjalankan peranan masing-masing, kita jangan lupa bahawa kita hanyalah manusia yang berusaha. Hasilnya ditentunya oleh Yang Maha Mengatur.

Jika selama pandemik yang lalu, pihak majikan berpeluh dahi mencari jalan untuk melestarikan operasi syarikat. Pada kali ini usah bertepuk sebelah tangan. Bukan hanya pihak majikan sahaja yang seharusnya berdoa siang dan malam agar syarikatnya terus berdiri. Golongan pekerja yang masih bernasib baik terus mendapat rezeki dari syarikat tidak boleh hanya menyumbang mental dan fizikal.

Sebaliknya harus menyumbang tenaga spiritual melalui doa. Andainya kita yakin bahawa tempat kita mencari nafkah itu adalah tempat yang baik, kerja kita juga halal pendapatannya, mengapa kita tidak doakan sekali agar syarikat tempat kerja kita dikurniakan rezeki yang banyak? Kerana, bukankah rezeki kita sebenarnya mengalir dari pendapatan syarikat? Bisikan bingkisan doa buat majikan kita!

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]