MAAFCAKAP 10.11.2021
Saya mendapat panggilan daripada seorang kenalan yang sudah lebih 10 tahun tidak menghubungi saya. Saya hairan, kerana dia menelefon pada waktu maghrib. Fikir saya, tentulah dia punyai hasrat yang penting. Dan, kenapa dia menghubungi saya? Barangkali, nama saya sahaja yang dia ingat untuk membantunya.
Amen tersengih bila terpandang saya. Tubuhnya gempal seperti dahulu. Rambutnya masih lebat meskipun sudah ternampak garis-garis uban. Lalu Amen meminta pandangan saya sebelum dia membuat sebuah keputusan perniagaan. Bekas pekerja swasta ini telah melaburkan wang pampasan berhenti kerjanya sebanyak RM150,000 ke dalam bisnes restoran.
Apa yang menarik Amen ialah, meskipun dia di bawah payung sebuah syarikat kumpulan, dia digalakkan memilih sendiri jenama restorannya. Pihak syarikat kumpulan melihat ia sebagai sebuah strategi perniagaan. Dari mula membuka bisnes, syarikat kumpulan membekalkan segala perabot dan peralatan serta dekorasi restoran. Segala-galanya nampak baik.
Masalah bermula apabila dia mula berniaga. Walaupun dia bertuah mendapat lima orang bekas pekerja restoran yang berpengalaman, pihak syarikat tidak langsung menghantar pegawainya untuk datang memantau atau membantunya dengan memberi idea promosi dan maklumat pasaran semasa.
Untuk bahan mentah memasak, walaupun dia mendapat bekalan harian dari syarikat, ada banyak ketika pekerja yang menghantar tidak membawa nota pesanan dan invois. Kadangkala, bahan yang dipesan tidak mencukupi. Ini menyukarkan Amen mengawal operasi. Kerap kali sesetengah menu masakan ditiadakan kerana tiada bahan mentah
Apabila ia kerap berlaku, dan tidak nampak penyelesaian meskipun dia selalu kompelin, Amen mula curiga barangkali pekerja itu atau di kalangan pekerja syarikat yang bermain silap mata. Sudah lebih enam bulan Amen dapat bertahan kerana gaji para pekerja dibayar oleh syarikat kumpulan. Jika dia gunakan bisnesnya, tentu sudah lama dia tutup bisnes. Namun apabila tiada apa-apa bantuan lain, dan modalnya berkurang dan menjelma menjadi hutang, Amen bercadang untuk gulung tikar.
Menurut Amen, dia bersedia melepaskan perniagaannya itu. Walaupun lebih RM150,000 modalnya habis dan kini berhutang pula dengan pihak syarikat, Amen tidak sanggup bertahan kerana tidak nampak jalan keluar terutamanya bila mendapati pengurusan syarikat tidak sistematik.
Saya langsung menyokong hasratnya. Kata saya, anggaplah RM150,000 yang dilabur itu sebagai yuran pelajaran. Saya sendiri pernah melabur RM15,000 untuk menceburi bidang penerbitan komik. Bisnes saya tutup selepas tiga bulan tetapi modal itu sebenarnya adalah yuran pelajaran saya 25 tahun dahulu untuk memahami dunia penerbitan buku.
Ilmu formal yang diperoleh di dalam bilik kuliah, meskipun disah dan diiktiraf Sarjana Muda, Sarjana mahupun Doktor; ia tidak sama dengan ilmu yang diperoleh di University of Life. Yuran pelajaran untuk ilmu formal bersifat kekal untuk sessebuah program. Namun, ilmu tidak formal di universiti kehidupan boleh jadi ratusan, ribuan malah jutaan ringgit yuran pengalamannya.
Namun, ilmu yang diperoleh di universiti kehidupan itu lebih asli. Ia membina karektor seseorang menjadi lasak dan tangkas mengimbangi gelombang pancaroba ilmu agar tidak karam. Malangnya, sebilangan besar mereka yang mendapat ilmu di bilik kuliah beranggapan ilmu yang dipelajari sudah cukup hingga melayakkan dia memperoleh pendapatan untuk sekian-sekian angka kononnya mengikut harga pasaran.
Bagi saya ilmu di bilik kuliah itu harus dilengkapkan dengan ilmu di universiti kehidupan. Teori perlu disusuli dengan praktikal, pelajaran diikuti dengan pengalaman. Ia saling berkait dan penting kerana ia kena mengena dengan konsep ilmu dan amal.