MAAFCAKAP 17.11.2021

Apabila dua bekas kakitangan Yahoo, Brian Acton dan Jan Koum mencipta aplikasi mesej Whatsapp pada 2009, mereka tidak menyangka ia menjadi aplikasi bermesej yang paling popular mencapai 2 bilion pengguna di seluruh dunia pada 2021. Mereka juga tidak menjangka aplikasi komunikasi tidak formal itu digunakan secara meluas pula untuk fungsi-fungsi rasmi.

Dari sudut positif, Whatsapp yang lebih popular daripada aplikasi Line, Wechat, Skype dan lain-lain, sememangnya baik kerana ia tempat berhimpun saudara-mara, kaum kerabat, sahabat handai, rakan sekolej, sekuliah, sekursus, setadika dan sekariah. Hingga seandainya terdapat mana-mana ahli kumpulan menyambut hari jadi, maka bertubi-tubilah ucapan ‘Selamat Hari Lahir’ diucapkan dari pagi hingga ke malam! 

Begitu jugalah seandainya ada berita kematian, masing-masing akan menyampaikan ucapan takziah sehinggakan mana-mana ahli kumpulan yang tidak mengucap takziah akan berasa tidak sedap hati sekiranya tidak turut sama mengucapkan takziah. Walhal memadai sahaja mengucap takziah di dalam hati atau lebih afdal ‘PM tepi’ kepada sahabat yang kehilangan.

Betapa pun, komunikasi untuk tujuan tidak rasmi itu pada keseluruhannya mendatangkan kebaikan apabila Whatsapp digunakan sebagai media penyampai berita, maklumat dan pengetahuan. Malah, ia punyai peranan dan kelebihan yang banyak terutamanya bila ia diguna untuk tujuan tidak rasmi.

Oleh kerana Whatsapp berperanan sebagai pengirim mesej dan imej, ia juga digunakan dalam komunikasi rasmi secara meluas. Kenyataan, pengumuman dan notis pelbagai badan rasmi kerajaan dan swasta kini turut menggunakan Whatsapp. Selagi ia berbentuk komunikasi satu hala, ia amat berkesan.

Namun, apabila ia digunakan di dalam perhubungan dua hala sebagai medium perbincangan yang memerlukan soal jawab, berhujah dan bertukar-tukar fakta, maka di sinilah bermulanya masalah. Brian Acton dan Jan Koum inginkan ia menjadi medium komunikasi yang santai. Tetapi kita membantai penggunaannya hingga kita keliru yang mana formal, yang mana tidak formal.

Pertama sekali, selain daripada puluhan kumpulan tidak rasmi, seseorang itu mempunyai berbelas kumpulan yang rasmi. Ada kumpulan besar syarikat, kumpulan tertinggi syarikat, kumpulan di antara jabatan, sesama sejabatan dan pelbagai kumpulan projek. 

Dek terlalu banyak kumpulan, banyak sekali kumpulan yang fungsinya bertindih dan kumpulan yang tugasnya sama tetapi punyai nama yang lain. Itu belum termasuk sub-sub kumpulan yang ada di mana gosip dalam kerja berlaku ala-subersif.

Di dalam kumpulan yang rasmi dan sepatutnya serius itu tiba-tiba boleh disulami dengan lawak jenaka yang mengheret perhatian perbincangan yang serius. Atau kerana tidak sukakan seseorang, sebuah kumpulan sampingan dibuat tanpa orang berkenaan!

Benar, ramai yang beranggapan bahawa perbincangan di dalam kumpulan Whatsapp itu lebih cepat mengumpul sesiapa sahaja walau di mana ahli kumpulan itu berada. Namun, siapa yang tahu dan nampak bahawa sedang sesuatu perbincangan serius berjalan, ada di antara ahli-ahlinya sedang menonton video atau berjual beli atas talian di telefonnya tanpa orang lain tahu!

Seharusnya, meskipun terdapat aplikasi itu, perbincangan bersemuka harus juga diadakan. Apabila kesemua ahli hadir secara fizikal, ia petanda baik untuk dari aspek komitmen. Segala senyum, tawa, cebir, jeling dan segala riak wajah, penekanan dan nada suara serta body language dapat ditelah dengan mudah. Samada ‘ya’ atau ‘tidak’ keputusan perbincangan dibuat dalam suasana yang sama.

Sebaliknya, aplikasi Whatsapp lebih melambatkan daripada mempercepat organisasi membuat sesuatu keputusan. Ia lebih serabut dan mencipta ribut. Ramai di antara ahli kumpulan akan catat ‘noted,’ ‘done’ atau mengirim simbol ‘good’ yang akan melegakan perasaan semua. Walhal, semua yang baik-baik itu dibuat sebab bos pun ada dalam grup itu!