MAAFCAKAP 24.11.2021
PRN Melaka dimenangi oleh Barisan Nasional. BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Banyak ulasan dibuat mengenai kemenangan BN, yang pada peringkat awal kempen, dikatakan goyang. Menjelang hari mengundi, terdapat analisa yang membayangkan BN akan menang 18 kerusi. Namun keputusannya, BN mendapat 21 kerusi iaitu 18 UMNO, 2 MCA dan satu MIC.
Kemenangan itu dirai oleh jentera BN dengan gembiranya. Tetapi sebentar sahaja, apabila timbul pula pendapat bahawa, keputusan itu tidak boleh dijadikan kayu ukur prestasi Barisan Nasional dalam PRU-15 kelak. Undi BN pada PRN Melaka tidak cukup banyak seperti undi pada PRU-14.
Pandangan bahawa peratus yang keluar mengundi, kekurangan isu-isu besar, undi pecah PN yang menguntungkan UMNO/BN serta faktor Melaka sebagai lubuk BN telah dikomen dengan panjang lebar oleh penganalisis dan juga para pemimpin politik. Akhirnya, perbincangan menjurus kepada sudut pandang, walaupun menang, BN tidak menang sepenuhnya. Meskipun kalah, PH tidak semestiya tewas kerana banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan PH kecundang pada kali ini.
Sebenarnya, dalam apa jua keputusan pertandingan, yang menang tetap menang. Yang kalah tetap kalah. Dalam perlawanan bolasepak, sebuah pasukan yang lemah pun boleh menang melalui satu gol sendiri pasukan lawan. Yang kuat, kalah tetapi yang lemah pula dah menang.
Apabila kita asyik bercakap tentang segala kemungkinan yang membawa maksud kemenangan atau kejayaan yang dirangkul itu tidak begitu bagus kerana pelbagai kebarangkalian yang memungkinkan kekalahan, apa guna bersusah payah mengejar kejayaan jika kejayaan itu tidak dirai?
Seharusnya, apabila kita fokus untuk menang dalam satu-satu pertandingan mahupun usaha, fokus kita patut konsisten untuk meraikan kemenangan itu setelah berjaya. Mengapa pula, belum pun sempat tawa dan gembira hilang, stres baharu datang apabila fikiran asyik fokus kepada kemungkinan kekalahan meskipun ia disalut atas nama analisa, maklumbalas mahupun post-mortem. Bukankah ini satu bentuk over-thinking?
Over thinking selalu dikaitkan dengan sikap terlebih fikir sebelum melakukan sesuatu hingga satu pun tak terbuat. Kali ini over thinking juga boleh terjadi jika sesuatu yang telah berlaku itu diulas dan dikupas sedemikian rupa hingga yang berjaya dilihat sebagai tidak begitu berjaya atau bakal gagal pada masa hadapan.
Dunia kian pantas berkembang dan bergolak. Faktor-faktor sentiasa berubah dan bertambah sehinggakan resepi kejayaan semalam sudah tidak berguna lagi pada hari esok. Prestasi kejayaan bukan lagi sesuatu yang mudah diperoleh. Oleh kerana segala-galanya sentiasa berubah, sesuatu formula kejayaan mungkin hanya terpakai sekali. Esok, formula kejayaan yang sama sudah tidak berguna lagi.
Oleh kerana itulah, raikan kejayaan sebaik sahaja kita merangkulnya. Esok belum tentu kejayaan akan berulang. Justeru, buat apa merosakkan kebahagiaan mencapai kejayaan yang sukar diperoleh itu dengan berkata, kita sepatutnya lebih berjaya jika… Apa perlu kita streskan diri apabila kejayaan itu tidak mahu dinikmati?
Betul, kita perlu serius bila kita hendakkan kejayaan. Tetapi, bila sudah berjaya, buat apa serius lagi? Nikmatilah hadiah kejayaan itu hari ini. Belajarlah untuk tersenyum pada ketikanya. Esok lain cerita. Oleh kerana semalam kita mampu tersenyum setelah berjaya, tangisan esok akan dianggap sebagai sulaman dalam perjalanan menuju ke puncak.