Ada yang bertanya, kenapa saya buat catatan penulisan ini? Memang selama ini saya ada berniat hendak kongsikan apa yang saya tahu tentang penulisan, khususnya penulisan novel. Tatkala saya hendak menulis novel pertama saya, Dekat Di Hati pada tahun 2005, saya menggagau mencari buku cara menulis novel. Maklumlah sebelum itu saya tak pernah menulis novel dan tak pernah belajar komunikasi massa secara rasmi.

Meskipun saya menganjurkan kursus-kursus penulisan secara berkala untuk novelis-novelis Alaf 21 tatkala saya menerajui penerbitan itu, ia banyak menyentuh aspek seni dan ilmu pemasaran. Namun, bila diri sendiri hendak menulis sebuah novel, rupa-rupanya ilmu yang saya ada memang tak mencukupi.

Ada sedikit sahaja bahan bacaan tentang penulisan yang saya pernah tatap. Di antaranya ialah sebuah buku tipis karya Ruhi Hayat atau Ahmad Boestamam, seorang penulis dan wartawan yang seangkatan dengan wartawan-wartawan hebat seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad. Dan, buku itu saya baca ketika saya di sekolah menengah. Buku itu pun saya dah lupa judulnya. 

Saya berusaha mencari buku penulisan novel, tetapi tak jumpa buku berbahasa Melayu. Tetapi saya temui sebuah kedai kecil di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Kedai Book Xcess menjual buku-buku terpakai dan juga buku-buku import yang tidak begitu popular. Kedai itulah yang saya kerap kunjungi. 

Buku penulisan novel berbahasa Inggeris yang saya temui di situ berjudul Stein On Writing, karya Sol Stein. Buku itu memberi saya semangat untuk menulis. Akhirnya kedai itu menjadi kedai awal pilihan saya untuk mencari buku cara-cara menulis novel. Book Xcess kini berpangkalan di Tamarind Square, Cyberjaya. Malangnya saya hanya sempat sekali dua saha je sana meskipun jarak gedung buku itu dari pejabat saya tidak melebihi tiga kilometer.

Akhirnya saya temui banyak lagi buku-buku cara menulis novel di bahagian Literature, Kinokuniya KLCC. Pada suatu ketika, saya biasa duduk bersila di lantai untuk membelek buku.  Di bahagian Language MPH 1Utama,  juga saya temui banyak sekali buku mengenai teknik penulisan novel dalam bahasa Inggeris. Sayang, kedai MPH di 1Utama dah tutup.

Buku-buku itulah yang memotivasikan saya untuk menulis novel. Bila berasa sukar mendapatkan buku-buku cara menulis novel, maka saya ingin berkongsi pula dengan anda. Saya tak mahu mereka yang minat menulis berasa sukar mendapat ilmu itu. Sambil menyampaikan apa yang saya telah baca, ia meresapkan apa yang saya dah pelajari daripada buku-buku itu ke dalam sanubari saya.

Setakat ini saya punyai berpuluh buah buku mengenai cara menulis novel. Di antaranya ialah On Writing oleh Stephen King, Write Away oleh Elizabeth George, The Other Side of Me oleh Sidney Sheldon dan On Writing oleh Ernest Hemingway. Membaca karya-karya mereka seperti berguru juga dengan mereka. 

Bagaimana pun, seboleh mungkin saya tidak quote penulis sekian-sekian berkata begitu atau penulis sekian-sekian berkata begini di dalam catatan saya ini. Saya tidak mahu catatan yang saya kongsikan ini keras, kaku dan agak akademik.

Setelah membaca buku-buku itu, baharulah saya memberanikan diri untuk menulis. Membaca buku-buku mengenai penulisan seharusnya menjadi keperluan buat anda para penulis. Tidak cukup jika sekadar membaca novel-novel penulis lain untuk mendapatkan ilmu mereka.