MAAFCAKAP 1.12.2021
Telah tular tidak beberapa lama dahulu berita hidangan ikan siakap yang mencecah harga lebih RM1,000 di sebuah restoran di Langkawi. Baru-baru ini timbul pula berita mengenai seorang pelanggan yang terpaksa membayar RM100 untuk dua ekor sotong di sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang.
Samada pelanggan cuai kerana tidak menyelidik harga sebelum memesan atau restoran yang mengenakan harga mahal, kita nampak ramai di kalangan mereka yang kemaruk makan di fasa endemik Covid-19. Jika mereka pilih makanan yang simple, tentulah mereka tidak dikenakan bayaran yang sebegitu tinggi.
Cuma ironinya, tatkala serangan Covid-19 memuncak, telah berlaku fenomena kibaran bendera putih di merata negara kerana ada keluarga yang malang merayu bantuan makanan. Maknanya, ada di kalangan masyarakat kita tiada wang untuk membeli makanan. Dan, ada pula yang berduit hingga tidak berkira bila hendak makan.
Ketika lock down akibat Covid-19 pada tahun lalu, hanya kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi kerana makanan adalah di antara essential item. Oleh kerana itulah pula apabila baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan tentang kenaikan harga sayur dan beberapa pengeluar barangan makanan pula mengumumkan kenaikan harga, ia menjadi bualan rakyat.
Sekali lagi isu yang diperkatakan ialah betapa harganya dikawal oleh orang tengah. Siapakah orang tengah? Mereka adalah para pemborong. Dalam rangkaian ekosistem peruncitan, mereka memperoleh bahan makanan daripada pengeluar. Pemborong membekalkan kepada para pengedar sebelum para pengedar itu menjualnya kepada peruncit.
Pada setiap rantaian perbekalan itu, harga akan ditokok. Akhirnya, para pengguna pula yang menanggung segala kos dengan harga yang paling tinggi dalam rantaian perbekalan itu. Yang malang mendapat harga yang rendah ialah di hulu ekosistem itu iaitu golongan pengeluar. Yang terpaksa membeli dengan harga yang paling tinggi ialah golongan di hilir iaitu para pengguna.
Berbalik kepada soal makanan, laporan Mardi pada tahun 2020 menunjukkan negara kita hanya mengeluarkan 70 % bahan makanan. Namun defisit bahan makanan ialah RM16.8 bilion pada tahun 2013 dan meningkat kepada RM18.6 bilion pada tahun 2018. Defisit ini terus meningkat.
Menurut laporan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula, pada tahun 2020, kita hanya mampu mengeluarkan 70 % beras, 74 % sayur-sayuran, 78 % buah-buahan, 86 % ikan, 32 % daging dan hanya 18 % susu. Kementerian tersebut telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN), 2011-2020 setelah tiga Dasar Pertanian Negara dilaksanakan sebelum itu.
Dasar itu indah di kertas, iaitu kita boleh cukupkan pengeluaran di kesemua sektor makanan. Tetapi ia hodoh di lapangan apabila golongan pengeluar diupah dengan harga yang ciput sementara orang tengah menikmati keuntungan melalui penguasaan harga. Mangsanya ialah kita semua sebagai pengguna.
Pihak pemerintah telah cuba pelbagai cara untuk membantu golongan pengeluar iaitu para petani dan nelayan melalui agensi FAMA. Pemerintah juga telah berusaha melindungi para pengguna melalui pemantauan di lapangan melalui KPDNHEPnya. Tetapi, mengapa rakyat selalu tersentak setiap kali harga makanan meningkat secara tiba-tiba?
Cari jalan agar FAMA menjelma menjadi agensi gergasi sebagai pemborong utama negara. KPDNHEP pula harus menjadi penguatkuasa yang lebih tegas. ‘Saman dahulu, kemudian balai cerita’ harus dilaksanakan seperti penguatkuasaan SOP Covid-19. Bila tindakan tegas dan pantas, baharulah semua pihak segera patuh.
Analisa dan bertindaklah sewajarnya setelah memutuskan, apakah para pemborong ini sebuah konsortium atau segerombolan kartel?


