MAAFCAKAP 27.10.2021

Kita sedang menuju ke fasa endemik. Kita lega bila berkurangnya penularan Covid-19. Jumlah yang menerima vaksinasi sepenuhnya pada Oktober 2021 telah melebihi 80 % dan kita telah mencapai herd immunity. Apabila kian banyak negeri meningkatkan fasa dan merentas negeri serta melancong dibenarkan, maka kita semua berharap kehidupan kita kembali seperti asal.

Secara kasar, kita nampak sektor peruncitan dan kepenggunaan sedang rancak semula. Kedai runcit, mini market dan pasaraya mula sesak. Orang ramai kian selesa makan-makan dan membeli-belah. Taman-taman rekreasi dan sukan penuh dengan aktiviti berjogging, berbasikal, memancing dan apa sahaja. Semuanya hidup kembali.

Untuk pelbagai bisnes, banyak sektor-sektornya telah dihidupkan semula. Mereka yang telah lama bekerja dari rumah telah dipanggil semula ke pejabat. Mesyuarat secara online melalui Zoom dan Google Meet mula dikurangkan kerana mesyuarat secara bersemuka menjadi pilihan.

Ini menjadikan tenaga kerja bertumpu kembali ke pejabat. Jalanraya kembali sesak dan rancak. Memandu secara santai dalam keadaan jalan yang lengang telah bertukar semula dengan cara memandu secara laju. Perangai lama melanggar lampu isyarat menjadi amalan semula. Barangkali kerana masing-masing seronok dapat pulang ke tempat kerja.

Buat mereka yang telah diberhentikan kerja, kerancakan semula dunia pekerjaan harus dilalui dengan tabah. Mereka kurang bernasib baik kerana meskipun ekonomi sedang pulih, ada di antara mereka yang baharu dapat bangun dan bertatih semula demi mendapat sesuap nasi setelah menyimpan bendera putih di belakang almari.

Justeru itu, buat mereka yang masih ada kerja, walaupun telah dipotong gaji, ditangguh gaji ataupun tidak dibayar gaji ketika pandemik, anda masih bertuah kerana masih ada tempat untuk bersandar. Bekerjalah secara bersungguh-sungguh, usah bertangguh-tangguh kerana kita telah kehilangan kehidupan sebenar selama setahun setengah.

Bila kita di fasa endemik, moratorium pun tiada lagi. Si pemiutang akan datang untuk mengutip hutang yang tertangguh. Masing-masing mahu hidup, menstabil dan memajukan perusahaan masing-masing. Kerana itu, golongan majikan dan para pekerja tidak boleh berpihak-pihak dan kedudukan yang bertentangan. Atau dalam kedudukan yang bertingkat iaitu majikan pihak yang di atas dan pekerja pula pihak yang di bawah.

Sebaliknya majikan dan golongan pekerja perlu saling bergantung berganding bahu untuk menyelamatkan operasi syarikat dan seterusnya memakmurkannya. Dengan cara itu, baharulah laba akan bertambah. Ini seterusnya akan mensejahterakan kedua-dua pihak yang mana keuntungan syarikat akhirnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun dalam pada itu, kedua-dua pihak jangan sekali-kali lupa betapa mudahnya operasi syarikat lumpuh kerana pandemik. Malah, pada bila-bila masa pun keadaan boleh berulang tanpa amaran. Kerana itulah selain sama-sama menjalankan peranan masing-masing, kita jangan lupa bahawa kita hanyalah manusia yang berusaha. Hasilnya ditentunya oleh Yang Maha Mengatur.

Jika selama pandemik yang lalu, pihak majikan berpeluh dahi mencari jalan untuk melestarikan operasi syarikat. Pada kali ini usah bertepuk sebelah tangan. Bukan hanya pihak majikan sahaja yang seharusnya berdoa siang dan malam agar syarikatnya terus berdiri. Golongan pekerja yang masih bernasib baik terus mendapat rezeki dari syarikat tidak boleh hanya menyumbang mental dan fizikal.

Sebaliknya harus menyumbang tenaga spiritual melalui doa. Andainya kita yakin bahawa tempat kita mencari nafkah itu adalah tempat yang baik, kerja kita juga halal pendapatannya, mengapa kita tidak doakan sekali agar syarikat tempat kerja kita dikurniakan rezeki yang banyak? Kerana, bukankah rezeki kita sebenarnya mengalir dari pendapatan syarikat? Bisikan bingkisan doa buat majikan kita!