MAAFCAKAP 3.11.2021
Puas saya berpusing-pusing mencari kedai nasi lemaknya. Akhirnya saya temui. Saya melangkah ke restoran Amru yang baru dibuka. Sebelum ini dia berniaga dengan membuka meja di sebuah warung. Nasi lemaknya memang laris.
Dalam suasana pasca Covid-19 ini, nasi lemak punjut RM2.00nya begitu popular. Tetapi nasi lemak yang ditambah lauk sotong, kerang, ayam, rendang atau daging juga adalah kegemaran lebih separuh para pelanggannya. Sebungkus harganya tidak kurang dari RM4.00. Kata Amru, dia buat untung dengan nasi lemak berlauk.
Saban hari, jumlah pelanggannya tak pernah berkurang, terutamanya pada hari minggu. Pada satu-satu masa, jumlah yang beratur untuk membeli nasi lemaknya hingga tujuh orang. Amru, isteri dan dua orang pembantunya memang tak menang tangan.
Agaknya kerana berasa sudah buat untung dan hendak merasa bertapak dalam berniaga, maka Amru berpindah ke sebuah kawasan rumah kedai. Di sinilah masalahnya bermula. Pertama, restorannya berada di kawasan berparkir. Jika selama ini, pembeli hanya parkir menyenget di bahu jalan untuk ke gerai lamanya, kini seseorang perlu masuk ke kawasan parkir berbayar.
Akibatnya, jumlah pelanggannya jauh merosot. Ketika saya bersarapan, jumlah pengunjung yang datang menjamu selera atau membeli secara bungkus tidak sampai 10 orang dalam masa setengah jam. Sehinggakan Amru sempat duduk bersembang dengan saya. Pendapatan kasarnya hingga RM1,500 sehari sebelum ini merosot menjadi sekitar RM700 dalam sehari.
Dengan lot ruang kedai, dicampur dengan gaji pekerja, kos renovasi, kerusi meja termasuk segala peralatan dapur dan pinggan mangkuk, kini Amru terpaksa menggunakan wang simpanannya pula untuk membiayai perniagaan yang sebelum ini cukup menguntungkan. Kini Amru bekerja bukannya untuk mengumpul untung, sebaliknya untuk membayar hutang. Dia mengaku dia tersilap langkah dan terpaksa mendepaninya.
Banyak perniagaan kecil pada hari ini yang tak menyempat bergaya hebat. Sepatutnya kita kena bertahan dahulu. Pandemik belum berlalu sepenuhnya. Mana tahu, (nauzubillah) PKP diisytihar semula sekiranya Covid-19 menular kembali?
Dalam tempoh pandemik ini, ramai yang sudah terbiasa membeli makanan secara atas talian. Misalnya, jika mereka mahu membeli mi goreng, mereka hanya melihat gambar hidangan dan harga sahaja. Samada ia ditawarkan oleh individu di rumah, di gerai mahupun di restoran besar semuanya tampak sama. Yang penting buat mereka ialah makanan yang sedap dengan harga yang berpatutan. Jadi, tak perlu ada restoran besar untuk bisnes yang kecil.
Imej perniagaan hanya perlu dibina secantiknya di alam maya di mana jendelanya boleh dicapai dan diintai oleh potensi pelanggan dengan lebih cepat. Jika dalam bisnes perkhidmatan kepakaran, tidak perlu juga menyewa ruang pejabat di segi tiga emas. Sewa sahaja alamat pejabat di kawasan berprestij dan ia cukup untuk membina imej hebat bagi sesebuah bisnes. Pertemuan bisa diatur di pejabat yang disewa ataupun di kafe sahaja.
Padang permainan membina imej bisnes sudah beralih di media sosial. Sesebuah bisnes hanya perlu membuka akaun di Facebook, Tiktok, Twitter, Instagram, Shopee, Lazada dan laman web. Dalam waktu yang singkat, sesebuah bisnes itu sudah membuka beberapa buah premis, meskipun ia hanya menyulam di antara imej realiti dan ilusi. Inilah magis dalam membina imej dan persepsi perniagaan cara terkini.
Cara lama bisnes ala-kapitalis ialah membuka pejabat besar, membina wisma-wisma dengan jenama yang besar, membeli, membeli dan membeli aset dengan cara hutang bank. Mana ada bisnes yang begitu bebas hutang? Apakah ahli bisnes yang menerajui bisnes itu jutawan atau ‘jutatang’ (jutawan hutang)?