Di Sebalik Takdir: Kisah Perjuangan Panjang Seorang Gadis
AZIZAH IZAH adalah nama baru yang menyinari gelanggang penulisan novel di tanahair. Oleh kerana keadaan dan masa, hampir dua dekad manuskrip sulungnya terperap. Dalam pada itu, beliau masih menyimpan hasrat menjadi seorang novelis.
Beliau menyertai pelbagai kursus dan program penulisan. Akhirnya Azizah berjaya melahirkan karya sulungnya yang diterbitkan oleh Layar Minda Publications. Mari kita berkenalan dengan beliau…
Boleh ceritakan sedijkit latarbelakang saudari?
Saya anak Pahang. Saya membesar, bersekolah rendah dan menengah di Lanchang, Pahang. Saya memperoleh Diploma Kesetiausahaan dan juga Sijil Asuhan Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Saya pernah dapat dua tawaran menyambung belajar di Akademi Seni Kebangsaan dan Sijil Penulisan Kreatif di USM. Tetapi, atas beberapa faktor, saya terpaksa menolak tawaran itu.
Bagaimana pula dengan pengalaman bekerja?
Saya mempunyai pelbagai pengalaman bekerja. Apa sahaja saya buat. Saya pernah jadi Guru Sandaran, Promoter di Kedai Buku Men Men, Mentakab, bekerja di Farmasi Georges, Pernas Edar di Petaling Jaya, Selangor serta Felcra Niaga. Saya juga pernah bertugas di sebuah syarikat penilaian hartanah Rahim & Co.
Kini, saudari bertugas di mana?
Sekarang ni saya bekerja sendiri. Saya buka sebuah kedai kecil di bandar Temerloh. Selain menyediakan minuman dan kuih muih, saya juga menjual sambal hitam, kek lapis, kek buah, kekacang, keropok dan kerepek. Saya juga menjadi ejen sambal resepi Sangdewi, sabun Pasti Mantop dan produk Monstr.
Kadang-kadang saya sertai pelbagai karnival jualan. Di tempat-tempat itu saya bawa juga buah-buahan dan sayur kampung seperti serai dan pisang. Saya juga merupakan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia. Ya, saya juga merupakan Ketua Pusat Wahidah, AIM di Blok Mentakab di Cawangan Temerloh Pahang.




Apa yang mencetuskan DI SEBALIK TAKDIR?
Saya menulis agar dapat beristiqamah dalam kerjaya. Maksud saya sebagai pemberi semangat. Bidang pekerjaan yang saya ceburi ada banyak cabaran. Saya pernah berada dalam satu persekitaran yang sangat menekan sehingga tercetusnya perasaan hendak menulis yang berkobar-kobar.
Pada banyak keadaan, penulisan juga menjadi terapi memujuk diri bila berdepan dengan masalah kerja. Sememangnya menulis adalah sebuah terapi yang membantu saya mengukuhkan jiwa.
Penulis biasanya menyelitkan diri di dalam karyanya. Di mana diri saudari di dalam DI SEBALIK TAKDIR?
Ada juga sedikit. DST adalah adunan cerita yang terselit pengalaman saya sendiri.
Apakah saudari ada belajar menulis dengan mana-mana institusi atau penulis lain?
Saya rajin menyertai kursus penulisan yang di antaranya di bawah bimbingan penulis Norden Mohamed dan juga Ramlee Awang Murshid.
SINOPSIS DI SEBALIK TAKDIR
Oleh kerana keputusan SPMnya yang kurang baik, Nazirah mula bekerja di sebuah syarikat membekal baja. Sikapnya yang rajin menyebabkan dia dinaikkan pangkat. Tetapi dia diarah berpindah untuk bertugas ke kota. Di sinilah segalanya bermula apabila dia mengenali Farid. Lelaki yang sentiasa hadir di sisinya hanya dianggap sebagai kawan.
Kemunculan Hisyam, guru sementara sewaktu Nazirah bersekolah memekar kembali angan-angannya. Meskipun Hisyam sudah mengikat kasih dengan Salina, kehadiran Nazirah membuat cintanya beralih arah.
Sebaik sahaja mengetahui Hisyam sudah berpunya, Nazirah berhasrat mengundur diri. Namun, tindakannya dihalang lelaki itu. Salina pula tidak mahu melepaskan Hisyam ke tangan Nazirah. Dan, Farid yang muncul dianggap sebagai batu penghalang oleh Hisyam. Dan Nazirah mula tertanya dengan keikhlasan Farid sebagai kawan.
Buku: Jangan Sinar Menjadi Sirna
MAAFCAKAP 15.6.2022
Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) baru sahaja berlalu. Ia meninggalkan kenangan manis buat ramai. Para pembaca dapat melepaskan kemaruk ke pesta meriah, besar dan menyeronokkan.
Dalam tempoh seminggu ini, ramai staf penerbit sedang memunggah kotak-kotak buku dari lori dan van sekembalinya dari WTC. Stok buku dikira dan untung rugi dicongak Staf yang jatuh demam akibat keletihan akan berehat. Namun, sebahagian besar daripada para petugas syarikat-syarikat penerbitan kini mengukir senyuman puas.
Bukan sedikit berita dan cerita yang kita baca mengenai buku-buku yang laris, malah rak di beberapa reruai didapati kosong kerana buku-buku habis ‘disapu’ peminat. Barisan untuk membayar jadi berjela hingga melimpah ke ruang laluan.
Kebanyakan penerbit sudah membina jenama dan barisan penulis sendiri. Oleh kerana acara di pentas utama telah penuh, mereka buat sahaja temubual dengan penulis di reruai mereka. Cocok wayar pembesar suara di speaker mudah alih dan bergemalah sebentar suara penggiat buku di sebuah freruai sebelum ditenggelamkan suara dari speaker di reruai sebelah.
Barangkali ada penerbit sedang melakukan post-mortem. Walau apa pun, di sebalik aura positif yang menyelimuti ke seluruh tapak PBAKL 2022 itu, apakah ia menjamin potensi cemerlang industri apabila ditelah berdasarkan sambutan orang ramai?
Seperti mana-mana industri lain, industri buku tidak terkecuali mengalami fragmented market atau pasaran yang terserpih dan berkecai. Medium pemasaran sudah pelbagai. Media arus perdana seperti radio, televisyen, akhbar dan majalah sudah hilang arusnya kerana salurannya sudah kering. Maknanya, pengiklanan buku di media perdana bukan menjadi pilihan penerbit lagi kerana ia bukan media kegemaran para peminat buku.
Pemasaran langsung seperti pengagihan risalah atau hebahan melalui siaraya di tapak pestabuku sudah tidak lagi memberi impak. Sebaliknya pemasaran melalui media sosial yang muncul di telefon bimbit individu menjadi medan perang pemasaran mutakhir dalam industri buku.
Jenama media sosial pun sudah ada banyak. Katanya, Tiktok kini menjadi pilihan membina kabilah (tribe). Begitu juga dengan Twitter yang kekal popular kerana retweetnya membina gelombang pengikut. Meskipun Facebook kekal paling popular di Malaysia pada tahun ini dengan 21.7 juta pelanggan, ia tidak semestinya menjadi pilihan utama para peminat buku.
Orang kata, yang tidak berubah itu adalah perubahan itu sendiri. Ertinya, perubahan tidak akan berhenti. Maka perubahan inilah yang wajib menjadi bacaan para pemain industri buku. Pada hari-hari akhir PBAKL, ada penerbit mengumumkan bahawa buku-buku tidak dapat dicetak sepenuhnya berikutan dengan kekurangan kertas di pihak pencetak.
Khabarnya, perang Ukraine-Russia telah memberi kesan kepada jadual pelayaran kertas. Jadi, kertas tak sampai dan tidak mencukupi. Perang itu belum tamat lagi dan persoalan yang bakal timbul kelak ialah kenaikan harga kertas dan tentunya harga buku. Ini akan menghadkan pembelian buku bagi setiap individu.
Apakah e-buku menjadi pilihan? Membaca buku fizikal itu maaf cakap umpama makan menggunakan pinggan kaca sedangkan membaca e-buku seperti makan menggunakan pinggan kertas. Rasa tetap sedap, tetapi seronoknya kurang. Menurut sumber dari sebuah syarikat e-buku terkenal jumlah pembaca e-bukunya meningkat dari 200,000 menjadi 700,000 sejak pandemik.
Jika penerbit boleh beralih taktik pemasaran terkini melalui media sosial, mereka harus bersedia untuk menggiatkan jualan e-buku. Meskipun banyak penerbit telah berbuat demikian, namun banyak penerbit yang masih menjual e-buku dengan harga yang agak tinggi iaitu tidak kurang dari 30 % dari harga buku fizikal.
Pihak penerbit boleh melihat jualan e-buku sebagai bonus pendapatan. Yang penting, para peminat buku terus membeli buku dan industri buku dari keseluruhannya tetap punyai masa depan yang bersinar dan bukannya menjadi sirna akibat pemain industri tidak mahu akur dengan tuntutan pasaran.
Novelis Dihukum Membunuh Suaminya
Seorang novelis telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh suaminya. Yang menariknya, sedekad sebelum itu, novelis tersebut pernah mengadakan satu sesi sumbang saran (brainstorming) dengan beberapa orang penulis lain mengenai ‘bagaimana seseorang itu boleh membunuh tanpa boleh meninggalkan kesan.’
Pihak juri di Portland, Oregon, AS menjatuhkan hukuman kepada novelis swaterbit Nancy Crampton-Brophy, 71. Dua belas ahli juri mendapati novelis itu bersalah kerana menembak dan membunuh suaminya Daniel Brophy.
Daniel Brophy, 63, adalah seorang Chef sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja apabila kejadian berlaku. Nancy tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhkan. Bagaimana pun, peguam pembelanya akan membuat rayuan.
Di antara pembuka konten kertas sesi sumbang saran di dalam blog Nancy berbunyi, ‘Sebagai seorang novelis thriller, saya kerapkali memikirkan tentang pembunuhan dan prosedur penyiasatan polis. Saya tidak mahu masuk penjara kerana warna oren (pakaian banduan) bukan warna kegemaran saya.’


Catatan Nancy menggariskan motif pembunuhan yang di antaranya ialah ‘kewangan, pembohongan dan khianat. Kaedahnya ada pelbagai seperti menggunakan pisau ‘yang perlukan si pembunuh mendekati mangsa dan darah juga akan terpercik ke merata tempat.’ Racun, ‘walaupun senjata bagi kaum wanita, tetapi ia mudah dikesan.’ Senjata api pula ‘bising dan perlukan sedikit kemahiran.’
Betapa pun, hakim mahkamah Christopher Ramras tidak menggunakan catatan itu kerana ia telah ditulis berbelas tahun yang lalu. Bagaimana pun, Nancy mempunyai model pistol yang sama dengan model pistol yang digunakan untuk membunuh suaminya.
Memang pelik, pihak polis tidak menemui pistol yang digunakan untuk membunuh Brophy.
Kes Nancy Crampton-Brophy ini begitu menarik sebagai sebuah berita dan cerita. Namun ia menakutkan dari segi realitinya. Apakah beliau terpengaruh dengan tulisannya sendiri? Novelis thriller ini menulis kisah jenayah seperti Hell on the Heart, The Wrong Husband dan juga The Wrong Cop.
Apakah novel-novel berani ini mempengaruhinya untuk merangka perbuatan jenayahnya? Barangkali golongan novelis sendiri boleh memberikan jawapan apakah tulisan mereka mampu mempengaruhi pemikiran dan emosi mereka sendiri.
Layar Eksklusif PBAKL 2022: Patriots Publishing
PATRIOTS PUBLISHING adalah di antara pemain baharu dalam industri buku negara. Bermula sebagai sebuah portal, syarikat yang mempunyai warga kerja seramai 30 orang ini tidak menumpukan penerbitannya untuk buku-buku popular, sebaliknya buku-buku yang serius. Ikuti temubual ringkas Layarminda dengan Chief Revenue Officernya, Saudara Helmi Effendy.
Boleh saya tahu apa tugas saudara Chief Revenue Officer di Patriots Publishing?
Chief Revenue Officer, bertanggung jawab ke atas pendapatan syarikat dengan mencari sumber baharu. Ia merangkumi aktiviti jualan, pemasaran, khidmat pelanggan dan juga pengurusan pendapatan.
Saya ikuti perkembangan Patriots. Tahun ini, jumlah reruai nampaknya makin bertambah…
Ini tahun ketiga kami di PBAKL. Tahun pertama, 2018, kami ambil satu gerai. Tahun 2019… dua dan pada tahun 2022 ini kami ambil lima! Bila ambil dua gerai, tempat kami nampak sesak. Kami tambah gerai kerana kami utamakan keselesaan pembeli dan pembaca kami.
Bagaimana sambutan pada PBAKL kali ini?
Buku sejarah nampaknya laku. Yang paling top sekarang ialah buku ‘Kitab Tamadun Jepun.’ Yang kedua buku sains iaitu ‘Genesis II dan yang ketiga buku fiksyen ‘Terhempasnya Pesawat MH747.’




Khalayak pembaca Patriots adalah berbeza dari khalayak di penerbitan yang lain. Khalayak ini datang dari segmen mana? Siapakah khalayak anda?
Data-data dari kami menunjukkan kebanyakan mereka berusia 18-35 tahun. Mereka pelajar universiti dan juga kelas kerja pertengahan seperti pegawai kerajaan, doktor dan juga peguam. Golongan ini ada duit lebih dan masa untuk membaca.
Pada asalnya mereka ini adalah khalayak pembaca portal kami. Mereka pencari ilmu. Pada mulanya mereka baca artikel-artikel dan juga sebahagian daripada novel-novel secara percuma. Kemudian bila mereka datang ke gerai kami untuk mendapatkan buku-buku kami pula. Ramai yang datang ke pestabuku akan ke mari dahulu sebelum ke tempat lain.
Apakah respon mereka dengan Patriots?
Mereka beri maklumbalas dengan emel kepada kami. Kami juga akan perhatikan reviu buku dan pendapat mereka. Kami juga buat survei bentuk kulit buku yang mereka minati. Kadangkala kami akan tukar kulit buku bila mendapat maklumbalas pembaca.
Apakah jenis novel fiksyen yang menjadi genre Patriots? Apakah novel cinta atau novel hantu…
Pembaca kami meminati fiksyen fantasi seperti ‘Puteri Lindungan Bulan.’ Kami tak sangka karya-karya fantasi Melayu yang sebegini boleh mencecah melebihi 10,000 naskhah jualan.
Namun fiksyen fantasi ini bersandarkan kepada sejarah dan kepercayaan Melayu seperti kerajaan-kerajaan Melayu yang difantasikan.
Jadi rupa-rupanya ada crowd yang sukakan fantasi. Mereka dah baca sejarah. Bilamana datang buku fantasi dan kisah lampau berunsur sejarah, secara automatik mereka suka.
Bagaimana dengan sambutan e-buku berbanding dengan buku fizikal?
Pembaca masih mahukan buku-buku fizikal. Kami ada juga e-buku, tapi tak pergi jauh berbanding dengan buku fizikal.
Kenapa buku fizikal tetap menjadi pilihan?
Bila dapat buku fizikal, pembaca dapat pegang, dapat hidu bau buku. Kalau e-buku, tak dapat rasa apa-apa kecuali membaca sahaja.
Apakah saudara berasakan bahawa dunia membaca di Malaysia masih berkembang?
Masih. Orang masih membaca. Kalau kena dengan branding dan dengan marketing yang betul, orang akan cari.
Buku-buku pilihan mereka pun buku berat, bukannya buku ringan, contohnya Sun Tzu, seni peperangan dan karya Machiavelli boleh laris mencecah jualan 2,000 – 3,000 unit. Orang kata buku terjemahan itu berat. Tapi orang tak tau sebenarnya khalayak itu ada di Malaysia.
Apa perancangan selepas PBAKL?
Dari ‘Siri Tamadun’ yang kami terbitkan, kami akan perbanyakkan lagi untuk terbitkan buku misalnya Kitab Tamadun Korea, Kitab Tamadun Yahudi, Kitab Tamadun India dan banyak lagi.
Kami ada perancangan untuk terbitkan buku-buku terjemahan ilmiah dalam kategori ‘Patriot Klasik,’ karya fiksyen di bawah ‘Mahakarya Klasik’ dan juga ada perancangan untuk terbitkan buku kanak-kanak.
- Layarminda
Mari Barakan Semangat Membaca
MAAFCAKAP 8.6.2022
Hari kedua Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur; Sabtu, 4 Jun. Pagi-pagi lagi, pada hujung minggu itu, para peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk menuju ke reruai penerbitan-penerbitan yang mereka gemari.
Sebahagian besar daripada mereka sudah ada senarai di dalam kepala, buku-buku apakah yang hendak dibeli. Dewan akan mulai sesak dengan para peminat buku mulai jam 11.00 pagi hinggalah selepas maghrib.
Deja vu? Iya, deja vu pra-Covid-19. Inilah suasana di pestabuku sebelum pandemik itu melanda. Pada setiap tahun, jumlah para pengunjung ke Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur ({BAKL) biasa mencecah melebihi sejuta orang. Mereka datang menaiki komuter, tren LRT, berkenderaan sendiri dan juga dengan perkhidmatan Grab. Tidak kurang dari kalangan mereka datang berulang kali untuk membeli buku-buku yang diingini.
Keadaan jauh berbeza pada PBAKL di tahun 2019, 2020 dan juga 2021. Pada tahun-tahun itu, pestabuku diberi nama ‘pesta buku edisi khas’ iaitu pesta buku secara maya berikutan dengan pandemik Covid-19. Peminat buku tidak teruja dengan cara membeli buku secara online. Maka jadilah pestabuku maya yang tidak bermaya.
Fasa endemik benar-benar membuka tirai pestabuku menjadi pesta kembali. Suasana meriah dan hingar-bingar kembali bila para pengunjung berpusu-pusu dan berasak-asak di reruai syarikat penerbitan yang mengadakan acara pelancaran atau diskusi buku dengan para penulis mereka.
Nampaknya, para peminat buku lebih gemarkan buku fizikal daripada e-buku. Meskipun dikatakan jualan bagi syarikat-syarikat e-buku meningkat melebihi 100 % pada tahun-tahun Covid-19 melanda, ia berlaku untuk memenuhi ketagihan membaca.
Apabila tiada lagi penguatkuasaan SOP Covid-19, mereka datang kembali ke World Trade Centre, seolah-olah ia adalah sebuah pilgrimage tahunan buat peminat buku. Mereka mahu memegang buku, menghidu bau dakwat, melarikan jejari di permukaan kertas dan seronok memeluk buku yang dibeli.
Apa jadi dengan e-buku? Jualannya lembab kembali. Sekurang-kurangnya tiga pemain industri mengesahkan gambaran bahawa jualan e-buku sudah menurun. Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin mengatakan bahawa jualan e-buku sudah tidak menjadi perhatian utama para peminat buku.
Nada ini turut disuarakan oleh Chief Revenue Officer, Patriot Publishing, Encik Helmi Effendy. Katanya jualan e-buku syarikatnya hanya sekitar 10 peratus berbanding dengan buku-buku fizikal.
Penurunan jualan e-buku juga diulas oleh Brother Farid Ullah, tuanpunya Dakwah Corner, sebuah penerbitan yang mempunyai rangkaian bisnes di United Kingdom, Pakistan dan Arab Saudi. Katanya, reruainya di pestabuku terletak berhampiran dengan tiga buah syarikat e-buku. Namun jualan buku-buku fizikalnya kelihatan lebih laris dari syarikat-syarikat itu. Peminat-peminat buku lebih ramai berkerumun di reruainya.
Kini keterujaan peminat buku untuk ke Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah satu fenomena nasional. Semua pihak dari para pembaca, penjual, penerbit, penulis dan pelukis tersenyum lebar dengan sambutan orang ramai.
Tidak syak lagi masyarakat pembaca di Malaysia sememangnya meminati buku. Oleh kerana itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan pelbagai pihak dalam industri buku wajib mengadakan jerayawara ke segenap ibu negeri di Malaysia.
Jadikan ia sirkit tahunan. Pada setiap bulan, pestabuku diadakan bergerak di setiap negeri. Para penerbit buku di negeri-negeri dan syarikat penganjur acara boleh diberi tanggungjawab melaksanakannya dengan sokongan kerajaan-kerajaan negeri. Semua pihak akan mengalu-alukannya. Mulakan sekarang, ketika bahang PBAKL masih panas. jadikan tabiat membaca, membara di sepanjang tahun!


