MAAFCAKAP 8.6.2022

Hari kedua Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur; Sabtu, 4 Jun. Pagi-pagi lagi, pada hujung minggu itu, para peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk menuju ke reruai penerbitan-penerbitan yang mereka gemari.

Sebahagian besar daripada mereka sudah ada senarai di dalam kepala, buku-buku apakah yang hendak dibeli. Dewan akan mulai sesak dengan para peminat buku mulai jam 11.00 pagi hinggalah selepas maghrib.

Deja vu? Iya, deja vu pra-Covid-19. Inilah suasana di pestabuku sebelum pandemik itu melanda. Pada setiap tahun, jumlah para pengunjung ke Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur ({BAKL) biasa mencecah melebihi sejuta orang. Mereka datang menaiki komuter, tren LRT, berkenderaan sendiri dan juga dengan perkhidmatan Grab. Tidak kurang dari kalangan mereka datang berulang kali untuk membeli buku-buku yang diingini.

Keadaan jauh berbeza pada PBAKL di tahun 2019, 2020 dan juga 2021. Pada tahun-tahun itu,  pestabuku diberi nama ‘pesta buku edisi khas’ iaitu pesta buku secara maya berikutan dengan pandemik Covid-19. Peminat buku tidak teruja dengan cara membeli buku secara online. Maka jadilah pestabuku maya yang tidak bermaya.

Fasa endemik benar-benar membuka tirai pestabuku menjadi pesta kembali. Suasana meriah dan hingar-bingar kembali bila para pengunjung berpusu-pusu dan berasak-asak di reruai syarikat penerbitan yang mengadakan acara pelancaran atau diskusi buku dengan para penulis mereka.

Nampaknya, para peminat buku lebih gemarkan buku fizikal daripada e-buku. Meskipun dikatakan jualan bagi syarikat-syarikat e-buku meningkat melebihi 100 % pada tahun-tahun Covid-19 melanda, ia berlaku untuk memenuhi ketagihan membaca.

Apabila tiada lagi penguatkuasaan SOP Covid-19, mereka datang kembali ke World Trade Centre, seolah-olah ia adalah sebuah pilgrimage tahunan buat peminat buku. Mereka mahu memegang buku, menghidu bau dakwat, melarikan jejari di permukaan kertas dan seronok memeluk buku yang dibeli.

Apa jadi dengan e-buku? Jualannya lembab kembali. Sekurang-kurangnya tiga pemain industri mengesahkan gambaran bahawa jualan e-buku sudah menurun. Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin mengatakan bahawa jualan e-buku sudah tidak menjadi perhatian utama para peminat buku.

Nada ini turut disuarakan oleh Chief Revenue Officer, Patriot Publishing, Encik Helmi Effendy. Katanya jualan e-buku syarikatnya hanya sekitar 10 peratus berbanding dengan buku-buku fizikal.

Penurunan jualan e-buku juga diulas oleh Brother Farid Ullah, tuanpunya Dakwah Corner, sebuah penerbitan yang mempunyai rangkaian bisnes di United Kingdom, Pakistan dan Arab Saudi. Katanya, reruainya di pestabuku terletak berhampiran dengan tiga buah syarikat e-buku. Namun jualan buku-buku fizikalnya kelihatan lebih laris dari syarikat-syarikat itu. Peminat-peminat buku lebih ramai berkerumun di reruainya. 

Kini keterujaan peminat buku untuk ke Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah satu fenomena nasional. Semua pihak dari para pembaca, penjual, penerbit, penulis dan pelukis tersenyum lebar dengan sambutan orang ramai.

Tidak syak lagi masyarakat pembaca di Malaysia sememangnya meminati buku. Oleh kerana itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan pelbagai pihak dalam industri buku wajib mengadakan jerayawara ke segenap ibu negeri di Malaysia.

Jadikan ia sirkit tahunan. Pada setiap bulan, pestabuku diadakan bergerak di setiap negeri. Para penerbit buku di negeri-negeri dan syarikat penganjur acara boleh diberi tanggungjawab melaksanakannya dengan sokongan kerajaan-kerajaan negeri. Semua pihak akan mengalu-alukannya. Mulakan sekarang, ketika bahang PBAKL masih panas. jadikan tabiat membaca, membara di sepanjang tahun!