Novelis Aisya Sofea kembali dengan DIA BUKAN ILUSI untuk tahun 2022. Namun naskhahnya kali ini lain daripada novel-novelnya sebelum ini. Apa yang lainnya? Ikuti temubual Layarminda dengan Aisya Sofea…

Tahniah dengan terbitnya DIA BUKAN ILUSI (DBI). Sebelum bertanya panjang, apakah novel ini ada di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur nanti?
Insya-ALLAH novel ini ada di Pestabuku Kuala Lumpur. Saya pamer di reruai Love Novel Publishing.

Aisya menulis sejak 1997 dengan novel pertama, JAUH. DBI ini novel ke berapa?

Saya sudah menulis 17 naskhah novel. Tiga swaterbit termasuk DBI. Ini novel ke-20.

Boleh cerita sikit tentang DBI?

Cerita ini ada belok sikit dari biasa. Selalunya cerita saya straight forward di alam nyata. Tapi DBI ada permainan mimpi, ada kisah ilusi dan ada garapan realiti. 

Oleh kerana garapannya berbeza dengan novel-novel lain, apa perasaan Aisya bila menyiapkan novel ini?

DBI mencabar kredibiliti saya sebagai penulis sebab ia melibatkan tiga dimensi iaitu mimpi, ilusi dan realiti.  Apabila berbicara tentang mimpi, apakah mempercayai mimpi itu boleh atau salah? Tapi bila mimpi yang biasanya menjadi mainan tidur itu jadi realiti, itulah isu yang cuba saya mainkan untuk para pembaca fikirkan.

Sukar juga bermain dengan tiga dimensi. Saya percaya ia memenatkan…

Memang meletihkan. Sementelah ada babak mimpi yang biasanya bebas daripada hukum akal, saya takut terlanjur dan terbebas melanggar batasan moral. Mujurlah ada Encik Suami, Wan yang tolong tengok-tengokkan.  

Barangkali, garapan yang berbeza ini menarik crowd yang baharu atau bagaimana?

Saya boleh setuju sebab saya dapat maklum balas daripada pembaca lelaki yang sukakan karya saya yang ini. Mereka mula bersuara! Selama ini, pembaca lelaki memang ada membeli karya-karya saya, tetapi mereka tak pernah komen seperti DBI! Ada yang kata, ‘This is something different! I suka!’

Kalau begitu, Aisya kenalah tulis dua buah novel setahun. Yang pertama guna formula yang asal. Yang kedua, gunakan formula yang berencah. Satu yang ORI, satu lagi yang SPICY!

No cannot! Ha, ha, ha… Mana ada masa…

Selain dari terpamer di Pestabuku, apakah DBI terjual di Shopee atau IG, misalnya?

Memang… Saya buat di FB dan IG. Untuk Shopee pula sellers saya yang buat. Saya beri mereka laluan untuk menjual. Lagi pun, saya pun ada banyak benda nak buat seperti membuat DBI dalam format e-buku untuk e-central.

Apakah Aisya akan tampil di Pestabuku?

Tengok dulu. Mungkin saya akan datang sekali dua.  Tapi kalau ada peminat yang cari saya bila di sana, tentu sekali saya akan sain buku.

Bagaimana dengan harganya? Tentu ramai yang hendak tahu.

Harganya RM35. Lebih tebal daripada novel-novel saya sebelum ini yang biasanya sekitar 500 halaman. Tapi novel ini melebihi 620 halaman.

Aisya menawarkan novel ini secara online. Bagaimana sambutan para peminat setakat ini?

Kali ini tak sekencang novel-novel sebelum ini. Barangkali pembaca tegar saya meminati kisah yang lebih romantik, yang lovey-dovey. Itu yang saya nampak. Tapi kalau novel ini yang lain sikit dan timbulkan isu, sambutannya slow sedikit. Maklumlah ramai yang mulai mengenali dan menyukai karya saya seperti Jauh, Sehangat Asmara, Kau Untukku dan Terima Kasih Cinta.

Bila akan siap buku seterusnya?

Tahun 2023, insya-ALLAH. 

Janganlah tinggalkan formula SPICY seperti DBI. 

Saya akan hati-hati. Takut juga kalau-kalau peminat setia saya merajuk tak mahu baca lagi karya saya…

 ~ LayarMinda