PATRIOTS PUBLISHING adalah di antara pemain baharu dalam industri buku negara. Bermula sebagai sebuah portal, syarikat yang mempunyai warga kerja seramai 30 orang ini  tidak menumpukan penerbitannya untuk buku-buku popular, sebaliknya buku-buku yang serius. Ikuti temubual ringkas Layarminda dengan Chief Revenue Officernya, Saudara Helmi Effendy.

Boleh saya tahu apa tugas saudara Chief Revenue Officer di Patriots Publishing?

Chief Revenue Officer, bertanggung jawab ke atas pendapatan syarikat dengan mencari sumber baharu. Ia merangkumi aktiviti jualan, pemasaran, khidmat pelanggan dan juga pengurusan pendapatan. 

Saya ikuti perkembangan Patriots. Tahun ini, jumlah reruai nampaknya makin bertambah…

Ini tahun ketiga kami di PBAKL. Tahun pertama, 2018, kami ambil satu gerai. Tahun 2019… dua dan pada tahun 2022 ini kami ambil lima! Bila ambil dua gerai, tempat kami nampak sesak. Kami tambah gerai kerana kami utamakan keselesaan pembeli dan pembaca kami.

Bagaimana sambutan pada PBAKL kali ini? 

Buku sejarah nampaknya laku. Yang paling top sekarang ialah buku ‘Kitab Tamadun Jepun.’ Yang kedua buku sains iaitu ‘Genesis II dan yang ketiga buku fiksyen ‘Terhempasnya Pesawat MH747.’ 

Khalayak pembaca Patriots adalah berbeza dari khalayak di penerbitan yang lain. Khalayak ini datang dari segmen mana? Siapakah khalayak anda?
Data-data dari kami menunjukkan kebanyakan mereka berusia 18-35 tahun. Mereka pelajar universiti dan juga kelas kerja pertengahan seperti pegawai kerajaan, doktor dan juga peguam. Golongan ini ada duit lebih dan masa untuk membaca. 

Pada asalnya mereka  ini adalah khalayak pembaca portal kami. Mereka pencari ilmu. Pada mulanya mereka baca artikel-artikel dan juga sebahagian daripada novel-novel secara percuma. Kemudian bila mereka datang ke gerai kami untuk mendapatkan buku-buku kami pula. Ramai yang datang ke pestabuku akan ke mari dahulu sebelum ke tempat lain. 

Apakah respon mereka dengan Patriots?

Mereka beri maklumbalas dengan emel kepada kami. Kami juga akan perhatikan reviu buku dan pendapat mereka. Kami juga buat survei bentuk kulit buku yang mereka minati. Kadangkala kami akan tukar kulit buku bila mendapat maklumbalas pembaca.

Apakah jenis novel fiksyen yang menjadi genre Patriots? Apakah novel cinta atau novel hantu…

Pembaca kami meminati fiksyen fantasi seperti ‘Puteri Lindungan Bulan.’ Kami tak sangka karya-karya fantasi Melayu yang sebegini boleh mencecah melebihi 10,000 naskhah jualan.

Namun fiksyen fantasi ini bersandarkan kepada sejarah dan kepercayaan Melayu seperti kerajaan-kerajaan Melayu yang difantasikan. 

Jadi rupa-rupanya ada crowd yang sukakan fantasi. Mereka dah baca sejarah. Bilamana datang buku fantasi dan kisah lampau berunsur sejarah, secara automatik mereka suka.

Bagaimana dengan sambutan e-buku berbanding dengan buku fizikal?

Pembaca masih mahukan buku-buku fizikal. Kami ada juga e-buku, tapi tak pergi jauh berbanding dengan buku fizikal. 

Kenapa buku fizikal tetap menjadi pilihan? 

Bila dapat buku fizikal, pembaca dapat pegang, dapat hidu bau buku. Kalau e-buku, tak dapat rasa apa-apa kecuali membaca sahaja.

Apakah saudara  berasakan bahawa dunia membaca di Malaysia masih berkembang?

Masih. Orang masih membaca. Kalau kena dengan branding dan dengan marketing yang betul, orang akan cari. 

Buku-buku pilihan mereka pun buku berat, bukannya buku ringan, contohnya Sun Tzu, seni peperangan dan karya Machiavelli boleh laris mencecah jualan 2,000 – 3,000 unit. Orang kata buku terjemahan itu berat. Tapi orang tak tau sebenarnya khalayak itu ada di Malaysia. 

Apa perancangan selepas PBAKL?

Dari ‘Siri Tamadun’ yang kami terbitkan, kami akan perbanyakkan lagi untuk terbitkan buku misalnya Kitab Tamadun Korea, Kitab Tamadun Yahudi, Kitab Tamadun India dan banyak lagi. 

Kami ada perancangan untuk terbitkan buku-buku terjemahan ilmiah dalam kategori ‘Patriot Klasik,’ karya fiksyen di bawah ‘Mahakarya Klasik’ dan juga ada perancangan untuk terbitkan buku kanak-kanak.

  • Layarminda