MAAFCAKAP 15.6.2022
Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) baru sahaja berlalu. Ia meninggalkan kenangan manis buat ramai. Para pembaca dapat melepaskan kemaruk ke pesta meriah, besar dan menyeronokkan.
Dalam tempoh seminggu ini, ramai staf penerbit sedang memunggah kotak-kotak buku dari lori dan van sekembalinya dari WTC. Stok buku dikira dan untung rugi dicongak Staf yang jatuh demam akibat keletihan akan berehat. Namun, sebahagian besar daripada para petugas syarikat-syarikat penerbitan kini mengukir senyuman puas.
Bukan sedikit berita dan cerita yang kita baca mengenai buku-buku yang laris, malah rak di beberapa reruai didapati kosong kerana buku-buku habis ‘disapu’ peminat. Barisan untuk membayar jadi berjela hingga melimpah ke ruang laluan.
Kebanyakan penerbit sudah membina jenama dan barisan penulis sendiri. Oleh kerana acara di pentas utama telah penuh, mereka buat sahaja temubual dengan penulis di reruai mereka. Cocok wayar pembesar suara di speaker mudah alih dan bergemalah sebentar suara penggiat buku di sebuah freruai sebelum ditenggelamkan suara dari speaker di reruai sebelah.
Barangkali ada penerbit sedang melakukan post-mortem. Walau apa pun, di sebalik aura positif yang menyelimuti ke seluruh tapak PBAKL 2022 itu, apakah ia menjamin potensi cemerlang industri apabila ditelah berdasarkan sambutan orang ramai?
Seperti mana-mana industri lain, industri buku tidak terkecuali mengalami fragmented market atau pasaran yang terserpih dan berkecai. Medium pemasaran sudah pelbagai. Media arus perdana seperti radio, televisyen, akhbar dan majalah sudah hilang arusnya kerana salurannya sudah kering. Maknanya, pengiklanan buku di media perdana bukan menjadi pilihan penerbit lagi kerana ia bukan media kegemaran para peminat buku.
Pemasaran langsung seperti pengagihan risalah atau hebahan melalui siaraya di tapak pestabuku sudah tidak lagi memberi impak. Sebaliknya pemasaran melalui media sosial yang muncul di telefon bimbit individu menjadi medan perang pemasaran mutakhir dalam industri buku.
Jenama media sosial pun sudah ada banyak. Katanya, Tiktok kini menjadi pilihan membina kabilah (tribe). Begitu juga dengan Twitter yang kekal popular kerana retweetnya membina gelombang pengikut. Meskipun Facebook kekal paling popular di Malaysia pada tahun ini dengan 21.7 juta pelanggan, ia tidak semestinya menjadi pilihan utama para peminat buku.
Orang kata, yang tidak berubah itu adalah perubahan itu sendiri. Ertinya, perubahan tidak akan berhenti. Maka perubahan inilah yang wajib menjadi bacaan para pemain industri buku. Pada hari-hari akhir PBAKL, ada penerbit mengumumkan bahawa buku-buku tidak dapat dicetak sepenuhnya berikutan dengan kekurangan kertas di pihak pencetak.
Khabarnya, perang Ukraine-Russia telah memberi kesan kepada jadual pelayaran kertas. Jadi, kertas tak sampai dan tidak mencukupi. Perang itu belum tamat lagi dan persoalan yang bakal timbul kelak ialah kenaikan harga kertas dan tentunya harga buku. Ini akan menghadkan pembelian buku bagi setiap individu.
Apakah e-buku menjadi pilihan? Membaca buku fizikal itu maaf cakap umpama makan menggunakan pinggan kaca sedangkan membaca e-buku seperti makan menggunakan pinggan kertas. Rasa tetap sedap, tetapi seronoknya kurang. Menurut sumber dari sebuah syarikat e-buku terkenal jumlah pembaca e-bukunya meningkat dari 200,000 menjadi 700,000 sejak pandemik.
Jika penerbit boleh beralih taktik pemasaran terkini melalui media sosial, mereka harus bersedia untuk menggiatkan jualan e-buku. Meskipun banyak penerbit telah berbuat demikian, namun banyak penerbit yang masih menjual e-buku dengan harga yang agak tinggi iaitu tidak kurang dari 30 % dari harga buku fizikal.
Pihak penerbit boleh melihat jualan e-buku sebagai bonus pendapatan. Yang penting, para peminat buku terus membeli buku dan industri buku dari keseluruhannya tetap punyai masa depan yang bersinar dan bukannya menjadi sirna akibat pemain industri tidak mahu akur dengan tuntutan pasaran.