AZIZAH IZAH adalah nama baru yang menyinari gelanggang penulisan novel di tanahair. Oleh kerana keadaan dan masa, hampir dua dekad manuskrip sulungnya terperap. Dalam pada itu, beliau masih menyimpan hasrat menjadi seorang novelis.

Beliau menyertai pelbagai kursus dan program penulisan. Akhirnya Azizah berjaya melahirkan karya sulungnya yang diterbitkan oleh Layar Minda Publications. Mari kita berkenalan dengan beliau…

Boleh ceritakan sedijkit latarbelakang saudari?
Saya anak Pahang. Saya membesar, bersekolah rendah dan menengah di Lanchang, Pahang. Saya memperoleh Diploma Kesetiausahaan dan juga Sijil Asuhan Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Saya pernah dapat dua tawaran menyambung belajar di Akademi Seni Kebangsaan dan Sijil Penulisan Kreatif di USM. Tetapi, atas beberapa faktor, saya terpaksa menolak tawaran itu.

Bagaimana pula dengan pengalaman bekerja?
Saya mempunyai pelbagai pengalaman bekerja. Apa sahaja saya buat. Saya pernah jadi Guru Sandaran, Promoter di Kedai Buku Men Men, Mentakab, bekerja di Farmasi Georges,  Pernas Edar di Petaling Jaya, Selangor serta Felcra Niaga. Saya juga pernah bertugas di sebuah syarikat penilaian hartanah Rahim & Co.

Kini, saudari bertugas di mana?

Sekarang ni saya bekerja sendiri. Saya buka sebuah kedai kecil di bandar Temerloh. Selain menyediakan minuman dan kuih muih, saya juga menjual sambal hitam, kek lapis, kek buah, kekacang, keropok dan kerepek. Saya juga menjadi ejen sambal resepi Sangdewi, sabun Pasti Mantop dan produk Monstr.

Kadang-kadang saya sertai pelbagai karnival jualan. Di tempat-tempat itu saya bawa juga buah-buahan dan sayur kampung seperti serai dan pisang. Saya juga merupakan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia. Ya, saya juga merupakan  Ketua Pusat Wahidah, AIM di Blok Mentakab di Cawangan Temerloh Pahang.

Apa yang mencetuskan DI SEBALIK TAKDIR?

Saya menulis agar dapat beristiqamah dalam kerjaya. Maksud saya sebagai pemberi semangat. Bidang pekerjaan yang saya ceburi ada banyak cabaran. Saya pernah berada dalam satu persekitaran yang sangat menekan sehingga tercetusnya perasaan hendak menulis yang berkobar-kobar.

Pada banyak keadaan, penulisan juga menjadi terapi memujuk diri bila berdepan dengan masalah kerja. Sememangnya menulis adalah sebuah terapi yang membantu saya mengukuhkan jiwa.

Penulis biasanya menyelitkan diri di dalam karyanya. Di mana diri saudari di dalam DI SEBALIK TAKDIR?
Ada juga sedikit. DST adalah adunan cerita yang terselit pengalaman saya sendiri.

Apakah saudari ada belajar menulis dengan mana-mana institusi atau penulis lain?
Saya rajin menyertai kursus penulisan yang di antaranya di bawah bimbingan penulis Norden Mohamed dan juga Ramlee Awang Murshid.

SINOPSIS DI SEBALIK TAKDIR

Oleh kerana keputusan SPMnya yang kurang baik, Nazirah mula bekerja di sebuah syarikat membekal baja. Sikapnya yang rajin menyebabkan dia dinaikkan pangkat. Tetapi dia diarah berpindah untuk bertugas ke kota. Di sinilah segalanya bermula apabila dia mengenali Farid. Lelaki yang sentiasa hadir di sisinya hanya dianggap sebagai kawan.

Kemunculan Hisyam, guru sementara sewaktu Nazirah bersekolah memekar kembali angan-angannya. Meskipun Hisyam sudah mengikat kasih dengan Salina, kehadiran Nazirah membuat cintanya beralih arah.

Sebaik sahaja mengetahui Hisyam sudah berpunya, Nazirah berhasrat mengundur diri. Namun, tindakannya dihalang lelaki itu. Salina pula tidak mahu melepaskan Hisyam ke tangan Nazirah. Dan, Farid yang muncul dianggap sebagai batu penghalang oleh Hisyam. Dan Nazirah mula tertanya dengan keikhlasan Farid sebagai kawan.