Kedai Buku Pemurah ini Beri Senaskhah Buku Setiap Hari

SEBUAH kedai buku, By The Bookstore yang terletak di Corpus Christi, Texas menyumbang senaskhah buku setiap hari untuk para pelanggannya terutama untuk golongan kanak-kanak. Promosi bukan niat utama tuanpunya kedai Dr. Jimie Owsley. Sebaliknya ia adalah usaha untuk menggalakkan membaca di kalangan kanak-kanak.
Apabila Dr. Jimie membuka kedai di pinggir kota itu, dia mahu kedainya menjadi tempat singgah dan melepak orang tempatan di mana mereka boleh berborak tentang isu-isu berbangkit.

Sebab itulah kedainya bukannya setakat menjual buku. Sebaliknya kedai itu menganjurkan sesi baca buku pada setiap Sabtu, tempat bermesyuarat, berkebun di waktu malam dan tempat bermain catur.
Sebagai sumbangan setiap hari, judulnya dipamerkan di halaman Facebook dan juga Instagram. Buku-buku seperti The Rainbowoleh D.H. Lawrence, Dracula oleh Bram Stoker dan Mansfield Park oleh Jane Austen menjadi tawaran.

Orang pertama yang sampai ke kedai buku itu akan mendapat buku itu dengan syarat dia memintanya di kaunter. Usaha ini mendapat perkongsian yang paling banyak dari komuniti dan ia membantu menarik lebih ramai pelanggan.
Pada mulanya Dr. Jimie mahu sahaja ke sekolah-sekolah untuk menarik para pelajar membaca. Tetapi cara memberi buku percuma ini membolehkan programnya ini sampai ke sasaran yang lebih luas.
Beliau yang juga bertugas sebagai doktor bedah mendapat inspirasi ini dari anaknya yang menghidapi gangguan pendengaran. Beliau harus membaca 10 buah buku kepada anaknya. Kini anaknya yang baharu berusia 9 tahun itu boleh membaca buku biografi Alexander Hamilton, salah seorang negarawan Amerika.
Ramai pengunjung yang datang untuk mendapatkan buku sumbangan itu adalah di kalangan ibu-ibu yang menjalankan home school kepada anak-anak mereka.

Tindakan Dr. Jimie itu meningkatkan jualan buku di kedainya hingga mengatasi jualan pada 2018 meskipun baharu masuk bulan keempat tahun 2019. Kerana itu beliau bercadang untuk meneruskan program sumbangan buku percuma ini sampai bila-bila.
Bagus juga kalau mana-mana kedai buku di Malaysia ini memberi senaskhah buku percuma setiap hari sebagai cara menarik komuniti mendekati dunia pembacaan.
*Penulis asal: Rachel Kramer Bussel, untuk Hollywood & Entertainment
Benarkah Novelis itu Pakar Temberang?
HAMPIR semua orang boleh menulis. Ramai juga yang boleh mengarang. Tetapi hanya sebilangan kecil sahaja yang pandai bercerita. Daripada golongan mereka yang pandai bercerita pula, hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan.

Golongan ini dikenali sebagai pemuisi, cerpenis dan novelis. Pemuisi adalah umpama pelari jarak dekat kerana karya puisi tidak begitu panjang. Cerpenis pula pelari jarak sederhana, kerana karya cerpen panjang sedikit, sementara novelis adalah pelari maraton.
Novelis adalah pencerita. Saya mengistilahkan seseorang novelis itu sebagai pakar temberang! Orang biasa hanya boleh buat temberang yang sedikit atau seketika. Tidak lama kemudian temberangnya sudah pecah. Tipu helahnya mudah dikesan kerana lompong di sana-sini dengan percanggahan logik dan fakta.
Sebaliknya temberang seseorang novelis itu panjang. Seseorang pembaca itu mengambil masa berjam-jam membaca sesebuah novel atau temberangnya. Ironinya, pembaca tahu sesebuah novel itu adalah temberang yang dinamakan fiksyen.
Namun, kerana mahirnya novelis mengadun cerita bersalut dengan fakta, si pembaca boleh menangis, ketawa, geram, marah, malah jatuh cinta dengan watak-watak temberang yang dicipta novelis itu.
Namun, bercerita melalui tulisan bukanlah kerja yang mudah. Hendak mendapat inspirasi adalah satu hal. Hendak menyusun apa yang terilham itu juga adalah satu hal yang lain. Idea, ilham atau inspirasi boleh datang seperti kilat. Mengendalikan apa yang terlintas di minda itu amat sukar, bagai cuba menjinakkan kuda liar.
Bagaimana seseorang novelis itu hendak menterjemah apa yang terpapar di layar mindanya menjadi aksara, perkataan, ayat dan para hingga difahami oleh pembaca pula? Menyusun apa yang terlahir dalam bentuk tulisan itu lebih sukar daripada menzahirkan melalui percakapan.
Kalau bercakap, penulis boleh perkatakan apa yang tercetus itu dalam senafas. Tetapi kalau menaip, penulis tidak semestinya dapat menyampaikan sesebuah ideanya dalam masa sejam.
Mujurlah pada hari ini, kemudahan komputer membolehkan seseorang itu menulis, memadam, menambah, memendek dan menyunting hingga apa yang ditulis boleh menjadi clean copy atau naskhah bersih.
Oleh kerana kemudahan mengedit cerita itulah, seseorang novelis boleh mengawal temberangnya hingga menyakinkan khalayaknya. Ha, maka ada peluanglah untuk novelis menjadi pakar temberang!
* Mari kita hidupkan kolum TULIS SAMPAI JADI ini dengan ulasan anda. Mari kita mulakan komen, ulasan atau apa sahaja di bawah, agar kolum ini meriah. Terima kasih.
Pemerintah Jakarta Buka Kedai Buku Mampu Milik

Pihak berkuasa Jakarta telah membuka sebuah gedung buku mampu milik di Pasar Kenari, Selemba, Jakarta tengah. Gedung buku yang diberi nama Jakbook (singkatan bagi Jakarta Book) ini terletak di tingkat tiga di pasar itu.
Gabenor Jakarta, Anies Basweden berkata, warga Jakarta sukar mendapatkan buku-buku dengan harga yang berpatutan. Dan Jakbook bertujuan memenuhi keperluan ini. Demikian laporan The Jakarta Post.
“Kita berharap ekosistem buku di Jakarta akan jadi lebih baik dan harga buku jadi lebih murah,” katanya ketika melancarkan gedung buku itu.

“Gedung buku ini diwujudkan untuk membekalkan buku-buku mampu beli kepada wargakota kerana harga buku meningkat kerana kos sewaan dan pengedaran yang tinggi.”
Buku-buku yang terjual di Jakbook berharga 30 % lebih rendah daripada harga di gedung-gedung konvensional.
Setelah wujud gedung buku di Pasar Kenari, pihak pentadbiran bandaraya bercadang untuk menambah lokasi Jakbook seperti di Pasar Perunmas Klender di Timur Jakarta, Pasar Bukit Duri di Selatan Jakarta, di Pasar Cilincing di Utara dan di Pasar Kedoya di Barat bandaraya itu.
Di negara kita, buku-buku berharga murah dijual oleh kedai-kedai buku bebas seperti di Book Xcess. Buku-buku dengan harga diskaun pula dijual secara bermusim seperti The Big Bad Wolf, Jualan Gudang Karangkraf, Jualan Gudang MPH dan juga Jualan Gudang DBP.

Apa kata pihak Kota Buku dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia memikirkan model perniagaan yang serupa seperti yang dibuat oleh bandaraya Jakarta. Idea itu boleh dikemukakan kepada pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pelancongan. Memang cantik kerana, pada tahun 2020, Kuala Lumpur dinobat sebagai Kota Buku Dunia.
Layarminda percaya, ramai sekali pencinta buku akan suka dan bersedia untuk menyokong idea ini. Lagipun, apa yang membentuk satu-satu bandar itu sebagai kota buku ialah ekosistem pencinta buku. Akses kepada buku mampu milik adalah penting untuk ekosistem ini.
Datuk Bandar Salah Guna Kuasa Jual Buku Kanak-Kanak

DATUK BANDAR BALTIMORE, AS; Catherine Pugh telah meletak jawatan Khamis lalu kerana sesuatu yang amat malang. Beliau dikatakan menyalahgunakan kuasa kerana menggunakan pengaruhnya untuk menjual buku kanak-kanak hasil karyanya sendiri!
Skandal itu terbongkar apabila akhbar Baltimore Sun melaporkan jualan buku kanak-kanak ‘Healthy Holly’ telah membangkitkan persoalan etika dan perundangan.
Buku yang memaparkan watak seorang kanak-kanak perempuan bernama Holly yang mengamalkan permakanan sihat dan senaman itu amat bagus sebagai bahan bacaan. Tetapi yang menjadi masalahnya, buku-buku itu terlalu laris hingga berjaya mengutip lebih USD700,000!

Lazimnya buku-buku swaterbit tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Barangkali jualannya hanya mencecah belasan ribu naskhah sahaja. Namun, apabila seseorang yang berjawatan tinggi dapat menjual buku-bukunya dengan jumlah puluhan ribu, ia menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Siapakah yang membeli buku-buku itu? Siasatan awal mendapati buku-buku tersebut diperoleh secara pukal oleh syarikat-syarikat yang mempunyai urusan perniagaan dengan beliau.
Misalnya, University of Maryland Medical System, membayar USD500,000 untuk 100,000 naskhah buku itu. Kaiser Permanente sebuah syarikat insuran perubatan membayar lebih USD100,000 untuk 20,000 naskhah. The Associated Black Charities pula, sebuah NGO kebajikan pula membayar USD80,000 untuk 10,000 naskhah buku-buku Healthy Holly itu.

Apabila mengumumkan peletakan jawatannya, Catherine berkata, “Saya memohon maaf kerana imej bandaraya Baltimore dan pejabat Datuk Bandarnya telah tercemar. Baltimore seharusnya mendapat seorang Datuk Bandar yang mampu menerajui bandaraya ini.”
Kes sebegini belum lagi berlaku di negara kita. Kes sebegini belum lagi berlaku di negara kita. Mintak, mintak janganlah… sebab ramai juga orang politik kita ni penulis buku! Haha.
Alhamdulillah. Saya Pembawa HIV!

Dua minggu lalu, melalui seorang teman, Cabane Strut, saya dipertemukan dengan Puan Lina yang ingin berkongsi ceritanya dengan anda sekalian. Subhanallah, kisahnya amat menginsafkan. Puan Lina menceritakan bagaimana beliau melawan virus HIV yang bersarang di dalam tubuhnya.
24 tahun beliau menanggungnya. 13 tahun daripadanya ditanggung tanpa ubat khusus hospital kerana tidak mampu! Tetapi semangat melawan penyakit itu menjadikan beliau punyai semangat yang amat kental.
Wanita ini akan terus bertahan dengan penyakit ini hingga ke akhir hayatnya kerana tiada ubat yang boleh menyembuhkan HIV sepenuhnya. Dalam pada itu, beliau sentiasa membantu pesakit baharu yang membawa virus HIV ini.
Ikuti kisahnya ini:
Saya lahir di Alor Setar dan bersekolah hingga ke tingkatan 6. Tamat persekolahan, saya mengambil diploma dalam bidang kecantikan. Kemudian saya bekerja. Di situlah saya mengenali seorang lelaki Cina bernama Steven.
Persahabatan dengan dia biasa-biasa sahaja. Tidak lama kemudian, saya terkejut bila dia menyatakan telah memeluk Islam. Perhubungan saya dengannya menjadi semakin rapat bila dia sering bertanya saya mengenai Islam.
Ustaz yang membimbing dia kemudiannya mencadangkan agar saya menjadi pembimbing Steven melalui perkahwinan. Saya serba salah pada mulanya. Tetapi oleh kerana berfikir yang saya patut menjaga seseorang yang baharu menganut Islam, maka saya mengahwininya.
Tidak lama kemudian, suami saya bertugas di Kelantan. Sebagai isteri, saya menemaninya dan hidup seperti mana-mana pasangan lain hingga mempunyai dua orang anak.
Suatu hari dia menghidap batuk. Pada mulanya dia mengambil ubat seperti sakit biasa. Tetapi semakin lama, batuknya tidak pulih. Lalu kami ke Hospital USM Kubang Kerian untuk membuat pemeriksaan.

Alangkah terkejutnya saya bila ujian darah mendapati yang suami saya menghidap AIDS. Lemah tubuh saya mendengar diagnosis itu dari doktor. Pada ketika itu, penyakit AIDS masih baharu di Malaysia dan kemudahan perubatannya masih belum sempurna.
Oleh kerana penyakit suami saya sudah kronik, akhirnya dia meninggal dunia. Tinggallah saya seorang diri bersama dua orang anak. Pihak hospital meminta saya menjalani pemeriksaan untuk menganalisa tahap kesihatan saya.
Sekali lagi saya terkejut apabila saya disahkan sebagai pembawa virus HIV yang berjangkit dari arwah suami saya. Mujurlah keputusan ujian darah terhadap kedua-dua anak saya itu didapati negatif.
Ketika itu, kos perubatan untuk HIV amat mahal iaitu kira-kira RM2,000 sebulan. Saya tak mampu dan tidak dapat mengambil rawatan itu. Tetapi saya tidak patah semangat.
Demi anak-anak, saya kena berusaha. Melalui nasihat doktor, dia memberitahu saya agar menjaga kesihatan dan pemakanan. Dibantu dengan pelbagai bahan bacaan, saya mula mengamalkan diet protin dan sayur-sayuran.
Ayah saya sentiasa memberi sokongan dan semangat. Dia sanggup mencari herba dan ulam-ulaman buat saya. Ada sahaja pelbagai herba dan ulam-ulaman yang diberikan kepada saya. Katanya, mudah-mudahan herba dan ulam yang dia bawa boleh mejadi ubat yang mujarab.
Saya amat bersyukur kerana mempunyai ayah yang amat menyayangi anaknya. Ibu saya pula tidak banyak cakap. Tetapi dia sentiasa menemani saya dengan doa dan airmatanya.
Alhamdulilah, pada tahun 2008, pihak kerajaan membawa berita gembira buat semua penghidap HIV. Kementerian Kesihatan telah mula membekalkan ubat-ubatan percuma kepada pesakit dan saya mula mendapat ubat itu.

Sedar tak sedar, saya menjaga penyakit HIV ini tanpa ubatan hospital ini selama 13 tahun. Inilah yang memberi saya semangat untuk terus hidup. Jika tanpa ubat saya boleh hidup selama itu, apatah lagi bila saya dapat bekalan ubat.
Kini, saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lagi dengan suami yang kedua ini. Melalui nasihat dan pemeriksaan para doktor, suami dan anak-anak saya didapati negatif HIV.
Ibu yang berdoa tak putus-putus hingga ke hari ini, ayah yang sentiasa memberi semangat dan suami yang amat memahami menjadikan saya orang yang amat bersyukur.
Bila merenung kembali apa yang saya telah lalui jika dibandingkan dengan mereka yang mengalami penyakit yang lain, saya menyebut, ‘Alhamdulilah kerana aku pembawa HIV!’
Bayangkan mereka yang menghidap kanser lalu terpaksa menerima rawatan kimoterapi yang menyakitkan. Ataupun pesakit koma hingga terbaring kaku. Ataupun yang terkena strok hingga terpaksa meminta bantuan orang lain untuk menjaga… penyakit HIV ini masih membolehkan saya aktif seperti manusia biasa.
Bila memikirkan itu, saya perlu bergerak di dalam komuniti untuk membantu sesiapa sahaja yang menjadi penghidap HIV. Melalui NGO yang saya sertai, saya mahu ringankan beban mereka. Saya mahu mereka rasa esok masih ada sinarnya buat mereka. Amin.
*Sedutan temubual Puan Lina ini adalah sebahagian daripada manuskrip buku mengenai HIV yang sedang dalam pembikinan LayarMinda.


