HAMPIR semua orang boleh menulis. Ramai juga yang boleh mengarang. Tetapi hanya sebilangan kecil sahaja yang pandai bercerita. Daripada golongan mereka yang pandai bercerita pula, hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan.

Hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan - gambar oleh YouTube
Hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan – gambar oleh YouTube

Golongan ini dikenali sebagai pemuisi, cerpenis dan novelis. Pemuisi adalah umpama pelari jarak dekat kerana karya puisi tidak begitu panjang. Cerpenis pula pelari jarak sederhana, kerana karya cerpen panjang sedikit, sementara novelis adalah pelari maraton.

Novelis adalah pencerita. Saya mengistilahkan seseorang novelis itu sebagai pakar temberang! Orang biasa hanya boleh buat temberang yang sedikit atau seketika. Tidak lama kemudian temberangnya sudah pecah. Tipu helahnya mudah dikesan kerana lompong di sana-sini dengan percanggahan logik dan fakta.

Sebaliknya temberang seseorang novelis itu panjang. Seseorang pembaca itu mengambil masa berjam-jam membaca sesebuah novel atau temberangnya. Ironinya, pembaca tahu sesebuah novel itu adalah temberang yang dinamakan fiksyen.

Namun, kerana mahirnya novelis mengadun cerita bersalut dengan fakta, si pembaca boleh menangis, ketawa, geram, marah, malah jatuh cinta dengan watak-watak temberang yang dicipta novelis itu.

Namun, bercerita melalui tulisan bukanlah kerja yang mudah. Hendak mendapat inspirasi adalah satu hal. Hendak menyusun apa yang terilham itu juga adalah satu hal yang lain. Idea, ilham atau inspirasi boleh datang seperti kilat. Mengendalikan apa yang terlintas di minda itu amat sukar, bagai cuba menjinakkan kuda liar.

Bagaimana seseorang novelis itu hendak menterjemah apa yang terpapar di layar mindanya menjadi aksara, perkataan, ayat dan para hingga difahami oleh pembaca pula? Menyusun apa yang terlahir dalam bentuk tulisan itu lebih sukar daripada menzahirkan melalui percakapan.

Kalau bercakap, penulis boleh perkatakan apa yang tercetus itu dalam senafas. Tetapi kalau menaip, penulis tidak semestinya dapat menyampaikan sesebuah ideanya dalam masa sejam.

Mujurlah pada hari ini, kemudahan komputer membolehkan seseorang itu menulis, memadam, menambah, memendek dan menyunting hingga apa yang ditulis boleh menjadi clean copy atau naskhah bersih.

Oleh kerana kemudahan mengedit cerita itulah, seseorang novelis boleh mengawal temberangnya hingga menyakinkan khalayaknya. Ha, maka ada peluanglah untuk novelis menjadi pakar temberang!

* Mari kita hidupkan kolum TULIS SAMPAI JADI ini dengan ulasan anda. Mari kita mulakan komen, ulasan atau apa sahaja di bawah, agar kolum ini meriah. Terima kasih.