Kedai kecil berjiwa besar. Foto: By The Bookstore

SEBUAH kedai buku, By The Bookstore yang terletak di Corpus Christi, Texas menyumbang senaskhah buku setiap hari untuk para pelanggannya terutama untuk golongan kanak-kanak.  Promosi bukan niat utama tuanpunya kedai Dr. Jimie Owsley. Sebaliknya ia adalah usaha untuk menggalakkan membaca di kalangan kanak-kanak.

Apabila Dr. Jimie membuka kedai di pinggir kota itu, dia mahu kedainya menjadi tempat singgah dan melepak orang tempatan di mana mereka boleh berborak tentang isu-isu berbangkit.

Jimie Owsley, pakar bedah dan tuanpunya By The Bookstore. Foto: By The Bookstore

Sebab itulah kedainya bukannya setakat menjual buku. Sebaliknya kedai itu menganjurkan sesi baca buku pada setiap Sabtu, tempat bermesyuarat, berkebun di waktu malam dan tempat bermain catur.

Sebagai sumbangan setiap hari, judulnya dipamerkan di halaman Facebook dan juga Instagram. Buku-buku seperti The Rainbowoleh D.H. Lawrence, Dracula oleh Bram Stoker dan Mansfield Park oleh Jane Austen menjadi tawaran.

Sesi baca buku salah seorang penulis. Foto: By the Bookstore

Orang pertama yang sampai ke kedai buku itu akan mendapat buku itu dengan syarat dia memintanya di kaunter. Usaha ini mendapat perkongsian yang paling banyak dari komuniti dan ia membantu menarik lebih ramai pelanggan.

Pada mulanya Dr. Jimie mahu sahaja ke sekolah-sekolah untuk menarik para pelajar membaca. Tetapi cara memberi buku percuma ini membolehkan programnya ini sampai ke sasaran yang lebih luas.

Beliau yang juga bertugas sebagai doktor bedah mendapat inspirasi ini dari anaknya yang menghidapi gangguan pendengaran. Beliau harus membaca 10 buah buku kepada anaknya. Kini anaknya yang baharu berusia 9 tahun itu boleh membaca buku biografi Alexander Hamilton, salah seorang negarawan Amerika.

Ramai pengunjung yang datang untuk mendapatkan buku sumbangan itu adalah di kalangan ibu-ibu yang menjalankan home school kepada anak-anak mereka.

Set catur gergasi untuk menarik pelanggan. Foto: By the Bookstore

Tindakan Dr. Jimie itu meningkatkan jualan buku di kedainya hingga mengatasi jualan pada 2018 meskipun baharu masuk bulan keempat tahun 2019. Kerana itu beliau bercadang untuk meneruskan program sumbangan buku percuma ini sampai bila-bila.

Bagus juga kalau mana-mana kedai buku di Malaysia ini memberi senaskhah buku percuma setiap hari sebagai cara menarik komuniti mendekati dunia pembacaan.

*Penulis asal: Rachel Kramer Bussel, untuk Hollywood & Entertainment