Buku Mampu Milik: JakBook - singkatan kepada Jakarta Book di Jakarta Tengah - gambar Jakarta Post
JakBook – singkatan kepada Jakarta Book di Jakarta Tengah – gambar Jakarta Post

Pihak berkuasa Jakarta telah membuka sebuah gedung buku mampu milik di Pasar Kenari, Selemba, Jakarta tengah. Gedung buku yang diberi nama Jakbook (singkatan bagi Jakarta Book) ini terletak di tingkat tiga di pasar itu.

Gabenor Jakarta, Anies Basweden berkata, warga Jakarta sukar mendapatkan buku-buku dengan harga yang berpatutan. Dan Jakbook bertujuan memenuhi keperluan ini. Demikian laporan The Jakarta Post.

“Kita berharap ekosistem buku di Jakarta akan jadi lebih baik dan harga buku jadi lebih murah,” katanya ketika melancarkan gedung buku itu.

Buku Mampu Milik: Jualan bermusim The Big Bad Wolf - gambar oleh Malay Mail
Jualan bermusim The Big Bad Wolf – gambar oleh Malay Mail

“Gedung buku ini diwujudkan untuk membekalkan buku-buku mampu beli kepada wargakota kerana harga buku meningkat kerana kos sewaan dan pengedaran yang tinggi.”

Buku-buku yang terjual di Jakbook berharga 30 % lebih rendah daripada harga di gedung-gedung konvensional.

Setelah wujud gedung buku di Pasar Kenari, pihak pentadbiran bandaraya bercadang untuk menambah lokasi Jakbook seperti di Pasar Perunmas Klender di Timur Jakarta, Pasar Bukit Duri di Selatan Jakarta, di Pasar Cilincing di Utara dan di Pasar Kedoya di Barat bandaraya itu.

Di negara kita, buku-buku berharga murah dijual oleh kedai-kedai buku bebas seperti di Book Xcess. Buku-buku dengan harga diskaun pula dijual secara bermusim seperti The Big Bad Wolf, Jualan Gudang Karangkraf, Jualan Gudang MPH dan juga Jualan Gudang DBP.

Buku Mampu Milik: Majlis Menobat Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 - gambar oleh Utusan
Majlis Menobat Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 – gambar oleh Utusan

Apa kata pihak Kota Buku dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia memikirkan model perniagaan yang serupa seperti yang dibuat oleh bandaraya Jakarta. Idea itu boleh dikemukakan kepada pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pelancongan. Memang cantik kerana, pada tahun 2020, Kuala Lumpur dinobat sebagai Kota Buku Dunia.

Layarminda percaya, ramai sekali pencinta buku akan suka dan bersedia untuk menyokong idea ini. Lagipun, apa yang membentuk satu-satu bandar itu sebagai kota buku ialah ekosistem pencinta buku. Akses kepada buku mampu milik adalah penting untuk ekosistem ini.