Temubual bersama Puan Lina.
Temubual bersama Puan Lina.

Dua minggu lalu, melalui seorang teman, Cabane Strut, saya dipertemukan dengan Puan Lina yang ingin berkongsi ceritanya dengan anda sekalian. Subhanallah, kisahnya amat menginsafkan. Puan Lina menceritakan bagaimana beliau melawan virus HIV yang bersarang di dalam tubuhnya.

24 tahun beliau menanggungnya. 13 tahun daripadanya ditanggung tanpa ubat khusus hospital kerana tidak mampu! Tetapi semangat melawan penyakit itu menjadikan beliau punyai semangat yang amat kental.

Wanita ini akan terus bertahan dengan penyakit ini hingga ke akhir hayatnya kerana tiada ubat yang boleh menyembuhkan HIV sepenuhnya. Dalam pada itu, beliau sentiasa membantu pesakit baharu yang membawa virus HIV ini.

Ikuti kisahnya ini:

Saya lahir di Alor Setar dan bersekolah hingga ke tingkatan 6. Tamat persekolahan, saya mengambil diploma dalam bidang kecantikan. Kemudian saya bekerja. Di situlah saya mengenali seorang lelaki Cina bernama Steven.

Persahabatan dengan dia biasa-biasa sahaja. Tidak lama kemudian, saya terkejut bila dia menyatakan telah memeluk Islam. Perhubungan saya dengannya menjadi semakin rapat bila dia sering bertanya saya mengenai Islam.

Ustaz yang membimbing dia kemudiannya mencadangkan agar saya menjadi pembimbing Steven melalui perkahwinan. Saya serba salah pada mulanya. Tetapi oleh kerana berfikir yang saya patut menjaga seseorang yang baharu menganut Islam, maka saya mengahwininya.

Tidak lama kemudian, suami saya bertugas di Kelantan. Sebagai isteri, saya menemaninya dan hidup seperti mana-mana pasangan lain hingga mempunyai dua orang anak.

Suatu hari dia menghidap batuk. Pada mulanya dia mengambil ubat seperti sakit biasa. Tetapi semakin lama, batuknya tidak pulih. Lalu kami ke Hospital USM Kubang Kerian untuk membuat pemeriksaan.

Hospital USM Kubang Kerian

Alangkah terkejutnya saya bila ujian darah mendapati yang suami saya menghidap AIDS. Lemah tubuh saya mendengar diagnosis itu dari doktor. Pada ketika itu, penyakit AIDS masih baharu di Malaysia dan kemudahan perubatannya masih belum sempurna.

Oleh kerana penyakit suami saya sudah kronik, akhirnya dia meninggal dunia. Tinggallah saya seorang diri bersama dua orang anak. Pihak hospital meminta saya menjalani pemeriksaan untuk menganalisa tahap kesihatan saya.

Sekali lagi saya terkejut apabila saya disahkan sebagai pembawa virus HIV yang berjangkit dari arwah suami saya. Mujurlah keputusan ujian darah terhadap kedua-dua anak saya itu didapati negatif.

Ketika itu, kos perubatan untuk HIV amat mahal iaitu kira-kira RM2,000 sebulan. Saya tak mampu dan tidak dapat mengambil rawatan itu. Tetapi saya tidak patah semangat.

Demi anak-anak, saya kena berusaha. Melalui nasihat doktor, dia memberitahu saya agar menjaga kesihatan dan pemakanan. Dibantu dengan pelbagai bahan bacaan, saya mula mengamalkan diet protin dan sayur-sayuran.

Ayah saya sentiasa memberi sokongan dan semangat. Dia sanggup mencari herba dan ulam-ulaman buat saya.  Ada sahaja pelbagai herba dan ulam-ulaman yang diberikan kepada saya. Katanya, mudah-mudahan herba dan ulam yang dia bawa boleh mejadi ubat yang mujarab.

Saya amat bersyukur kerana mempunyai ayah yang amat menyayangi anaknya. Ibu saya pula tidak banyak cakap. Tetapi dia sentiasa menemani saya dengan doa dan airmatanya.

Alhamdulilah, pada tahun 2008, pihak kerajaan membawa berita gembira buat semua penghidap HIV. Kementerian Kesihatan telah mula membekalkan ubat-ubatan percuma kepada pesakit dan saya mula mendapat ubat itu.

Gambaran virus HIV

Sedar tak sedar, saya menjaga penyakit HIV ini tanpa ubatan hospital ini selama 13 tahun. Inilah yang memberi saya semangat untuk terus hidup. Jika tanpa ubat saya boleh hidup selama itu, apatah lagi bila saya dapat bekalan ubat.

Kini, saya telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lagi dengan suami yang kedua ini. Melalui nasihat dan pemeriksaan para doktor, suami dan anak-anak saya didapati negatif  HIV.

Ibu yang berdoa tak putus-putus hingga ke hari ini, ayah yang sentiasa memberi semangat dan suami yang amat memahami menjadikan saya orang yang amat bersyukur.

Bila merenung kembali apa yang saya telah lalui jika dibandingkan dengan mereka yang mengalami penyakit yang lain, saya menyebut, ‘Alhamdulilah kerana aku pembawa HIV!’

Bayangkan mereka yang menghidap kanser lalu terpaksa menerima rawatan kimoterapi yang menyakitkan. Ataupun pesakit koma hingga terbaring kaku. Ataupun yang terkena strok hingga terpaksa meminta bantuan orang lain untuk menjaga… penyakit HIV ini masih membolehkan saya aktif seperti manusia biasa.

Bila memikirkan itu, saya perlu bergerak di dalam komuniti untuk membantu sesiapa sahaja yang menjadi penghidap HIV. Melalui NGO yang saya sertai, saya mahu ringankan beban mereka. Saya mahu mereka rasa esok masih ada sinarnya buat mereka. Amin.

*Sedutan temubual Puan Lina ini adalah sebahagian daripada manuskrip buku mengenai HIV yang sedang dalam pembikinan LayarMinda.