BLOG

Khoo Kay Kim Pergi Tinggalkan Ilmu

Khoo Kay Kim Pergi Tinggalkan Ilmu

TOKOH sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim – foto Sinar Harian
Mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim – foto Sinar Harian

Mendiang yang berusia 82 tahun meninggal dunia pada pukul 10.13 pagi tadi.

Anak kedua mendiang, Rubin Khoo, 47, berkata, ayahnya pernah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.

“Walaupun begitu dia masih tabah sehingga akhir hayatnya. Kami sedang menguruskan hal ini dan akan memaklumkan hal pengebumian nanti,” katanya.

Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak pada tahun 1937. Beliau menerima ijazah sarjana muda, sarjana dan juga kedoktoran kesemuanya di Universiti Malaya. meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin..

Sultan Perak Raja Nazrin Shah dan Khoo Kay Kim – foto NST

Ketika hayatnya, beliau banyak menulis artikel dan juga buku. Di antaranya ialah, Malay Society ~ Transformation and Democratisation, 100 Years The University of Malaya dan Taiping~The Vibrant Years. Sebuah buku autobiografi tulisan beliau I, KKK memaparkan riwayat beliau. Sultan Perak, Raja Nazrin Shah telah sudi mencemar duli untuk melancarkan buku itu pada tahun 2017.

I, KKK buku autobiografi tulisan Professor Emeritus Khoo Kay Kim
I, KKK buku autobiografi tulisan Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim

Kemahiran beliau tentang sejarah menjadikan mendiang terkenal sebagai ‘ensaiklopedia hidup sejarah Malaysia.’ Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.

Video mendiang sebagai ahli perangka rukun negara boleh ditonton di sini:

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai ahli perangka rukun negara

Sumber berita:

http://bernama.com/bm/news.php?id=1730421

http://www.themalaysiantimes.com.my/sultan-nazrin-launches-khoo-kay-kims-autobiography/

Mari Teroka ke Padang yang Luas

Mari Teroka ke Padang yang Luas

SEBAHAGIAN besar daripada para novelis yang telah menghasilkan novel pada hari ini tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang penulisan kreatif.  Hanya sebilangan daripada mereka mungkin datang daripada bidang yang mempunyai kaitan dengan bidang penulisan seperti kewartawanan, pengajian bahasa mahupun daripada kalangan guru.

2. Ramai juga daripada mereka yang terdiri dari golongan yang tidak ada kena mengena langsung dengan bidang penulisan seperti kulineri, perundangan, ekonomi, akauntan, kejuruteraan, kejururawatan, sains komputer, insuran atau hiasan dalaman.

3. Kesemua mereka lahir sebagai novelis kerana minat. Rata-rata dari kalangan mereka ini mula menulis setelah membaca beberapa buah karya. Lazimnya, ia bermula kerana tidak puashati dengan jalan cerita novel yang dibacanya dan berasa mereka boleh menulis jalan cerita yang lebih baik. Bersandarkan perasaan tidak puashati itu, maka mereka mula menulis.

4. Di sepanjang jalan pengkaryaan, mereka menambah pengetahuan dan kemahiran menulis dengan merujuk kepada karya-karya penulis yang terdahulu, berbincang sesama mereka ataupun menghadiri kursus-kursus pendek penulisan yang biasanya dianjurkan oleh penulis ataupun syarikat penerbitan.

5. Pendek kata, belajar secara sendiri-sendiri. Namun, apakah cara belajar sebegini ini mencukupi buat seseorang penulis? Sudah tentu ia belum lengkap kerana mereka yang melalui pendidikan formal penulisan pun belum tentu dapat menjadi seorang novelis yang baik.  

6. Baik, bukan sahaja daripada aspek teknik, penyampaian dan nilai-nilai murni di dalam tulisannya, bahkan baik dalam ertikata karyanya diterima oleh khalayak. Kerana itulah, seseorang penulis yang menghasilkan sebuah novel yang meletup, belum tentu dapat menulis novel yang baik.

7. Pada hari ini, media sosial menjadi pemangkin untuk menghebah dan melariskan sesebuah karya. Syarikat-syarikat penerbitan pun galak mengadakan pelbagai promosi karya para penulisnya.

8. Hasilnya, terdapat juga karya-karya yang kurang baik yang laku kerana kempen pemasaran yang hebat. Dengan wujudnya berpuluh-puluh karya dari penulis baharu dalam sebulan, para pembaca kerap juga terbeli sesebuah karya yang tawar.

9. Malah, sikap novelis yang hanya merujuk karya-karya tempatan sebagai sumber idea akhirnya hanya melahirkan karya-karya yang klise. Sikap ingin merebut hasil jualan yang lumayan inilah yang akhirnya bakal meruntuh genre sesebuah karya kreatif. Contohnya, novel-novel cinta semakin kurang diminati kerana dikatakan mempunyai garapan yang hampir serupa ~ ala formula filem Hindustan.

10. Kini, novel-novel seram dan thriller pula mengambil tempat di carta terlaris. Berbanding dengan nama-nama hebat novelis cinta, belum ada lagi nama besar penulis seram dan thriller kecuali novelis Ramlee Awang Murshid.

11. Novelis-novelis genre ini kelihatan sebaris dan sebaya. Belum ada pesaing bagi Ramlee. Jika tiada nama-nama yang benar-benar dikenali dalam waktu terdekat ini, adalah dikhuatiri genre ini juga bakal menjadi suam dan suram.

12. Sebenarnya, genre novel masih begitu banyak yang belum diteroka. Genre perundangan, sejarah, perubatan, sains fiksi, fantasi, purbawara, biografi, travelog malah agama masih belum benar-benar muncul dengan kluster para novelisnya.

13. Penulis perlu berani meneroka ke padang yang amat luas ini. Dengan adanya kemudahan percetakan digital dengan print-on-demand, berhubung terus dengan pembaca melalui media sosial, para penulis swaterbit perlu berani meneroka ke genre yang baharu selain daripada cinta, seram dan thriller.

*piccredit: thewritermagazine

BOOKEXPO America Datang Lagi

BOOKEXPO America Datang Lagi

BookExpo Amerika 2019 (BEA) akan berlangsung selama 3 hari bermula dari Rabu 29 Mei hingga Jumaat, 31 Mei 2019 bertempat di Pusat Javits, Manhattan, New York.

Javits Center Manhattan, New York ~ foto publishers weekly

Ia adalah salah sebuah pameran buku terbesar di Amerika yang juga merupakan acara perdagangan terkemuka industri penerbitan, di mana penjual buku, pustakawan, peruncit khusus dan rantaian serta penerbit dan tastemakers berkumpul untuk mengetahui tentang buku terbaharu, pengarang, saluran pengedaran, teknologi dan trend buku terkini.

Acara utama di BEA 2018 – foto bookexpo america

Di BEA, peserta dapat berkongsi berita dan trend dunia buku. Ia memberi peluang yang baik untuk berinteraksi dengan pembaca, menghadiri panel dan mendapatkan tanda tangan mereka pada buku baharu. Penulis biasanya akan bersedia untuk menandatangani buku-buku mereka selepas berucap memperkenalkan karya terbaru mereka.

Di antara penulis yang akan menghadiri BEA 2019 ialah Alyssa Milano (Project Middle School), Eloisa James (Say No to the Duke) dan James Patterson & Susan Patterson (Ali Cross/Bigger Words for Little Geniuses)

Program bertemu penulis di BEA 2018  – foto bookexpo

BookExpo America dianjurkan oleh American Booksellers Association Convention and Trade Show pada tahun 1947. Ia dianjurkan di pelbagai tempat seperti Chicago, Los Angeles dan juga Washington.

Saksikan video suasana di BEA tahun lalu:

Novelis Oman Menangi Booker Prize

Novelis Oman Menangi Booker Prize

Jokha Alharti dengan novelnya Celestial Bodies – foto the independent

Novelis Oman, Jokha Alharthi, 41, telah memenangi Man Booker International Prize 2019 dengan novelnya Celestial Bodies. Novel ini diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris oleh Professor Marilyn Booth, seorang penulis dan penterjemah dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Majlis eksklusif dan gilang gemilang itu berlangsung di dewan Roundhouse, sebuah pusat aktiviti seni di London.

Jokha menyampaikan ucapan kemenangan – foto Y magazine

Celestial Bodies mengalahkan lima finalis lain dari Eropah dan Amerika Selatan, termasuk pemenang tahun lalu Olga Tokarczuk dari Poland.

Ketika menerima anugerah itu Jokha berkata, “Celestial Bodies membicarakan tentang kuasa yang mengurung dan juga kuasa yang membebaskan kita.”

Jokha dan penterjemah novelnya Prof. Marilyn Booth

Jokha yang juga seorang pensyarah di Universiti Sultan Qaboos di Muskat, Oman sempat memuji Profesor Marilyn Booth. Katanya, “Terjemahannya ringkas tetapi penuh berlirik. Seperti sebuah sulaman di antara puisi dan perbualan hari-hari.”

Kerana rasa gembira dan berterima kasih itu,  beliau bercadang untuk membahagi dua, hadiah bernilai RM266,000 dengan penterjemahnya itu.

The Roundhouse, pusat aktiviti seni dan budaya, London

Sejak tahun 2016, The Man Booker Prize telah memperluas anugerahnya dari hanya karya-karya novel berbahasa Inggeris ke novel-novel terjemahan ke bahasa Inggeris.

Ketua Pegawai Eksekutif Man Group, Luke Ellis, berkata, “Sebagai salah sebuah anugerah untuk meraikan penulis-penulis antarabangsa, kami telah mula meraikan karya-karya terjemahan ke bahasa Inggeris.

Ini menjadikan Man Booker International Prize berperanan dalam memupuk kepelbagaian suara dalam dunia fiksyen antarabangsa.”

Poster promosi novel mula tersebar – foto Sandstone press

Pic 5 booker: Poster promosi novel mula tersebar – foto Sandstone press

Celestial Bodies adalah kisah jodoh tiga beradik perempuan di desa al-Awafi, Oman. Mayya yang sulung mengahwini Abdallah selepas sebuah kekecewaan, Asma yang berkahwin kerana tanggungjawab dan Khawla yang menolak semua pinangan kerana menanti kekasihnya yang telah berhijrah ke Kanada.

Tiga beradik ini dan keluarganya mengharungi era masyarakatnya yang mengamalkan budaya hamba abdi, berubah di waktu kolonial dan kemudiannya berada di persimpangan dilema masa kini.

Novel Calestial Bodies diterbitkan pada 2010 dan ia adalah karya Jokha yang kedua. Novel pertamanya Manamat (Impian) diterbitkan pada 2004 dan novel ketiganya Narinjah (Limau Pahit) diterbitkan pada tahun 2016. Narinjah juga sedang diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Dan, khabarnya Jokha Alharti kini sedang menulis novel keempatnya.

Saksikan video The Man Booker Prize.

*Berita asal, Chiara Giordano, The Independent

Minggu Pengampunan untuk Pulang Buku

Minggu Pengampunan untuk Pulang Buku

Para peminat buku mempunyai dua tabiat buruk. Pertama, mereka membeli buku tetapi tak membacanya. Kedua ialah perangai lewat memulangkan buku ke perpustakaan.

Perpustakaan Pusat bandaraya Cape Town – foto Cape Chameleon
Perpustakaan Pusat bandaraya Cape Town – foto Cape Chameleon

Biasanya pihak perpustakaan mengenakan denda bila peminjam lewat memulangkan buku. Bila takut menerima denda yang banyak, ramai peminjam buku sudah tidak berani ke perpustakaan. Tetapi, bukankah itu akan menjauhkan peminat buku dengan perpustakaan itu sendiri?

Suasana santai Perpustakaan Pusat Cape Town – foto Cape Town Magazine
Suasana santai Perpustakaan Pusat Cape Town – foto Cape Town Magazine

Buku yang tidak dipulangkan itu barangkali terselit di bawah katil atau tersalah letak di celah-celah lain-lain buku. Tetapi bandaraya Cape Town, Afrika Selatan mempunyai cara yang bijak agar para peminjam datang untuk memulangkan buku lalu kembali ke perpustakaan.

Pihak perpustakaan memberi minggu pengampunan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Mulai 1 hingga 7 Jun, sesiapa yang mengembalikan buku yang terlewat dipulangkan boleh berbuat demikian tanpa apa-apa denda.

Pic 3: Kanak-kanak perlu dipupuk meminati buku – foto mommynearest

Tujuannya bukan semata-mata untuk mendapatkan 2,025 buku-buku yang lewat dipulangkan itu semula, tetapi juga untuk mengembalikan mereka untuk mengunjungi perpustakaan.

‘Kita mahu para pembaca kecil menjadi pembaca seumur hidup. Tetapi ia menjadi suatu cabaran apabila mereka tidak datang ke perpustakaan kerana terlewat memulangkan buku,” kata ahli jawatankuasa perkhidmatan komuniti bandaraya, Zahid Badroodien.

Buku David & Goliath – foto hachette book group
Buku David & Goliath – foto hachette book group

Di antara buku yang paling banyak lewat dipulangkan ialah buku David and Goliath.

Artikel adaptasi dari: news24 oleh Jenni Evans

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]